Menu

 

A+ A A-

GAGAHKAN JATI DIRI REMAJA MUSLIM

Dewasa ini, jarang terdapat remaja yang ingin memikirkan secara serius persoalan-persoalan besar seperti, “Adakah saya benar-benar Muslim dan apa tuntutan sebenar apabila saya mengaku Muslim?”

Umumnya, remaja terlalu disibukkan dengan hidangan pelbagai hiburan, gosip dan aktiviti-aktiviti tak berfaedah sehingga perkara sia-sia sebegitu menduduki kedudukan teratas dalam keutamaan hidup mereka.

Gagal membezakan Muslim atau kafir? Manusia atau binatang? 

Bayangkan seorang yang buta tetapi mengaku dapat melihat. Dia berjalan bengkang-bengkok, teraba-raba, terlanggar sana, terlanggar sini namun masih mengaku dirinya dapat melihat. 

Itulah perumpaan orang yang mengaku Muslim walaupun amalan hidupnya jauh daripada cara hidup Islam. Lebih menyedihkan apabila ada dalam kalangan remaja Muslim yang bukan hanya tidak kisah dirinya menepati ciri-ciri Muslim atau tidak bahkan tidak dapat membezakan perbuatan kemanusiaan atau kebinatangan. 

Pendek kata, dia tidak peduli sama ada tindakan yang ingin diambilnya itu adalah tindakan manusia yang wajar atau pun sebaliknya. Masakan tidak, apabila kes jenayah semakin kritikal, kita dapat menyaksikan bagaimana remaja hari ini makin gagal menghayati sifat kemanusiaan.

Contohnya, kes buang bayi merekodkan statistik yang sentiasa menaik, dadah, pergaduhan hingga membawa kepada pembunuhan, rogol, rempit, ragut dan lain-lain hampir setiap hari akhbar melaporkannya.

Remaja Muslim yang tidak kuat jati dirinya sebagai seorang Muslim tidak akan menghargai Islam yang dimilikinya malah boleh bertindak seperti orang yang tiada pegangan. 

Bagaimana contohnya? Solat yang menjadi pemisah antara Muslim dan kafir sewenang -wenangnya ditinggalkan, jilbab yang menjadi identiti wanita Muslimah tidak dipeduli, dan arak diteguk sebagai “ubat” melupakan tekanan atau apabila tenggelam dalam pelbagai masalah.

Apa yang Perlu Remaja Muslim Tahu?

  • Tahu perubahan kedudukan mereka setelah mereka menjadi Muslim daripada penghambaan kepada manusia (contohnya jadi hamba cinta) dan sistem-sistem lain kepada penghambaan kepada Allah s.w.t. semata-mata. Kedudukan sebagai Muslim juga mengubah dirinya daripada kehinaan kepada kemuliaan.
  • Tahu akan tanggungjawab yang dikenakan terhadap mereka berikutan kedudukan mereka sebagai seorang Muslim.
  • Tahu akan batasan-batasan yang akan menjamin dan mengekalkan diri mereka sebagai Muslim agar mereka tidak melewatinya. 
  •  Tahu bahawa dengan melewati batas-batas tersebut, mereka akan bersara dari menjadi seorang Muslim walaupun mulut mereka masih mengaku seorang Muslim. Jadilah Islam mereka hanya pada nama.

 

Bagaimana Menjadi Muslim Sejati? 

  • Menyerahkan diri dan semua urusan kehidupan kepada apa yang Allah s.w.t. kehendaki melalui peraturan syariat.
  • Tidak mengatur urusan hidup dengan kehendak sendiri ataupun kehendak orang lain.
  • Taat dan bertanggungjawab dalam menunaikan hak-hak Allah s.w.t.
  • Mengutamakan kepentingan Allah s.w.t. daripada kepentingan diri.
  • Mencari penyelesaian segala masalah hidup dengan panduan al-Quran dan al-Sunnah.
  • Tidak membelakangkan petunjuk al-Quran dan al-Sunnah dengan logik akal yang sempit dalam sesuatu permasalahan.

 

Contoh fahaman remaja yang tidak Islami

  1. “Aku tahu menghampiri zina tu salah, tapi mak aku sendiri tak kisah aku keluar dating dengan perempuan tu."
  2. “Suka hati akulah nak buat apa pun. Kubur masing-masing kan?”
  3. “Kalau aku ada masa nanti, aku solatlah. Banyak nak study lagi ni. Kalau terlepas waktu, aku qada’.”
  4. Boyfriend aku dah tinggalkan aku. Baik aku bunuh diri saja, tak pun aku simbah asid kat makwe baru dia.”
  5. “Tak acilah perempuan je kena pakai tudung. Lelaki tu syok aje tak perlu panas-panas. Aku tak kira, aku tak nak jugak pakai tudung.”

 Tanggungjawab seorang Muslim 

  • Mengucap dua kalimah syahadah.
  • Membenarkan segala yang dibenarkan oleh al-Quran dan al-Sunnah serta membatilkan segala perkara yang dibatilkan oleh kedua-duanya.
  • Tunduk kepada peraturan Allah s.w.t.Tidak terus taasub kepada pendapat diri sendiri, keluarga dan adat turun-temurun jika ia jelas berlawanan dengan kebenaran al-Quran dan al-Sunnah.
  • Menghakimi segala pertentangan dan  kekeliruan dengan kembali kepada petunjuk al-Quran dan al-Sunnah.

 

Firman Allah s.w.t. yang bermaksud: “Sesungguhnya Kami telah menurunkan  kitab Taurat, di dalamnya (ada) petunjuk dan cahaya (yang menerangi), yang dengan kitab itu diputuskan perkara orang-orang Yahudi oleh nabi-nabi yang menyerahkan diri kepada Allah, oleh orang-orang alim mereka dan pendeta-pendeta mereka, disebabkan mereka diperintahkan memelihara kitab-kitab Allah dan mereka menjadi saksi terhadapnya. Kerana itu janganlah kamu takut kepada manusia (tetapi) takutlah kepada-Ku. Dan janganlah kamu menukarkan ayat-ayat-Ku dengan harga yang sedikit. Barang siapa yang tidak memutuskan menurut apa yang diturunkan Allah, maka mereka itu ialah orang-orang yang kafi r.” (Surah al-Maa’idah, ayat 44)

umar

 

Fatimah Syarha Mohd Noordin

Sumber artikel daripada majalah Solusi Isu 8


 

 

 

Fatimah Syarha Mohd Noordin

Graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (Fiqh dan Psikologi) dan Ijazah Bacaan Quran Bersanad dan Daurah Bahasa Arab dari Universiti Syeikh Ahmad Kiftaro, Syria. Kini menyambung pengajian Sarjana di UIAM. Berpengalaman menjadi Peer Tutor, Naqibah Study Circle, fasilitator dan Ketua Pengarah Kumpulan Panel Editor UIAM dan ustazah di Sek. Ren. Ibn Kathir, Gombak. Pernah dinobatkan sebagai novelis Sayembara Mengarang Novel Remaja DBP 2006. Mula berkarya dengan Telaga Biru Sdn. Bhd. pada Disember 2005.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

  

  

 

Kembali ke atas