Menu

 

A+ A A-

FENOMENA UPIN DAN IPIN

“Hai… saye Upin, dan ini adik saya Ipin.”

“Hai.”

“Ini kisah kami berdua.”

“Mm-mm-mmm.”

Pertama kali mendengar nama Upin dan Ipin ini adalah ketika saya berpindah ke Damansara Damai, apabila dua orang anak lelaki saya digelar dengan nama-nama tersebut. Kebetulan usia mereka tiga dan empat tahun dan kelihatan seperti kembar, yang paling ketara kedua-duanya botak!

Terdesak oleh keinginan untuk mengenali rancangan ini saya menonton sepanjang malam melalui Internet, sudah tentu bersama dengan ‘Upin dan Ipin’ saya.

Berlatar belakangkan kampung yang sederhana dan permai, Upin dan Ipin adalah dua beradik kembar yang kematian ibu bapa. Mereka membesar dan mendapat kasih sayang daripada Opah yang penyayang dan Kak Ros yang garang, tetapi baik.

Terpegun bukan semata-mata animasinya yang menarik, tetapi pengisian, dialog dan jalan ceritanya yang sopan. Penulis skrip animasi ini sangat berjaya menggunakan sifat ingin tahu kanak-kanak untuk menimbulkan pelbagai isu.

Lihat sahaja bagaimana penerimaan Upin dan Ipin terhadap ibadah puasa. Pelbagai persoalan muncul tetapi dijawab penuh hikmah oleh Opah dan Kak Ros. Secara tidak langsung ia mengajar anak-anak kita yang menonton untuk berpuasa. Kesannya dapat saya lihat terhadap anak sulung yang berkeras tidak mahu membawa bekal ke sekolah, semata-mata kerana hendak berpuasa seperti Upin dan Ipin (bulan Ramadan lepas).

Siri ini juga mengajar ibu bapa agar berhati-hati menjawab soalan anak-anak yang pelbagai dan kadang kala merimaskan. Upin dan Ipin sering merujuk kepada Opah mereka setiap kali berhadapan pelbagai persoalan. Frasa “Opah cakap...” sering digunakan untuk menguatkan hujah mereka.

Upin dan Ipin bukan sekadar animasi atau kartun biasa yang sekadar memaparkan sikap agak biadab kanak-kanak terhadap orang tua seperti Anak- Anak Sidek atau Afi dan Abah. Ia juga tidak memerlukan kuasa luar biasa seperti Keluang Man atau buku sakti seperti dalam Hikayat Putera Syazlan. Tetapi Upin dan Ipin mempunyai kelainan tersendiri yang membuatkannya dekat di hati setiap penonton tanpa mengira usia.

Kesederhanaan dan realiti, mungkin itulah rahsianya. Gambaran sebenar kehidupan anak-anak di desa serta celoteh dan gelak ketawa mereka bersama rakan-rakan sangat terkesan di jiwa.

3Fenomena Upin dan IpinAnimasi hebat ini tidak hanya digilai penonton Malaysia, malah ia sangat diminati di Indonesia yang disiarkan melalui TPI. Produk Malaysia mendapat tempat di Indonesia, ini adalah perkara yang jarang berlaku. Lihat bagaimana tersungkurnya Syukur 21 yang berbelanja besar berdepan dengan pasaran Indonesia, begitu juga dengan filem-filem seram Malaysia gagal memecahkan pasaran Indonesia.

Siapa sangka si kembar comel ini pula berjaya menerobos pasaran Indonesia. Tidak hanya di Indonesia, Upin dan Ipin juga dialih bahasa ke bahasa Turki untuk siaran Hilal TV. Menurut Les Copaque Production, penerbit animasi ini, sudah ada pihak dari Timur Tengah berminat untuk membeli animasi ini. Wah! Selepas ini kita boleh tengok Upin dan Ipin bercakap Arab pula! Sahih... Sahih... Sahih...

Kita amat berharap siri seperti ini membantu ibu bapa membentuk “Upin dan Ipin” dalam diri anak-anak kita. Betul... Betul... Betul...¤

4Fenomena Upin dan Ipin

 


Oleh Rohidzir Rais

Sumber artikel daripada majalah Solusi isu No 3

 


 

Rohidzir Rais

Lepasan Universiti al-Azhar, Mesir dalam bidang Syariah Islamiyyah. Kini berkhidmat sebagai editor dan penulis sepenuh masa di Telaga Biru Sdn. Bhd. Pernah berkhidmat sebagai pensyarah di Kolej al-Azhar, Pulau Pinang. Aktif dan berpengalaman mengendalikan kursus-kursus fardu ain, al-Quran dan bahasa Arab di seluruh Malaysia. Telah berjaya menulis dan menterjemah 30 buah buku dalam pelbagai bidang. Layari blog beliau di www.al-zuhaily.blogspot.com.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

IMBK1002

  IMBK1002

Kembali ke atas