Menu

 

A+ A A-

WASATIYAH DAN SUNNAH

Maksud Sunnah

Ustaz, baru-baru ini saya mendengar ceramah Maulidul Rasul di Masjid berdekatan rumah. Penceramah tersebut menyeru supaya umat Islam mengikut sunah Nabi s.a.w. Cuma saya tidak jelas apakah sebenarnya yang dimaksudkan dengan sunah?

 

Sunnah dari sudut bahasa bererti jalan (al tariqah). Dari sudut istilah ia bererti sesuatu yang disandarkan kepada Nabi sama ada percakapan, perbuatan atau pengakuan.

Hubungan Sunnah dengan al-Quran

Al-Quran dan sunah dilihat dua sumber rujukan utama dalam Islam. Namun apakah hubungan sunnah dengan al Quran? Sebenarnya hubungan di antara sunnah dan al-Quran begitu kuat sehingga al-Imam al-Qaradawi mengingatkan di dalam kitabnya al-Marji’iyyat al- ‘Ulya tentang bahaya al-Quran tanpa sunnah. Ertinya kefahaman al-Quran itu tidak akan difahami dengan tepat melainkan dengan petunjuk daripada Nabi. Tetapi di sini saya tekankan bahawa bukan bererti sunnah lebih tinggi daripada al-Quran. Ia tetap berada dalam kedudukan selepas al-Quran, pada masa yang sama perlu kita mengetahui bahawa setiap sunnah Nabi yang sahih tidak akan bercanggah dengan al-Quran, bahkan ia sentiasaberjalan di bawah payungan al-Quran dan tidak terkeluar daripada al-Quran al-Karim.

Keunikan Sunnah

WASATIAH1Sunnah Nabi kelihatan sangat unik dan istimewa statusnya. Bolehkan ustaz menyebut ciri-ciri keunikan sunnah Nabi? Untuk jawapan ini saya sebutkan kata-kata Imam al-Qaradawi di dalam kitabnya Kayfa Nata’amal ma’a al-Sunnah al-Nabawiyyah secara gubahan:

1. Sunah metode yang bersifat syumul (lengkap). Merangkumi seluruh aspek kehidupan sehingga kepada kematian.

2. Sunnah metode yang bersifat seimbang antara ruh dan jasad, akal dan hati, dunia dan akhirat dan lain-lain.

3. Sunnah metode yang bersifat lengkap melengkapi. Iaitu terdapat iman dihubung dengan ilmu, wahyu dihubung dengan akal.

4. Sunnah metode yang bersifat realiti. Iaitu ia tidak berinteraksi dengan manusia seperti mereka adalah malaikat, tetapi sebagai seorang insan yang makan dan minum.

5. Sunnah metod yang memudahkan (al-taisir). Ia bercirikan mudah dipraktikkan, dan ini natijah daripada sifatnya realiti.

Berinteraksi dengan Sunnah

Mutahir ini ramai orang yang menyebutkan hadis dalam satu status Facebook mereka. Saya terfikir: Betulkah hadis-hadis itu. Bukan apa, ada beberapa hadis itu yang agak tidak logic bagi saya. Boleh Ustaz jelaskan bagaimana seharusnya sikap kita apabila membaca hadis?

Di sini saya sebutkan prinsip-prinsip yang diketengahkan oleh al-Quran:

1. Memastikan kesahihan hadis berdasarkan kaedah-kaedah dan piawaian yang ditetapkan oleh ulama kita.

2. Memastikan kefahaman terhadap sunnah berdasarkan konsep bahasa Arab dan di bawah payungan nas-nas al-Quran dan sunnah yang lain.

3. Memastikan hadis tidak disanggah oleh dalil yang lebih kuat seperti al-Quran atau hadis-hadis yang lebih kuat daripadanya . Antara peringatan penting yang ditekankan oleh Imam al-Qaradawi: “Antara perkara yang dianggap kecuaian iaitu gelojoh di dalam penolakan hadis sahih. Sepatutnya bagi seorang alim kekal bersama hadis sahih dan mencari jalan untuk memahami hadis atau melakukan takwil yang sesuai dengan hadis itu.”

Hadis Da’if dalam Ceramah

Martabat hadis daif sebagaimana yang diketahui adalah lemah, namun bagaimana pula dengan setengah penceramah yang menyampaikan hadis daif untuk tujuan dakwah?

Bagi saya, beramal dengan hadis adalah harus di dalam fadail a’mal selama mana beriltizam dengan syarat yang disebutkan oleh Ibnu Hajar al- Asqalani yang dinukilkan oleh Imam al-Sayuti di dalam kitabnya Tadrib al-Rawi:

1. Hadis yang disepakati oleh ulama tidak begitu lemah. Ia bukan daripada hadis yang diriwayatkan oleh golongan penipu dan pemalsu hadis.

2. Hadis itu terikat dengan kaedah umum.

3. Tidak diiktikad ketika beramal bahawa hadis itu daripada Nabi. Tapi saya ingatkan janganlah kita terus terlupa dengan hadis-hadis sahih yang banyak kita boleh lakukan dan amalkan. Berkenaan dengan penceramah-penceramah yang kerap mengeluarkan hadis tanpa menerangkan kedudukannya, saya menasihati diri saya dan para pendakwah agar merujuk dan membaca dahulu sebelum mengeluarkan hadis kerana dibimbangi meninggikan hadishadis yang tertolak pengamalannya. Janganlah hanya sekadar menarik perhatian tetapi disiplin ilmu kita tinggalkan. Saya mencadangkan para pendakwah memiliki kitab ringkasan al-Targhib wa al-Tarhib oleh Imam al-Qaradawi yang menerangkan status setiap hadis dan pengertian makna hadis yang sukar difahami. Mudah-mudahan Allah menjadikan kita khadam kepada sunnah.

 

Wallahu a‘lam.

Ustaz Ahmad Fauwaz Fadzil Noor

Sumber artikel daripada majalah Al-Ustaz Isu 12


 

 

Ustaz Ahmad Fauwaz Fadzil Noor

Sarjana Muda Syariah, Universiti al-Azhar, 2004. Mendapat Sijil Kemahiran Fatwa, Darul Ifta’ Mesir, 2008. Berguru secara langsung dengan ramai ulama besar antaranya Syeikh Ali Jumaah, Mufti Mesir, Dr. Taha Jabir al-Ulwani dan Dr. Mohammad al-Zuhaili. Kini sebagai Pegawai Perhubungan Korporat dan Penasihat Syariah Pelima Media Sdn. Bhd.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

 

Kembali ke atas