Menu

 

A+ A A-

MENANGGUK ILMU DI PHILADELPHIA

MUNGKIN ada yang tertanya-tanya, mengapa lain benar jurusan yang dipelajari dengan pembabitan saya dalam dunia seni. Namun itulah peluang yang tidak mahu disia-siakan. Ditawarkan untuk menyambung pengajian dalam bidang Sains Aktuari di Temple University, Philadelphia, Amerika Syarikat, tidak sama sekali menjadi tembok penghalang untuk terlibat dalam bidang seni. Respons yang memberangsangkan daripada novel sulung yang bertajuk Melodi Hati terbitan Telaga Biru Sdn. Bhd. sekitar penghujung tahun 2009, membakar semangat saya untuk terus berkarya.

Cabaran Duduk Berjauhan

Masih berbaki beberapa bulan sebelum menamatkan pengajian di bumi Philadelphia, pengalaman selama tiga tahun di rantau orang cukup berharga untuk dibawa pulang nanti. Kota Philadelphia atau lebih dikenali sebagi Philly, disifatkan sebagai sebuah kota yang cukup mencabar untuk didiami.

menangguk-ilmu-di-philadelphia-1

Di sebalik tirai sejarah revolusi Amerika dan kemerdekaannya, statistik menunjukkan kota ini merupakan antara bandar yang mempunyai peratusan kes jenayah yang cukup tinggi.

Bunyi siren polis dan ambulans satu perkara yang biasa didengar setiap hari. selain itu, kota Philly juga banyak dikaitkan dengan sejarah penghambaan terhadap rakyat Amerika yang berkulit hitam. Walaupun sejarah hanya tinggal kenangan, badinya seakan masih kekal sehingga kini.

menangguk-ilmu-di-philadelphia-2

Rakyatnya masih belum nampak perubahan yang ketara dalam institusi perkauman. Berkaitan sambutan hari raya di Philly pula, sudah tiga tahun saya menyambutnya jauh dari pangkuan keluarga.

Tidak dapat lari daripada perasaan sedih, saya menyifatkan sambutan Ramadan, Aidilfitri dan Aidiladha di sini masih meriah disambut bersama kawan-kawan dan komuniti Malaysia yang menetap di sekitar Philly. Biasanya kami akan berkumpul dan membawa hidangan hari raya yang dimasak sendiri untuk dinikmati dalam suasana yang cukup harmoni.

Cuma sambutan Aidilfitri pada tahun lalu dirasakan agak berbeza kerana kami dikhabarkan dengan kehadiran ribut Irene yang bakal melanda bahagian timur Amerika, termasuk Philly. Tidak pernah berhadapan dengan bencana alam sebelum ini, saya tidak mengetahui sejauh mana kesan ribut yang bakal tiba itu. Media di Malaysia juga tidak terkecuali membuat laporan mengenai ribut berkenaan.

Mujurlah tidak banyak kerosakan harta benda setelah ribut Irene berlalu.

Syiar Islam Bersinar

Kota Philly tersimpan hikmahnya yang tersendiri. Syiar islam semakin menyinar dalam kelompok masyarakatnya terutama dalam komuniti Afrika Amerika. Sejak hari pertama berpijak di kota ini, saya menyedari golongan wanita yang bertudung ada di mana-mana sahaja. Pemandangan seperti itu tidak asing lagi di universiti, pasar raya, taman rekreasi dan lain-lain tempat.

Selain itu, masjid-masjid juga kelihatan banyak bertapak di sekitar Philly. Antaranya Muhammad’s Mosque, Mecca Masjid, united Muslim Masjid dan banyak lagi. Satu nikmat untuk tinggal di kota Philly berbanding bandar-bandar lain di Amerika ialah tidak sukar untuk memperoleh makanan yang halal, murah dan lazat di sini.

menangguk-ilmu-di-philadelphia-4

Menu makanan yang disediakan tidak terhad pada hidangan ala barat sahaja. Ramai pengusaha Muslim yang berhijrah dari merata benua membuka restoran di Philly. Malah, bahan mentah seperti daging ayam dan lembu halal juga boleh dibeli di pasar raya berdekatan.

Agama islam mudah untuk dipraktikkan di Amerika syarikat kerana negara ini berorientasikan kebebasan. Berbanding negara-negara lain terutama di Eropah, undang-undang di sini tidak menghalang orang ramai untuk melaksanakan tuntutan agama masing-masing.

menangguk-ilmu-di-philadelphia-3

Mendirikan solat di kawasan parkiran, bawah tangga, bilik persalinan, atas rumput mahupun salji, adalah perkara biasa bagi kami sekiranya berada di luar rumah. Biarpun permulaannya agak kekok kerana menjadi perhatian orang ramai, lama-kelamaan perkara tersebut menjadi satu kebiasaan dan perasaan itu akan hilang lebih-lebih lagi ketika solat berjemaah.

Program berbentuk keagamaan pula banyak diadakan terutamanya pada musim cuti semester. Dengan adanya organisasi seperti MisG (Malaysian Islamic study Group), program-program yang dianjurkan oleh mereka memberi peluang kepada para penuntut di Amerika syarikat untuk sentiasa berada dalam suasana tarbiah dan mengisi cuti dengan perkara yang lebih bermanfaat.

Ridzuan Mohd Ghazali

Sumber artikel daripada majalah Gen-Q isu No. 8


Ridzuan Mohd Ghazali

Anak muda ini bukan calang-calang orangnya. Dia pelajar pintar, memperoleh 9A dan 10A, masing-masing dalam Peperiksaan Menengah Rendah (PMR)dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Walaupun dari aliran sains dan minat matematik, dia meminati bidang penulisan. Bakat ini bagai permata yang digilap, semakin terserlah apabila dia berjaya menghasilkan lima buah novel remaja setakat ini. Melodi Hati, Hazim, Aizat & Muzik, Brrr... Sejuknya Salji!, Diari Untuk Ibu dan Goodbye New York. Ini adalah tajuk-tajuk novel yang dihasilkan dalam tempoh empat tahun bermula 2009 hingga 2012. Anak muda yang dimaksudkan ialah Ridzuan Mohd Ghazali yang menggunakan nama pena, Iwan Reaz dan Iwan Ghazali untuk novel yang dihasilkan sebelum ini.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

 

Kembali ke atas