Menu

 

A+ A A-

MENGAPA SAUDI MENYOKONG KUDETA?

Baru-baru ini kita dikejutkan dengan kekejaman tentara Mesir terhadap rakyatnya di medan Rabaah Kaherah. Apakah yang sebenarnya berlaku di Mesir ?

 

Jawapan

Peristiwa ini bermula pada tanggal 3 Julai 2013. Ketika itu, rakyat Mesir secara umumnya terbahagi kepada dua kelompok. Kelompok pertama ialah pembangkang yang menggelar diri mereka sebagai “Tamarrud” (pemberontak). Kelompok kedua pula ialah kelompok pemerintah yang diketuai oleh Dr. Mohamed Morsi dan golongan yang menyokong pemerintah sama ada atas dasar kepartian, keislaman mahupun pilihan demokratik.

Bagi kelompok pertama, mereka melihat insiden 3 Julai sebagai sebuah revolusi baru yang membawa hasrat dan suara rakyat. Mereka mendakwa seramai 33 juta rakyat telah menurunkan tandatangan menggesa Morsi meletakkan jawatan dan pilihan raya presiden diadakan dengan segera. Mereka inilah yang telah berkumpul di Dataran Tahrir dan mendakwa seramai lebih 17 juta rakyat telah turun ke jalan raya.

Bagi puak Tamarrud ini, campur tangan tentera yang dikepalai oleh Abdul Fattah al-Sisi adalah selaras dengan tuntutan rakyat Mesir demi mengelakkan peperangan saudara antara penyokong Morsi dan golongan Tamarrud.

Namun bagi penyokong Morsi pula, segala yang berlaku merupakan pembunuhan demokrasi dan pengkhianatan aspirasi rakyat. Pihak tentera terang-terangan mencabuli demokrasi serta menghina keluhuran undang-undang. Keadaan ini boleh membawa Mesir kembali ke tahun 1952 ketika Mesir dikuasai oleh tentera melalui rampasan kuasa oleh Jeneral Gamal Abdel Naser. Bermula daripada detik itulah Mesir menyaksikan demokrasi terkubur dan suasana politiknya berada pada tahap yang paling suram.

Hakikatnya, peristiwa penggulingan Presiden Morsi pada 3 Julai dan kenaikan Jeneral al-Sisi sebagai pemerintah utama Mesir lalu melantik Presiden, Perdana Menteri dan juga “kabinet boneka”nya merupakan kudeta ataupun rampasan kuasa. Menurut istilah fiqah, mereka ini dipanggil sebagai ‘bughah’ (pemberontak) yang telah melakukan jenayah bersenjata yang diharamkan dalam Islam.

Ikhwan Ialah Khawarij?

Ada pihak yang cuba menghangatkan situasi dengan mengatakan bahawa Ikhwan dan Dr. Morsi ialah Khawarij? Apa pendapat ustaz berkenaan dengan dakwaan ini?

Jawapan

Ini tidak benar. Tiada siapa dapat menafikan fakta bahawa Morsi merupakan presiden pertama Mesir yang telah dipilih oleh rakyat secara demokratik dengan undian hampir 52% daripada jumlah yang keluar mengundi. Beliau juga menjadi presiden pertama yang berjaya memenangi pilihan raya presiden yang bersih, telus dan adil seperti yang telah diakui oleh badanbadan pemerhati antarabangsa.

Fakta-fakta ini menunjukkan bahawa kedudukan Morsi, penguasaan FJP (Freedom and Justice Party) yang merupakan parti Morsi di parlimen dan juga perlembagaan Mesir yang baru merupakan hasil pilihan rakyat majoriti melalui mekanisme demokratik yang diakui dunia.

Khawarij dalam kes ini ialah pihak Tamarrud dan tentera yang menggulingkan presiden pilihan rakyat. Mereka termasuklah golongan yang menyokong kudeta sama ada daripada kalangan parti Salafi al-Nur, Syeikh al-Azhar, kerajaan Arab Saudi berserta ulama mereka yang menyokong al-Sisi. Tidak terkecuali juga kerajaan UAE yang secara terang menyokong serta memuji kudeta yang berlaku.

Mengkhianati Demokrasi

Mungkinkah tragedi yang berlaku di Mesir menunjukkan umat Islam tidak boleh mempercayai demokrasi?

