Menu

 

A+ A A-

UMAT ISLAM SEMAKIN TERIKUT-IKUT

Sejarah Berulang

Soalan: Saya banyak membaca dan mengkaji sejarah umat dan tamadun terdahulu. Saya dapati bahawa tindakan dan perangai buruk masyarakat moden hari ini sebenarnya mengulangi perbuatan buruk umat terdahulu. Apa pandangan ustaz?

Memang tidak dinafikan bahawa sejarah yang pernah dilakukan oleh umat-umat terdahulu, kembali diulang tayang dan dilakonkan oleh umat masa kini.

Andainya dahulu lesbian, gay dan seumpamanya berlaku, maka pada hari ini juga kita dapat melihatnya. Andainya dulu pembunuhan terhadap bayi perempuan dilakukan, maka pada hari ini pembunuhan itu tetap berlaku, malah tanpa mengira jantina. Andainya dulu wanita diperdagangkan, pada hari ini juga wanita diperdagangkan dengan cara “moden”.

Bahkan kita perhatikan kekejaman dan kerosakan yang berlaku pada hari ini lebih dahsyat dan lebih tidak berperikemanusiaan berbanding dengan apa yang dilakukan oleh umat terdahulu. Semua ini berpunca daripada keinginan masyarakat kita untuk mengikuti cara hidup umat yang terdahulu, sama ada dalam keadaan sedar ataupun tidak.

Rasulullah s.a.w. mengingatkan kita semua dengan peringatan yang tegas, mafhumnya: “Kalian pasti akan mengikuti jalan (cara hidup) umat sebelum kamu sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta. Sehinggakan sekiranya mereka terperosok ke dalam lubang biawak, nescaya kamu juga pasti akan mengikutinya!” Para sahabat bertanya: “Wahai Rasulullah, Yahudi dan Nasrani?” “Siapa lagi (kalau bukan mereka)?” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Dalam riwayat lain pula dinyatakan bahawa umat tersebut ialah Parsi dan Rom. (Riwayat al-Bukhari)

Ini merupakan antara fitnah besar yang melanda umat Islam pada hari ini.

“Jalan” Mereka

Soalan: Apakah maksud “jalan umat terdahulu” dalam hadis? Adakah ia bermaksud kita tidak boleh mengikut langsung apa sahaja amalan hidup orang kafir?

Mengikut amalan, budaya dan sikap positif orang kafir tidak dilarang selagi mana ia tidak bercanggah dengan syariat Islam. Namun larangan yang dijelaskan oleh Rasulullah ini adalah mengikuti jalan-jalan kebinasaan yang akan merosakkan dan menghancurkan nilai kemanusiaan dan masyarakat.

Imam Ibn Battal menjelaskan: “Sesungguhnya umat Nabi Muhammad sebelum berlakunya kiamat akan mengikuti pelbagai perkara yang direka-reka, bidaah dan mengikuti keinginan nafsu yang menyesatkan sebagaimana umat-umat terdahulu: Parsi dan Rom sehinggakan ada sebahagian besar daripada mereka sanggup mengubah agama mereka.”

Demikianlah yang dilakukan oleh Yahudi dan Nasrani. Imam al-Zuhri berkata: “Sesungguhnya Yahudi dan Nasrani melepaskan diri mereka daripada ilmu yang berada di tangan mereka (Taurat dan Injil), sehinggakan mereka berpegang teguh dengan pandangan mereka.”

Oleh yang demikian, yang dimaksudkan dengan mengikuti jalan-jalan mereka adalah apabila kita mengikuti jalan dan cara hidup orang kafir tanpa merujuk terlebih dahulu kepada sumber yang menjamin keselamatan kehidupan di dunia dan akhirat iaitu al-Quran dan sunnah. Ketika itu, pegangan dan sikap kita membelakangi firman Allah dan sabda Rasulullah. Sebaliknya, kita berpegang dengan akal fikiran semata-mata. Malah keinginan hawa nafsu dan kebebasan tanpa batasan dituruti dengan sewenang-wenangnya.

Hasilnya, pemikiran, budaya, akhlak dan gaya hidup diasaskan atas keinginan tersebut. Maka pada waktu itu, kita telah mengikuti jalan-jalan umat terdahulu.

