Menu

 

A+ A A-

IBADAH KORBAN BUKAN SEKADAR PENYEMBELIHAN

Makna Ibadah Korban

PADA tahun ini saya akan melaksanakan ibadah korban. Bolehkah ustaz huraikan makna korban?

Korban, atau udhiyyah dalam bahasa Arabnya, bermaksud menyembelih haiwan yang tertentu jenisnya daripada ternakan yang dikategorikan sebagai al-An‘am (haiwan ternak) iaitu unta, lembu (termasuk kerbau), biri-biri dan kambing pada Hari Raya Haji (10 Zulhijah) dan pada hari-hari Tasyrik (11,12 dan 13 Zulhijah) bertujuan untuk mendekatkan diri kepada Allah s.w.t. Ia telah disyariatkan melalui firman Allah yang bermaksud: “Maka dirikanlah solat kerana Tuhanmu dan berkorbanlah.” (Surah al-Kawthar: 2)

Melalui hadis pula, telah diriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w. menyembelih dua ekor kibas putih yang bertanduk besar sebagai korban dengan tangannya sendiri sambil menyebut nama Allah dan bertakbir, serta meletakkan kaki Baginda di tengkuk kibas tersebut. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang mempunyai kemampuan tetapi tidak berkorban, maka janganlah ia menghampiri tempat solat kami.” (Riwayat Ibn Majah)

Kata ulama, hadis ini merupakan satu ancaman kepada orang yang berkemampuan tetapi tidak mahu melakukan ibadat korban.

ibadah-korban-bukan-sekadar-penyembelihan-1

Hikmah Ibadah Korban

Saya yakin setiap ibadah yang dianjurkan ada rahsia dan hikmah di sebaliknya selain daripada aspek pengabdian diri kepada Allah. Apakah rahsia atau hikmah di sebalik ibadah korban pula?

Memang benar amalan berkorban itu mempunyai hikmah dan fadilatnya antaranya:

1. Menzahirkan kesyukuran kepada Allah atas nikmat-nikmatnya yang melimpah-ruah dengan menumpahkan darah haiwan korban dan dagingnya dibahagikan kepada fakir miskin dan golongan yang berhajat.

2. Memperingati peristiwa ketaatan Nabi Ibrahim yang sanggup menyahut perintah Allah untukmengorbankan anaknya Nabi Ismail. Inilah suatu pengorbanan yang tiada tolak bandingnya yang dilakukan oleh seorang hamba demi ketaatan kepada perintah Penciptanya.

3. Menanamkan perasaan kasih sayang antara si kaya dengan si miskin. Ibadat korban dapat menolong orang fakir dan mereka yang berhajat serta menggembirakan mereka pada hari raya.

4. Menimbulkan semangat bekerjasama dan tolong menolong dalam kalangan masyarakat semasa syiar Islam itu dilaksanakan.

5. Menegakkan syiar bahawa agama ditegakkan dengan pengorbanan. Menumpahkan darah haiwan simbolik kepada pengorbanan yang dilakukan.

ibadah-korban-bukan-sekadar-penyembelihan-2

Teladan Nabi Ibrahim

Kisah Nabi Ibrahim sering dikaitkan dengan ibadah korban. Mohon ulasan ustaz.

Ya. Ibadah korban mempunyai rentetan warisan sejarah yang panjang. Ia akan sentiasa diperbaharui setiap tahun dan akan berkekalan sehingga ke akhir zaman insya-Allah. Ia merupakan peringatan yang berkekalan tentang satu sikap unik dan terpuji yang mungkin tidak akan ditemui lagi dalam dunia ini: Keutuhan iman Nabi Ibrahim serta kepatuhan mutlaknya terhadap Tuhannya Yang Maha Agung.

Baginda sanggup bersusah payah ke Makkah yang pada ketika itu hanyalah lembah gersang lagi kering tidak berpenghuni untuk meninggalkan isterinya Hajar dan anaknya Ismail yang masih bayi semata-mata menurut perintah Tuhannya. Setelah anaknya meningkat dewasa dan dapat membantu bapanya untuk melakukan kerja-kerja, datang pula cubaan dan dugaan yang amat besar dalam hidup mereka.

Kisah itu diceritakan sendiri oleh Allah melalui firman-Nya yang bermaksud: “Dan Ibrahim berkata: ‘Sesungguhnya aku pergi menghadap Tuhanku, dan Dia akan memberi petunjuk kepadaku. Wahai Tuhanku, anugerahkanlah kepadaku (seorang anak) yang soleh.’

“Maka Kami sampaikan kepadanya khabar gembira dengan seorang anak yang amat sabar (Nabi Ismail). Maka tatkala anak itu sudah dewasa dan mampu berusaha bersama-samanya, Ibrahim berkata: ‘Wahai anakku, sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku menyembelihmu. Maka apa pendapatmu?’

“Ismail menjawab: ‘Wahai bapaku, kerjakanlah apa yang diperintahkan kepadamu. Insya-Allah kamu akan mendapati diriku termasuk dalam kalangan orang yang sabar.’

“Tatkala kedua-duanya telah berserah diri dan Ibrahim membaringkan anaknya di atas lambungnya, lalu Kami menyerunya: ‘Wahai Ibrahim, sesungguhnya kamu telah membenarkan mimpi itu.

“Sesungguhnya demikianlah Kami memberi balasan kepada orang yang berbuat baik. Sesungguhnya ini benar-benar suatu ujian yang nyata!’

“Dan Kami tebus anak itu dengan seekor sembelihan yang besar. (Setelah ternyata kesabaran dan ketaatan Ibrahim dan Ismail, maka Allah melarang menyembelih Ismail dan tidak meneruskan korban. Allah menggantikannya dengan seekor kibas yang besar. Peristiwa ini menjadi dasar pensyariatan korban yang dilakukan pada hari Raya Haji).

“Kami abadikan untuk Ibrahim itu (pujian yang baik) dalam kalangan orang yang dating kemudian. (Iaitu) Kesejahteraan dilimpahkan atas Ibrahim. Demikianlah Kami memberi balasan kepada orang-orang yang berbuat baik.” (Surah al-Saffat: 99-110)

Wallahua a‘lam.

Dr. Abdul Basit Abd Rahman

Sumber artikel daripada majalah Al-Ustaz isu No.7


Dr. Abdul Basit Haji Abdul Rahman (Abu Anas Madani)

Dr. Abdul Basit Bin Haji Abdul Rahman, dikenali juga sebagai Abu Anas Madani. Beliau adalah pendakwah yang tidak asing lagi di kalangan pencinta ilmu agama. Menjawat jawatan Pensyarah di Jabatan Syariah, Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS) dan Musyrif (Penyelia) Pondok Sungai Durian, Kuala Krai, Kelantan, Panel Penasihat Dakwah, Kerajaan Negeri Kelantan tahun 1428-1429H serta beberapa jawatan lain.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

 

 

Kembali ke atas