Menu

 

A+ A A-

DISERANG SALJI

Sudah dijangkakan, minggu ini, United Kingdom (UK) diserang oleh salji, malah seperti yang dilaporkan adalah terhebat sejak 20 tahun lepas. 

Tempat kami di ceruk Wales, yang jarang-jarang merasainya, turut diliputi salji buat kali kedua tahun ini, walaupun ia belum cukup tebal. Dijangka esok (Selasa 2 Feb) lebih tebal berbanding hari ini.

Apa yang menarik perhatian saya tentang “serangan” salji di UK ini bukan pada keseronokan bermain saljinya, tetapi yang agak mengejutkan saya ialah kesannya apabila ia turun lebih daripada biasa. 

Di kota sesibuk London dilaporkan turun sekitar 10cm ke 30cm tebalnya. Cuaca tidaklah begitu sejuk, hanya sekitar negatif 2-7 darjah celsius sahaja. Sebelum ini lebih sejuk. Sebelum menjejaki UK ini saya menyangka bisnes dan kegiatan penduduk UK sama seperti Moscow di Russia, kawasan sejuk di Cina dan lain-lain negara bersalji di dunia. Mereka tentu telah lali dengan salji dan setiap bisnes dan kehidupan mereka telah mengambil kira kaedah mengatasi masalah salji setiap kali turun. Manakan tidak, sejak saya berada di UK sejak tujuh bulan lepas, pelbagai kemudahan telah sedia ada bagi menghadapi pelbagai kesan akibat cuaca sejuk: 

1. Frost (air batu beku), di cermin kenderaan.

Kaedahnya kita boleh membeli sejenis cecair khas yang boleh disemburkan ke cermin, dalam beberapa saat sahaja, air batu akan cair dan cermin akan kembali normal.

2. Frost akibat air bekunya air coolant dan air basuhan wiper bagi kenderaan.

Masalah itu mudah diatasi, campurkan sahaja sejenis cecair anti frost bersama air, nescaya ia tidak akan beku walau dalam cuaca sejuk di bawah 20 darjah celcius.

3. Jalan raya yang dipenuhi salji dan air batu licin.

Mudah sahaja. Dengan segera mereka menaburkan sejenis garam khas di sekitar jalan utama,  dengan itu air batu dan salji akan cair dengan segera. Saya pasti banyak lagi kesan akibat salji

dan cuaca sejuk tetapi tentunya semuanya telah diramalkan, justeru saya menaruh baik sangka apabila menyangka teknologi sudah tersedia bagi menghadapinya. Khususnya seperti ciptaan mudah seperti di atas, tentunya salji sekadar tebal 15cm boleh dengan mudah ditangani dan tiada banyak kesan negatif.

SOLUSI 8 -57

Teknologi Tersungkur

Rupanya, sangkaan saya meleset. Walaupun salji ini telah mereka ramalkan akan turun sepanjang minggu ini, namun salji ciptaan Allah s.w.t. ini dengan mudah sahaja menawan bumi UK sehingga lumpuh bisnes dan majority pergerakan warga Britain sepanjang hari ini (Isnin, 2 Feb 2009). Esok dan hari berikutnya, menurut ramalan, bakal menyaksikan ketebalan salji yang lebih dahsyat.

Menurut faktanya, kesan dari salji menyebabkan: 

  1.  Kerugian perniagaan sebanyak £1.2 billion sehari disebabkan pekerja gagal sampai ke tempat kerja dan perkhidmatan gagal berfungsi. 
  2. Airport utama Heathrow, Luton, dan lain-lain, tutup sepenuhnya. Sebahagian yang masih dibuka, menghadapi banyak masalah kegagalan pendaratan atau penerbangan.
  3. Hampir semua penerbangan dibatalkan. Beribu-ribu penumpang terkandas di lapangan terbang dan bermalam di sana tidak pasti berapa lama. Tidak boleh pulang ke rumah dan Diserang Salji tidak boleh “terbang”.
  4. Tiada satu pun bas dua tingkat dan pengangkutan awam lain yang bergerak dalam London menyebabkan semua pekerja yang memerlukannya tidak mampu pergi ke tempat kerja atau pulang.
  5. Seluruh perkhidmatan Tube (keretapi bawah tanah) ditutup sepenuhnya hari ini (Isnin), dianggarkan satu hari tutup, bererti mereka rugi £40 juta. 
  6. Semua perjalanan kereta api biasa dan komuter (atas tanah) dibatalkan.
  7. Hasil anggaran kasar dari 300 syarikat besar, mendapati setiap seorang dari lima orang pekerja gagal sampai ke tempat kerja setiap hari.
  8. Pasaran saham London, separuh kosong akibat pekerja yang tidak sampai.
  9. Lebih 3,000 sekolah ditutup.

Apa Pentingnya Ini?

Apa yang saya fikirkan adalah kembali tergambar kekuasaan Allah s.w.t. menenggelamkan teknologi canggih ciptaan manusia.

Semuanya terkandas dan tidak berfungsi. Itu pun masih ramai yang berlagak lebih bijak dari Allah s.w.t, sehingga tanpa segan silu menolak hukum hakam yang ditentukan oleh-Nya.

Hari ini, kita kerap terlupa kekuasaan Allah s.w.t. akibat terpesona dengan kecanggihan teknologi. Sehingga keyakinan kepada teknologi menjadikan kita terlalu ‘rasa kecil’ hingga akhirnya menjadi semakin mundur ke belakang dari semua sudut, sama ada teknologi, kewangan, idea, minda dan lebih teruk, mundur juga dari sudut spiritual, sehingga semakin tipis pergantungan kepada Allah s.w.t. Tiada lagi sangka baik dengan kekuasaan Allah s.w.t.

Kembalikanlah keyakinan kepada kebesaran Allah s.w.t., dalam masa yang sama mengorak langkah menjadi seorang yang lebih berminat kepada ilmu, buku, teknologi dan akhirnya mampu membina semula ketamadunan Islam yang mengagumkan dahulunya.

 

 

Zaharuddin Abd Rahman

Sumber artikel daripada majalah Solusi Isu 8


 

Ustaz Zaharuddin Abd Rahman

Lulusan B.A.(Hons), Usuluddin, Universiti Malaya dan M.A. Shari’ah (Jayyid Jiddan), Univ. Al-Yarmouk, Jordan. Kini sebagai pensyarah di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia; di samping Ahli Majlis Penasihat Shariah, C&S Consulting & Investment Ltd, British Virgin Islands (bersama Prof. Dr Monzer Kahf), Pengerusi Majlis Penasihat Shariah, OSK Investment (Islamic) Bank Berhad, Konsultan Shariah di Standard Chartered (Sadiq) Bank (Malaysia) Berhad, Kolumnis majalah I, majalah Iktisad dan Harian Metro Ahad. Pernah berpengalaman sebagai Penasihat Syariah di RHB Islamic Bank Bhd. dan Setiausaha Majlis Syariah, Asian Fianance Bank Bhd. Layari web beliau di www.zaharuddin.net

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

 

  ptsb1444

 

Kembali ke atas