Sejengkal Demi Sejengkal

Soalan: Apakah yang dimaksudkan dengan sejengkal dan sehasta dalam hadis?

Imam al-Nawawi dalam Sharh Sahih Muslim menyatakan bahawa ia merupakan satu perumpamaan yang menunjukkan betapa kuatnya keserasian dengan orang kafir. Yang dimaksudkan dengan keserasian di sini adalah dalam perkara yang bercanggah dengan Islam, bukannya dalam kekufuran.

Dapat juga kita fahami, mungkin pada awalnya kita melakukannya dalam keadaan yang tidak tenang, namun setelah sentiasa bergelumang dengannya, kita semakin mendekati jalan tersebut sehingga kita merasa tenang dan selesa dengan cara hidup mereka. Bahkan ia tidak terhenti di situ, kita merasa bangga dengan cara hidup tersebut dan akan mempromosikannya.

Penghujungnya, kita akan menjadi pendukung dan pejuang terhadap kemaksiatan dan budaya songsang yang dilakukan oleh golongan kafir. Nauzubillah!

Perbezaan Lafaz Hadis

Soalan: Ustaz ada membawakan dua versi hadis. Hadis pertama menyatakan bahawa umat terdahulu merujuk kepada Yahudi dan Nasrani manakala hadis kedua pula merujuk kepada Parsi dan Rom. Mengapa ada perbezaan?

Imam Ibn Hajar menjelaskan: “Hal ini kerana Parsi dan Rom merupakan tanggapan yang berkaitan dengan perundangan manusia dan politik rakyat. Yahudi dan Nasrani pula, berkenaan tanggapan yang berkaitan urusan agama sama ada pada asasnya atau cabangnya.”

Umat Terdahulu

Soalan: Adakah larangan mengikuti umat terdahulu hanya terhad kepada Yahudi, Nasrani, Parsi dan Rom sahaja?

Secara zahir, ia hanya terhad kepada golongan yang disebutkan oleh Rasulullah sahaja iaitu Yahudi dan Nasrani atau Parsi dan Rom. Namun, hadis ini perlukan kepada penjelasan yang lebih menyeluruh. Imam al-Kirmani menjawab bahawa yang dimaksudkan dengan pembatasan manusia (umat yang disebut dalam hadis) adalah umat yang pada kebiasaannya mempunyai pengikut-pengikut.

Imam Ibn Hajar pula berpendapat bahawa Rasulullah menyebutnya kerana tatkala Rasulullah dibangkitkan, kerajaan yang berkuasa ketika itu hanyalah Parsi dan Rom, malah semua umat yang menentang mereka berada di bawah kekuasaan mereka. Jadi larangan mengikuti bukan hanya terhad kepada golongan yang disebutkan oleh Rasulullah sahaja, malah ia meliputi setiap golongan yang menyeleweng dan membelakangi tauhid dan syariat Islam.

Renungilah sentiasa firman Allah yang bermaksud: “Dan jika engkau menurut kebanyakan orang yang ada di muka bumi, nescaya mereka akan menyesatkan kamu dari jalan Allah. Tiadalah yang mereka turut melainkan sangkaan semata-mata, dan mereka tidak lain hanyalah berdusta.” (Surah al-An‘am: 116)

Wallahu a‘lam.

Mohd Solleh Abd. Razak

Sumber artikel daripada majalah Al-Ustaz isu No.7


Ustaz Soleh bin Abd. Razak

Lulusan Diploma Tahfiz al-Quran dan Qiraat, Darul Quran, JAKIM. Menyambung Ijazah Sarjana Muda di Jabatan Pengajian al-Quran dan al-Sunnah, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Kini bertugas sebagai imam masjid dan guru di Sekolah Menengah Tahfiz IQKL. Antara buku yang dihasilkan beliau "Wasiat Sebelum Dirimu Bergelar Ulama" dan "Sehingga al-Quran Terpahat di hati", terbitan Telaga Biru Sdn. Bhd. Lawati: http://www.solleh-alfatimi.blogspot.com

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

wasiat 280 x 393 TBBK1275  TBBK1259

TBBK1283

Kembali ke atas