Menu

 

A+ A A-

ATASI MENGANTUK KETIKA BELAJAR

RAMAI yang menyalahkan buku dengan mengatakan ia bosan. Ada juga yang menyalahkan suasana bilik yang terlalu sejuk atau amat panas. Tidak kurang juga yang menuding jari kepada guru, kononnya tidak bijak mencungkil minat untuk kita belajar. Apa pun alasan anda, masalah mengantuk ini mesti diatasi. Jika tidak, apa yang ditelaah pasti tidak diperoleh, sia-sia segala maklumat dan pasti kita tidak beroleh manfaat. Jadi Abang Badr mulakan dengan sebab utama anda mengantuk.

1 - Makan terlalu banyak sebelum belajar

Betul, makanan membekalkan tenaga. Tetapi makanan yang terlalu banyak bakal menghabiskan tenaga kita di otak dek kerana badan kita menumpukan kepada proses penghadaman makanan tersebut. Dengan kata lain, andai anda makan berlebihan sebelum belajar, minda anda tidak akan dapat bersedia untuk belajar dan ini akan menyebabkan anda mengantuk.

2 - Tidur yang tidak cukup

Semua orang tahu tentang hal ini tetapi ramai yang tidak ambil peduli. Ramai antara kita yang suka belajar sehingga larut malam dengan alasan untuk belajar dengan penuh tekun dan fokus. Akhirnya, hari esok menjadi hari yang huru-hara. Mana tidaknya, solat subuh terlewat, terpaksa pula bergegas untuk bersiap ke sekolah, suasana pagi yang tenang bertukar menjadi kelam kabut dan akhirnya hari anda bermula dengan perasaan negatif. Tekanan “menghodohkan” semangat juang anda. Tidak cukup dengan itu, apabila anda mula menghadap buku, anda mulalah mengantuk!

3 - Tidur yang tidak cukup-cukup

Fenomena ini agak pelik tetapi ramai juga yang mengaku kepada Abang Badr mereka terjebak dengan masalah ini. Asal ada masa terluang sahaja, mesti hendak tidur. Dan yang lebih syahdunya, apabila ada yang menggunakan alasan untuk ‘khailulah’ (tidur sebentar sebelum Zohor). Malangnya, dia ‘berkhailulah’ sampai ke lewat Asar! Ini menyebabkan kitaran waktu rehat dalam tubuh anda menjadi keliru. Akibatnya anda akan mengantuk tanpa mengikut waktu, apatah lagi tatkala mata menghadap buku!

atasi-mengantuk-ketika-belajar-1

Sekarang, Abang Badr akan kongsi dengan anda semua tentang kaedah terbaik untuk mengatasi mengantuk ketika belajar.

1 - Makan sekadar keperluan

Asalkan anda makan ketika lapar dan berhenti sebelum kenyang, insya-Allah sunnah Nabi ini bakal membantu anda memberikan fokus terbaik ketika belajar. Sebagai peringatan, jangan ambil asam atau jeruk untuk menjadi peneman anda dalam memerangi mengantuk. Walaupun anda rasa kurang mengantuk dengan adanya asam dan jeruk, anda sebenarnya sedang mengurangkan juga kekuatan memori dan daya fikir!

2 - Jaga masa tidur

Allah menciptakan tidur itu untuk anda merehatkan badan. Maka apabila sampai masa untuk tidur, tidurlah dengan selesa. Jangan terlebih ataupun terkurang. Pelajar yang cemerlang tidur 6 hingga 8 jam sehari. usah bersengkang mata dengan alasan untuk belajar kerana waktu sebegitu, anda sebenarnya memerlukan rehat yang secukupnya untuk hari esok yang lebih positif dan bersemangat. Takut nanti anda bukannya membaca buku, tetapi sekadar melihat buku sahaja!

3 - Tidur apabila terlalu mengantuk

Apabila anda mengantuk kerana terlalu penat melakukan sesuatu, maka tidurlah sebelum anda duduk di meja studi.

Cuma bagi yang mengantuk tanpa alasan yang kukuh, apa kata cuba kaedah ini. Anda tidur tetapi tidak perlu untuk baring. Anda sekadar tidur menongkat dagu di meja studi. Pejamkan mata. insya-Allah, apabila tangan anda sudah tidak mampu menongkat kepala, anda pasti “terganggu” dengan insiden itu. insya-Allah, insiden itu akan membuatkan mata anda bulat kembali. Tambahan pula apabila mata dibuka, anda terlihat buku dan tugasan di atas meja!

4 - Belajar dengan aktif

Dengan kata lain, elakkan membaca dengan menggunakan mata. Oh, jadi nak guna apa? Gunakan mata untuk melihat, mulut untuk membaca dengan kuat, tangan untuk mencatat atau menggariskan isi penting dan kaki untuk bangun sambil studi ketika mula bosan. insya-Allah anda akan dapat mengatasi mengantuk.

5 - Berdoa

Berdoa dan merayu kepada Allah agar anda diberikan tenaga dan semangat untuk belajar tanpa gangguan mengantuk. insya-Allah, Allah membantu anda dengan pelbagai cara.

atasi-mengantuk-ketika-belajar-2

Akhir kalam untuk kali ini, Abang Badr doakan agar anda semua dapat mendalami ilmu Allah tanpa lagi diganggu masalah mengantuk. selamat mencuba. Anda mampu mengubahnya!

Ahmad Badrul Sani Baharudin
Sumber artikel daripada majalah Gen-Q isu No.8


Ahmad Badrul Sani Baharudin

Master Trainer Az-Zahrah - Multi Intelligence Academy

Kembali ke atas