Menu

 

A+ A A-

PEMBUKUAN AL-QURAN ITU BIDAAH?

Sesungguhnya ilmu yang sebenar itu ialah apa yang difirmankan oleh Allah s.w.t., apa yang disabdakan oleh Baginda Rasulullah s.a.w. dan apa yang diriwayatkan oleh para sahabat rhm. tanpa diperolok-olokkan. Inilah sumber ilmu yang sebenar seperti yang dimasyhurkan oleh para ulama.

Terdapat persoalan umum yang menyatakan bahawa Sayidina Abu Bakar r.a.ialah sahabat yang melakukan satu bidaah yang tidak dilakukan oleh Rasulullah s.a.w. iaitu dengan menulis semula al-Quran. Maka, bidaah ini berterusan sehinggalah pembukuan yang dimasyhurkan oleh Sayidina Uthman r.a.

Peranan Seorang As-Siddiq

Bagi merungkaikan permasalahan ini, marilah kita renungi apa yang telah dibincangkan dalam siri-siri yang lalu. Sayidina Abu Bakar r.a. adalah sahabat yang amat dipercayai oleh Rasulullah s.a.w. dan juga para sahabat. Ini terbukti dengan satu gelaran yang diberikan oleh Baginda s.a.w. kepada beliau iaitu as-Siddiq yang bermaksud “seorang yang amat benar dalam segenap sudut.” Atas sifat inilah beliau telah melakukan ijtihad yang amat besar untuk sekalian umat Islam iaitu dengan menulis, menyalin, serta mengumpulkan semua lembaran yang telah tertulis ayat-ayat al-Quran bagi menjaga mukjizat yang agung inidaripada menjadi lukisan zaman.

Baginda Rasulullah s.a.w. pernah menyatakan bahawa: “Para sahabatku ibarat bintang-bintang di langit, maka setiap tingkah laku mereka yang kamu ikut nescaya kamu akan mendapat petunjuk daripada Allah s.w.t.” Sayidina Abu Bakar memulakan dengan meletakkan syarat yang amat tegas sekali iaitu dengan memberikan perhatian yang serius dalam perkara-perkara berikut:

  1. Menulis semua ayat-ayat al-Quran kecuali yang telah dinasakhkan bacaan oleh Rasulullah s.a.w.
  2. Menulis semua ayat-ayat al-Quran yang telah diijmak oleh para sahabat sebagai mutawatirah.
  3. Menulis semua qiraat yang diriwayatkan daripada Rasulullah s.a.w tetapi tidak terdapat kaedah penulisan yang khusus dalam perkataan dan juga ayat yang terdapat perbezaan qiraat tersebut.
  4. Menyusun semua ayat yangterkandung dalam setiap surah seperti yang ada dalam mashaf sekarang tetapi dengan surah-surah yang tidak tersusun. (Sheikh Muhammad bin Muhammad bin Abu Syahbah, al-Madkhal Li Dirasati al-Quran al-Karim, Maktabah al-Sunnah)

 

Perbezaan PengumpulanAl-Quran

Bagi membezakan pengumpulan al-Quran dalam dua era ini secara terperinci, boleh merujuk jadual di bawah:

 1AAA

Bukan Perkara Bidaah

Imam al-Harith al-Muhasibiy menyatakan bahawa: “Ijtihad para sahabat dalam penulisan serta pembukuan al-Quran ini bukanlah satu perkara bidaah, bahkan ia merupakan satu arahan daripada Rasulullah s.a.w. kerana Baginda sendiri yang menyuruh perlakuan tersebut. Perbezaannya cuma ayat-ayat al-Quran tersebut berada pada helaian yang bercerai seperti di kulit, kayu, tulang, batu, pelepah tamar dan sebagainya yang terdapat di rumah Rasulullah s.a.w. Lalu, Sayidina Abu Bakar r.a. mengarahkan supaya diikat dengan benang sekemas-kemasnya agar setiap tulisan yang ditulis semula di atas kertas tersebut tidak hilang walaupun sedikit.”

Pendapat ini juga dikukuhkan lagi dengan pendapat daripada Dr. Muhammad Salim Muhaisin dalam kitabnya yang berjudul  ‘Firihab al-Quran’ yang turut menyatakan bahawa: “Sesungguhnya kita tidak boleh menghukum perlakuan sahabat dalam pengumpulan al-Quran sebagai bidaah dan tidak terdapat mana-mana nas yang menyokongnya, akan tetapi amalan ini diambil daripada perlakuan Baginda Rasulullah s.a.w. sendiri yang melantik beberapa orang sahabat sebagai penulis wahyu.”

Kronologi Pembukuan dan Pemeliharaan Al-Quran

Berikut merupakan rajah kronologi pembukuan serta pemeliharaan al-Quran bermula dari era Rasulullah s.a.w. sehinggalah era khalifah Marwan bin al-Hakam:

 1AAAA

 

USTAZ MOHD ADIB HASSAN SAARI

Sumber artikel daripada GEN-Q 10


 

 

Ustaz Mohd Adib bin Hassan Saari

Sarjana Muda Qiraat, Maahad Qiraat Shubra, Universiti al-Azhar. Antara guru beliau ialah Syeikh Abdul Hakim bin Abdul Latif (Pakar Rujuk Utama Ilmu Qiraat di Masjid al-Azhar), Syeikh Abdul Rahim al-Banna dan Syeikh Qadri bin Abdul Hamid al-Hafiz. Kini guru, merangkap jurulatih utama al-Quran, Jabatan Pelajaran Negeri Kedah.

Kembali ke atas