Jawapan

Kudeta yang berlaku di Mesir merupakan satu tragedi dan pengkhianatan jelas terhadap sistem demokrasi dan hak asasi manusia. Ia hanya akan membina preseden yang bahaya. Jika sesetengah kumpulan yang tidak berjaya dalam proses pilihan raya yang bersih tidak bersetuju dengan pihak yang menang, maka mereka turun ke jalan raya dan mendesak campur tangan tentera. Lebih malang, kudeta ini disokong oleh negara-negara barat dan kuasa-kuasa besar yang kononnya mendukung demokrasi.

Kudeta juga hanya akan mengiakan pandangan pihak yang menolak demokrasi sama ada daripada golongan diktator seperti para pemimpin teluk ataupun golongan radikal Islam yang mengkafirkan demokrasi. Keadaan di Mesir ini mungkin boleh mereka kaitkan dengan pengalaman di Algeria yang telah menyaksikan perkara yang serupa. Maka bagi kumpulan radikal ini, satu-satunya cara untuk menegakkan Islam hanyalah dengan cara keganasan dan juga ekstremisme.

Sokongan Ditaktor

Rampasan kuasa ini juga memberikan justifikasi kepada para diktator di negara-negara Teluk yang berhadapan dengan rakyat untuk mengenakan tindakan zalim ke atas rakyat sendiri seperti Arab Saudi, UAE, Kuwait dan Basyar di Syria. Tidak hairanlah kerajaan Arab Saudi dan UAE dengan segera menghantar kawat tahniah kepada Jeneral al-Sisi atas kejayaannya menggulingkan kuasa Morsi. Malah, bantuan yang dijanjikan oleh kerajaan Arab Saudi dan UAE kepada pemerintahan pasca-kudeta secara nyata menunjukkan sokongan mereka kepada kudeta dan amaran kepada rakyat mereka sendiri untuk tidak cuba merubah kerajaan.

Yang nyata, sokongan Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah kepada negara-negara diktator ini mempamerkan sikap hipokrit mereka dalam isu demokrasi dan hak asasi manusia

Kebimbangan Saudi

Saya hairan, mengapa kerajaan Arab Saudi menyokong kudeta untuk menggulingkan kerajaan Morsi?

Jawapan

Bagi kerajaan Arab Saudi, mereka mempunyai alasan yang amat kuat untuk memastikan kerajaan pimpinan Morsi gagal. Jika Morsi dan Ikhwanul Muslimin berjaya membawa Mesir ke tahap yang lebih maju dan lebih baik, ia akan memberikan pengiktirafan kepada kuasa rakyat dan juga system kerajaan berteraskan rakyat sivil. Jika mereka mengiktiraf kerajaan sivil, ini bermakna mereka memberikan lampu hijau untuk rakyat Saudi menuntut hak mereka. Ini bererti pemerintahan kerajaan monarki autokratik Saudi akan berakhir.

Atas dasar inilah mereka perlu memastikan bahawa tiada kerajaan sivil yang akan berjaya di Asia Barat. Mereka lebih gembira jika negaranegara Arab diperintah oleh dictator yang zalim berbanding pemimpin sivil yang adil.

Lebih malang, mereka menjadikan kezaliman pemerintah sebagai tuntutan agama yang wajib dianuti oleh umat Islam. Ini adalah pencemaran terhadap kesucian Islam yang meletakkan keadilan di tempat yang tinggi.

Wallahu a‘lam.

mengapa-saudi-menyokong-kudeta2

DR. MASZLEE MALIK

Sumber artikel daripada majalah al-Ustaz isu No.18


 

Dr. Maszlee Malik

Sarjana Fiqah dan Usul Fiqah, Universiti Al al-Bayt, Sarjana UM. PhD, Universiti Durham dan pernah menjadi pensyarah di universiti tersebut. Kepakaran dan tumpuan begitu terserlah dalam kajian tentang politik Islam semasa. Aktif menulis dan antara buku beliau Biografi Syeikh Ahmad Yassin, Persoalan Asas Isu Palestin dan Road To Beirut.

Kebanyakan bidang penulisan beliau adalah berkisar isu Palestin, isu umat Islam antarabangsa dan fiqh kontemporari. Sehingga kini, beberapa buah buku tulisan beliau sudah diterbitkan antaranya Biografi Syeikh Ahmad Yassin, Persoalan Asas Isu Palestin, Aspek-Aspek Keislaman, Road To Beirut, Soal Jawab Remaja Islam, dan disertasi sarjananya yang bertajuk Hukum Talfiq Dalam Muamalat. Kini pensyarah UIAM.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

Kembali ke atas