Menu

 

A+ A A-

BESARNYA FADHILAT ZIKRULLAH

Ditulis oleh 

Muaz bin Jabal r.a. terpegun mendengar sabda Baginda s.a.w., “Tidak sesekali ahli syurga akan merasai rasa kesal, melainkan (tatkala mereka teringat) pada saat-saat dalam kehidupan dunia mereka yang berlalu tanpa berzikir kepada Allah!”

Wajah mereka tenang. Biarpun bentuk fizikal mereka berlainan, pakaian mereka berbeza dan darah keturunan mereka pelbagai; namun cahaya wajah mereka adalah seakan-akan sama. Hari itu mereka sama-sama mendengar sabda Rasulullah s.a.w. dengan penuh khusyuk. Setiap patah perkataan yang terlontar dari mulut Nabi s.a.w. yang Mubarak disambut dengan penuh takzim oleh hati mereka.

Hari itu Rasulullah s.a.w. bercerita sesuatu tentang syurga dan ahlinya. Muaz bin Jabal r.a. terpegun apabila mendengar Baginda s.a.w menjelaskan, “Tidak sesekali ahli syurga akan merasai rasa kesal, melainkan (tatkala mereka teringat) pada saat-saat dalam kehidupan dunia mereka yang telah berlalu tanpa berzikir kepada Allah Taala!” Aisyah r.ha. dan Abu Hurairah r.a. juga terkesan sama dengan perkhabaran ini. (Ilustrasi daripada hadis yang diriwayatkan oleh al-Tabrani, dan al-Baihaqi daripada Muaz bin Jabal r.a. Ibn Abid Dunya daripada ‘Aisyah r.ha., demikian juga daripada Abu Hurairah r.a. Imam Ahmad, Ibnu Hibban dan al-Hakim turut meriwayatkannya).

Riwayat di atas menjelaskan tentang fadilat zikrullah atau berzikir kepada Allah. Betapa besar fadilatnya, hingga ahli syurga yang telah bersenang lenang menikmati kemewahan syurga pun masih timbul rasa kesal mereka mengingatkan sela-sela masa mereka di dunia, yang mereka telah tidak penuhinya dengan zikrullah. Fadhail sebenarnya ialah bentuk kata jamak kepada perkataan Arab “fadhilat”ayat1. Perkataan ini telah dimasukkan dalam perbendaharaan kata bahasa Melayu dengan ejaan ‘fadilat’. Menurut Kamus Dewan, fadilat ertinya kemuliaan, ketinggian, kelebihan (dalam beribadah). Al-Quran sendiri dipenuhi dengan ayatayat yang menyentuh tentang fadilat sesuatu perkara.

Begitu juga dengan hadis-hadis Rasulullah s.a.w. Fadilat ini merujuk kepada ganjaran dan pahala ayat2  mahupun kesanayat3 kepada sesuatu amalan atau perkara.

Ada ayat al-Quran yang menyentuh tentang fadilat iman dan amal secara umum, contohnya firman Allah Taala:

“Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan beramal soleh, disediakan bagi mereka syurga Firdaus, sebagai tempat tetamu (yang serba mewah). Mereka kekal di dalamnya, (dan) tidak ingin berpindah daripadanya.” (Surah al-Kahfi 18: 107-108). Dalam Tafsir Adhwa al-Bayan dinyatakan, bahawa di dalam ayat ini Allah Taala menyatakan bahawa iman dan amal soleh itu adalah sebab kepada sampainya seseorang itu ke syurga Firdaus yang disediakan oleh Allah kepada hamba-Nya. Ini jelas menunjukkan bahawa fadilat kepada iman dan amal soleh yang diterima oleh Allah ialah dapat memasuki syurga-Nya.

Pada tempat yang lain pula, Allah Taala memberitahu kita fadilat seseorang yang istiqamah mengagungkan Allah, menyeru manusia kepada Allah (da’wah ilallah) dan teguh mempertahankan seruan dan percakapannya:

“Sesungguhnya orang yang menegaskan keyakinannya dengan berkata: ‘Tuhan Kami adalah Allah’, kemudian mereka tetap teguh di atas perbicaraan mereka itu, akan turunlah malaikat kepada mereka dari masa ke masa (dengan memberi ilham): ‘Janganlah kamu bimbang (dari berlakunya kejadian yang tidak baik terhadap kamu) dan janganlah kamu berdukacita, dan terimalah berita gembira bahawa kamu akan beroleh syurga yang telah dijanjikan kepada kamu.’ Kamilah penolong-penolong kamu dalam kehidupan dunia dan pada hari akhirat; dan kamu akan beroleh pada hari akhirat apa yang diingini oleh nafsu kamu, serta kamu akan beroleh pada hari itu, apa yang kamu cita-citakan mendapatnya. (Pemberian-pemberian yang serba mewah itu) sebagai sambutan penghormatan daripada Allah Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani! Dan tidak ada yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru (mendakwahkan) kepada (mengesakan dan mematuhi perintah) Allah, serta dia sendiri mengerjakan amal yang soleh, sambil berkata: ‘Sesungguhnya aku adalah daripada orang-orang Islam (yang berserah bulat-bulat kepada Allah)!” (Surah Fussilat 41: 30-33) Bagi mereka ini, berhaklah kepada mereka fadilat yang besar di sisi Allah (ringkasan daripada tafsir Fi Zilalal-Quran):

  1. Persahabatan dengan para malaikat;
  2. Kesetiaan dan kasih sayang malaikat kepada mereka;
  3. Jaminan ketenangan hati; Pengurniaan Jannah untuk mereka; dan
  4. Dakwah ialah perbicaraan yang terbaik di atas muka bumi ini.

Sesungguhnya fadilat dan tabsyir yang sebeginilah yang telah membentuk keimanan dan misi peribadi Rasulullah s.a.w. dan para Sahabat Baginda!

 

 

Oleh Ust Gunawan Ab Aziz

Sumber artikel daripada majalah Solusi Isu 10

 


 

 

Read 6064 times
Ustaz Mohd. Gunawan Che Abd. Aziz

Anak kelahiran Kota Bharu, Kelantan. Sekarang berkhidmat sebagai seorang Pegawai Tadbir dan Diplomatik di Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR), Jabatan Perdana Menteri. Setakat ini sebanyak empat buah buku beliau telah diterbitkan, yang terbaru, Masjid Itu Hidupku, terbitan Telaga Biru. Boleh bersilaturrahim melalui http://gunawanaziz.blogspot.com