Menu

 

A+ A A-

Sampaikan Sunnah, Jangan Bertengkar

IMAM Ahmad bin Hanbal terkenal dengan kepakarannya dalam ilmu hadis. Beliau juga sangat teguh berpegang kepada sunnah.

Satu hari, al-Abbas bin Ghalib al-Warraq bertanya kepadanya: “Jika aku berada dalam satu majlis, dan tidak ada yang mengetahui sunnah dalam majlis itu kecuali diriku, lalu seorang ahli bidaah berbicara. Bolehkah aku membantahnya?”

Imam Ahmad menjawab: “Beritahukanlah sunnah itu, namun jangan bertengkar.”

Al-Warraq mengulangi soalannya beberapa kali, namun Imam Ahmad tetap melarangnya. Beliau tidak menyukai pertengkaran walaupun untuk menegakkan sunnah sekalipun. Setelah didesak berkali-kali, akhirnya Imam Ahmad menjadi marah.

Beliau berkata: “Aku mendapati engkau orang yang suka bertengkar!”

Diceritakan oleh Ibn Muflih al-Hanbali dalam kitab al-Adab al-Shar‘iyyah.

Pengajaran:

Kewajiban kita hanya menyampaikan sunnah. Jika orang lain tidak menerimanya, maka kita tidak wajib memaksa apalagi bertengkar dengannya. Pertengkaran hanya akan membawa kepada permusuhan. Dan tiada siapa yang mendapat manfaat daripada permusuhan sesama kaum Muslimin selain musuh-musuh Islam.

Sumber artikel daripada majalah Al-Ustaz isu No.5

 


 

Al-Ustaz

Majalah yang dilahirkan untuk merungkai segala persoalan feqah, akidah dan lain-lain perihal agama dalam kalangan masyarakat. Diwakili oleh pelbagai kolumnis pakar dalam pelbagai bidang. Majalah yang padat serta dikukuhkan berdasarkan Al-Quran & Hadis. Sesuai dijadikan sebagai sumber rujukan kepada persoalan-persoalan dan menjawab segala kekeliruan permasalahan di kalangan umat islam.

 

Dapatkan majalah Al-Ustaz keluaran terbaru di Addeen Online Store!

Kembali ke atas