Menu

 

A+ A A-

SEDEKAH KUNCI KEMUDAHAN DALAM KEHIDUPAN

Sedekah Terbaik

Bagaimana untuk mencapai tahap sedekah yang terbaik di sisi Allah?

Jawapan:

Berikut adalah beberapa syarat utama untuk menjadikan sesuatu pemberian itu sedekah yang terbaik:

1. Niat hanya kerana Allah s.w.t. semata-mata.

2. Diambil daripada sumber yang halal lagi baik.

3. Sedekah tidak diiringi dengan umpatan dan kata-kata yang menyakitkan.

4. Diberikan kepada insan yang sangat memerlukan dan boleh terus dimanfaatkan.

5. Perkara yang disedekahkan merupakan harta terbaik yang dimiliki atau disayangi.

6. Menyembunyikan sedekah dan tidak menceritakannya kepada sesiapa.

7. Menganggap kecil harta atau amalan yang dilakukan walaupun jumlahnya sangat

banyak.

8. Melihat dan menyantuni penerima sedekah tanpa meremehkan atau menghinanya.

9. Bersyukur dan gembira dapat memberi, lebih daripada kegembiraan orang yang

menerimanya.

Berkat Hidup dengan Sedekah

Adakah amalan sedekah ada kaitannya dengan keberkatan hidup?

Jawapan:

Ya, amalan sedekah sangat berkait dengan keberkatan hidup. Berkat ialah keadaan berterusannya kebaikan pada sesuatu perkara. Berkat boleh berlaku pada harta benda, umur, masa, tubuh badan, keturunan, rumah tangga atau apa-apa sahaja yang Allah kurniakan kepada hamba-Nya sebagai modal kehidupan.

Ada sebuah hadis, Rasulullah s.a.w. menceritakan bahawa ada dua malaikat yang Allah tugaskan pada setiap pagi khusus untuk mendoakan hamba Allah yang gemar bersedekah. Malaikat itu mendoakan agar dia terus dikurniakan kebaikan oleh Allah. Manakala hamba Allah yang kedekut, malaikat mendoakan agar kehidupannya menjadi kerugian.

Dalam sebuah hadis yang lain Rasulullah bersabda: “Ubatilah sebagai penawar bagi penyakit dengan bersedekah.” (Riwayat al-Tabarani) Ada satu kisah. Seorang lelaki yang menderita penyakit bisul di seluruh tubuhnya sejak tujuh tahun bertanya kepada Ibn al-Mubarak tentang penawar penyakitnya. Ibn al-Mubarak menjawab: “Ketika ini orang ramai memerlukan air kerana musim kemarau. Maka saya cadangkan supaya tuan buatkan telaga yang boleh dimanfaatkan oleh masyarakat. Insya-Allah, penyakit tuan akan sembuh.” Alhamdulillah, Allah menjadikan sedekah itu sebagai sebab kesembuhan penyakit yang dideritainya itu.

Cara Sedekah Orang Miskin

Ustazah, bagaimana orang miskin hendak mendapatkan pahala bersedekah juga?

Jawapan:

Dia membuka pintu rahmat yang sangat luas untuk kita semua meraih ganjaran hebat. Amalan bersedekah tidak hanya terbatas dengan sedekah harta benda sahaja. Konsep bersedekah ialah amalan memberikan sesuatu atas dasar keimanan di hati. Justeru sedekah itu merangkumi sebarang bentuk pemberian termasuklah segala kebaikan dan kebajikan yang dilakukan untuk orang lain atau diri sendiri. Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Setiap kebaikan itu adalah sedekah.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Begitu juga sebuah hadis lain yang bermaksud: “Setiap orang Islam yang menanam tumbuhan kemudian hasilnya dimakan oleh manusia, burung atau haiwan-haiwan, semuanya menjadi sedekah baginya.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim) Sabda Baginda lagi yang bermaksud: “Kata-kata yang baik ialah sedekah. Setiap langkah menuju solat ialah sedekah. Menyingkirkan duri dari jalan juga sedekah.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim) Abu Hurairah berkata bahawa Rasulullah juga pernah bersabda dengan maksudnya: “Setiap ruas tulang manusia wajib ke atasnya bersedekah setiap hari selagi matahari masih terbit. “Engkau mendamaikan dua orang yang berkelahi itu sedekah, menolong seseorang menaiki kenderaannya itu sedekah dan mengangkat barangannya ke atas kenderaan itu sedekah.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Pernah terjadi dahulu, para sahabat Rasulullah yang hidup miskin begitu sedih apabila Rasulullah menceritakan keistimewaan orang yang bersedekah dengan harta benda. Mereka tiada harta untuk disedekahkan. Lantas Rasulullah menyatakan kepada mereka bahawa tasbih, tahmid dan takbir setiap lepas solat fardu adalah sedekah terbaik mereka.

Malah saudaraku sekalian, Rasulullah menyuruh kita berazam untuk banyak bersedekah sekiranya kita mempunyai harta, wang ringgit dan sebagainya. Sekiranya azam kita tidak terlaksana atas faktor yang tidak dapat dielakkan, maka Allah akan tetap memberi pahala seolah-olah kita telah bersedekah. Sudah pasti dengan syarat niat kita itu benar-benar jujur dan ikhlas. Begitu juga Islam menganjurkan kepada pemberi-pemberi hutang untuk menyedekahkan sahaja hutang tersebut. Jadi dia bolehlah menghalalkannya atau membuat lupus kira hutang jika mendapati orang yang berhutang itu memang tidak mampu membayar kembali. Jadilah Wanita Terkaya dengan Sedekah.

Bagaimana kaum wanita boleh mengambil peluang dalam kehidupan mereka untuk meraih kedudukan yang terpuji melalui amalan sedekah ini?

Jawapan:

Jika kita melihat pada konsep sedekah yang luas, ustazah merasakan betapa kayanya para wanita dengan pahala sedekah. Segala khidmat bakti untuk suami dan anak-anak dikira sebagai sedekah disisi Allah. Apatah lagi kalau si isteri dengan lapang hati membantu suami dalam urusan ekonomi dengan menyalurkan sedikit wang ringgitnya untuk keperluan rumah tangga. Itu juga sedekah yang terpuji. Malah insan-insan yang terdekat dalam hidup inilah yang lebih layak menerima sedekah dan sumbangan kita. Mudah-mudahan dengan memahami hakikat sedekah ini, kita semakin bermotivasi untuk menabur bakti dan budi sepanjang hidup. Wallahu a‘lam.

 

 

Ustazah Norhafizah Hj. Musa

Sumber artikel daripada Majalah Al-Ustaz Isu 06

 


 

Ustazah Norhafizah binti Hj. Musa

Pensyarah di Universiti Teknologi Malaysia. Kelulusan Sarjana Muda Bahasa Arab Dan Pengajian Islam University Yarmouk Jordan, Sarjana Usuluddin Universiti Malaya. Kini sedang menyambung pengajian peringkat PhD di Universiti Malaya. Aktif dalam bidang dakwah, wanita dan kemasyarakatan. Panel slot Tanyalah Ustazah TV9, Halaqah TV9, al-Hidayah TV3 dan program TV al-Hijrah.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

Kembali ke atas