Menu

 

A+ A A-

TEMAN MENCERMINKAN DIRI KITA

MEMILIH teman sangat penting kerana teman bukan sekadar rakan kita bermain, malahan ia mencerminkan siapa kita. Sayidina Abdullah bin Mas’ud pernah berkata: “Nilailah seseorang dengan temannya. Ini kerana seseorang hanya berteman dengan orang yang satu jenis dengannya.”

 

Izinkan saya menceritakan sebuah kisah berkenaan ini. Pada abad ke-5 Hijrah, ada seorang ulama yang sangat unggul. Beliau bernama Ali bin Aqil bin Muhammad bin Aqil, Abu al-Wafa al-Baghdadi. Beliau terkenal dengan panggilan Ibn Aqil. Ulama bermazhab Hanbali ini lahir pada tahun 431H di kota Baghdad. Beliau wafat di kota yang sama pada tahun 513H, dalam usia 82 tahun.

Berkata al-Silafi : “Aku tidak pernah melihat orang seperti Abu al-Wafa Ibn Aqil. Tidak ada seorang pun yang mampu berdebat dengannya kerana keluasan ilmu, keindahan kata, dan kekuatan hujahnya.”

Semua sifat-sifat mulia ini adalah hasil ketekunan beliau menuntut ilmu. Selain itu, ternyata pergaulan memainkan peranan yang sangat penting. Ibn Aqil, seperti yang beliau ceritakan sendiri sangat bertuah kerana bergaul dengan orang yang tepat.

Beliau berkata: “Sejak kecil, Allah menjaga diriku dengan pelbagai bentuk jagaan. Allah membuatku hanya mencintai ilmu. Tidak pernah sekali pun aku berteman dengan orang yang suka bermain. Dan aku tidak pernah bercampur melainkan dengan para penuntut ilmu seperti diriku.” Ucapan ini dinukilkan oleh al-Hafi z al-Zahabi dalam kitab ‘Siyar A‘lam al-Nubala’.

Jangan Salah Pilih

Jelaslah, kita mesti selalu berhati-hati memilih teman. Berteman dengan cerdik pandai mengajar kita menggunakan masa dengan efektif. Tokoh yang berjaya dalam hidup sangat memilih dalam pergaulan. Ia sedar, tersilap memilih teman dapat merosakkan akhlak dan budi pekerti, bahkan merosakkan hidup kita seluruhnya.

Rasulullah s.a.w. pernah bersabda, maksudnya: “Perumpamaan teman yang baik dan teman yang buruk seperti penjual minyak wangi dan peniup api. Daripada penjual minyak wangi, engkau akan mendapat minyak itu ataupun terkena bau wanginya. Adapun daripada peniup api, baju engkau akan terbakar atau mendapat bau busuknya.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Pilih yang Berilmu

86-Jadi, siapakah orang yang boleh kita jadikan teman? Untuk menjawab persoalan ini, mari kita hayati nasihat-nasihat para ulama berikut:Berkata Imam al-Syafi ‘i: “Sesiapa yang tidak menyukai ilmu, tiada kebaikan pada dirinya. Maka, janganlah ada ikatan perkenalan dan persahabatan antara dirimu dengan dirinya.” Diriwayatkan al-Baihaqi dalam kitab ‘Manaqib al-Syafi ‘i’.

Tanpa ilmu, manusia tidak berbeza daripada haiwan. Ia tidak mengenal Allah dan tidak tahu hukum-hukum agama. Berkawan dengan orang seperti ini hanya akan membahayakan diri sendiri.

Pemuda Islam yang cinta akan ilmu suka bergaul dengan orang berilmu yang menambah dan mencambahkan ilmunya. Ia tidak suka berteman dengan orang yang tidak mencintai ilmu kerana orang seperti ini hanya akan mengganggu langkahnya menuju Allah s.w.t.

Beriman

Selain berilmu, seorang teman yang baik mestilah memiliki sifat-sifat yang disebutkan oleh Ibn Ataillah al-Sakandari. Beliau berkata: “Janganlah berteman dengan orang yang tidak meningkatkan keimananmu, dan ucapannya tidak menunjukkan dirimu kepada Allah.” Demikian ucapan beliau sebagaimana yang terdapat dalam kitab ‘Al-Hikam’.

Ini bermakna, kita perlu mencari temanteman yang dekat hubungannya dengan Allah. Yakni, teman yang apabila kita lihat perbuatannya, membuat kita ingin mengikut dan meneladaninya. Jika kita mendengar ucapannya, ia mengingatkan kita kepada Allah, Rasul-Nya dan hari akhirat.

Sikap ini dipraktikkan oleh para ulama salaf kita. Berkata Ja’far bin Sulaiman: “Setiap kali hatiku terasa keras, aku mendatangi Muhammad bin Wasi’ untuk melihat ibadahnya. Kesannya kekal pada hatiku selama berhari-hari.”

Mulakan dengan Diri Sendiri

Demikian nasihat para ulama dalam mencari teman yang tepat. Kalau boleh saya rumuskan, teman yang baik ialah mereka yang menghiburkanmu ketika sedih, membantumu ketika susah, mengingatkanmu ketika lalai, dan mendoakanmu setelah mati.

Jika ada orang seperti ini, maka jadikan ia teman kerana ia akan memberi manfaat kepada kita di dunia dan di akhirat. Sesiapa yang merindukan kawan seperti ini, hendaklah ia mempraktikkan semua sifat ini terlebih dahulu pada dirinya. Jadilah seseorang yang anda cari, nescaya orang itu akan datang kepada anda. Ingat selalu ucapan Ibn Mas’ud sebelum ini, “Seseorang hanya berteman dengan orang yang satu jenis dengannya.”

Wallahuaklam.

            USTAZ UMAR M NOOR

Sumber artikel daripada Majalah GEN-Q Isu 09


Umar Muhammad Noor

Lahir di Bekasi, Indonesia. Lulusan B.A. Usuluddin (TafsirHadis) dari UIN Syarif Hidayatullah, Jakarta dan Sarjana Usuluddin (Hadis) di Universiti Omm Durman, Sudan. Berpengalaman belajar daripada ulama-ulama Damaskus, Syria dari 2002-2008. Kini sebagai pensyarah Usuluddin dan Syariah di Kolej Marsah, Johor Bahru.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

  

 

Kembali ke atas