Menu

 

A+ A A-

5 PENDEKATAN MENDIDIK ANAK PEREMPUAN

Saya dianugerahkan empat orang anak perempuan. Sebagai ibu, saya amat bimbang dengan senario yang berlaku dalam persekitaran masyarakat kita. Maksiat seperti zina telah berleluasa, malah menjadi lebih parah dengan isu pembuangan bayi dan sebagainya. Bagaimanakah pendidikan yang sepatutnya saya terapkan kepada anak-anak perempuan?

Jawapan:

Anak perempuan permata keluarga dan masyarakat. Melihat anak perempuan sama seperti kita melihat gambaran generasi yang akan datang. Mendidik dan mempersiapkan mereka dengan ilmu dan wawasan mampu merubah wajah dunia.

Dari rumah merekalah kelak akan lahir generasi berikutnya yang berkualiti. Bahkan Rasulullah s.a.w. bersabda bahawa mereka dapat menjadi hijab api neraka bagi kedua-dua ibu bapanya yang mendidik mereka dengan kesempurnaan dan keindahan Islam. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Ustazah cuba mengkhususkan huraian ini kepada perkara yang lebih berkait dengan psikologi anak perempuan.

1.  Hubungan ibu bapa dengan anak-anak perempuan mestilah memenuhi keperluan emosi mereka.

Caranya adalah dengan mencurahkan kasih sayang dan perhatian kepada mereka. Sayidatina Aisyah pernah menggambarkan betapa suburnya kasih sayang antara Rasulullah dan anakanda perempuannya Sayidatina Fatimah al-Zahra’: “Aku tidak melihat seseorang yang lebih mirip dengan Rasulullah dalam berbicara berbanding Fatimah. “Ketika Fatimah menemui Rasulullah, maka Baginda segera berdiri dan menyambutnya, menciumnya dan mendudukkannya di tempat duduk Baginda. Begitu juga ketika Baginda mengunjungi Fatimah, lalu Fatimah berdiri menyambut Baginda, memegang tangan Baginda lalu mendudukkan Baginda di tempat duduknya. Ketika Baginda sakit kuat, Fatimah menziarahi Baginda, lalu Baginda menyambut dan mengucupnya.” (Riwayat al-Bukhari)

Jangan kita terlepas perhatian terhadap soal ini. Nabi kita telah menunjukkan teladan terbaik buat para ibu dan ayah, bahawa anak-anak perempuan khususnya perlu dikasihi, dibelai, dipeluk dengan kasih sayang dan dihormati perasaan dan naluri mereka.

Imam al-Alusi berkata: “Yang diketahui dari orang yang mulia itu ialah mereka sangat menjiwai perasaan wanita. Mereka selalu berusaha untuk membahagiakan dan menghiburkan hati wanita kerana tabiat wanita yang lemah dan perlukan perlindungan. Oleh kerana itu, ketika orang tua ingin memberikan sesuatu kepada anak-anaknya, maka dianjurkan untuk mendahulukan anak perempuan.”

Begitulah juga teladan yang boleh kita pelajari daripada insan mulia Sayidina Abu Bakar al-Siddiq, seperti yang diriwayatkan oleh al-Barra’: “Suatu ketika Abu Bakar datang menjenguk puterinya Aisyah yang demam. Beliau berkata: “Bagaimana keadaanmu puteriku?” Lalu beliau mencium pipi puterinya itu.” (Riwayat alBukhari)

2.  Menanam dalam jiwa anak perempuan perasaan takut kepada Allah dan ancaman azabNya. Islam tidak menggesa ibu bapa untuk menanam ketakutan dalam jiwa anak-anak terhadap mereka dengan menjadi garang dan mengugut anak-anak dengan rotan dan sebagainya. Sebaliknya Islam menyuruh ibu bapa agar menanam ketakutan terhadap Allah dalam diri anak-anak.

Rasulullah bersabda, mafhumnya: “ Jangan kamu mengangkat tongkatmu terhadap keluargamu. Buatkanlah mereka takut kepada Allah.” (Riwayat Ahmad)

Dalam hal ini juga, kita boleh melihat penekanan yang diberi oleh Rasulullah kepada anakanda Baginda supaya memiliki kekuatan rasa takut kepada Allah. Sabda Rasulullah, maksudnya: “Wahai Fatimah, mintalah daripadaku apa sahaja yang kamu inginkan daripada hartaku. Namun aku tidak berupaya menolak seksaan Allah terhadapmu.” (Riwayat al-Bukhari)

3.  Menghukum dengan cara merenggangkan komunikasi dan interaksi dalam tempoh yang sesuai.

Adalah diriwayatkan bahawa jika ada salah seorang anggota keluarga Rasulullah yang berbohong sekali, maka Baginda akan tetap menjauhinya sehinggalah dia bertaubat. (Riwayat Ahmad)

Sekiranya kita telah mendidik anak-anak dengan asas akidah, ibadah dan akhlak maka jika berlaku perlanggaran terhadap mana-mana asas tadi, maka ibu dan ayah boleh membuat pemulauan sementara selama dirasakan tidak sampai menyebabkan anak perempuan memberontak.

4. Tanamkan dalam diri anak-anak perempuan sikap untuk mengadu hanya kepada Allah. Kita sedia maklum bahawa secara psikologinya anak-anak perempuan lebih suka meluahkan masalah, memerlukan pendengar yang setia berkenaan runtunan kehidupan mereka.

Lumrah inilah yang akhirnya menyebabkan anak perempuan ini cenderung untuk memiliki teman istimewa daripada kaum lelaki. Maka ibu dan ayah wajib menanam asas tauhid dalam diri anak-anak dengan meletakkan pengaduan dan kebergantungan kepada Allah.

Ibnul Qayyim berkata: Telah sampai kepada kami satu kisah. Pada suatu hari seorang penguasa daerah tempat Hatim al-Asham tinggal melewati pintu rumah beliau. Lalu sang penguasa meminta air minuman. Sebaik selesai minum, penguasa itu melemparkan wang kepada Hatim dan teman-temannya. Mereka semua bergembira menerima wang tersebut kecuali seorang gadis. Dia menangis melihat keadaan tersebut.

               “Apa yang membuatkan kamu menangis?”

Gadis itu menjawab: “Tatkala seorang makhluk memandang kita, lalu memberi bantuan, pun kita sudah berasa bergembira.

Lalu bagaimana jika sekiranya yang memandang kepada kita dan menghulurkan bantuan itu ialah Allah yang Maha Pencipta?”

5.  Memperkayakan mereka dengan kisah wanita-wanita solehah.

Gunakanlah kesempatan bersama anak-anak perempuan untuk memperkenalkan tokoh-tokoh wanita solehah sepanjang zaman antaranya Asiah dan Maryam. Jadilah ibu yang menyambungkan silaturahim antara mereka dengan wanitawanita agung tersebut. Caranya dengan mengambil iktibar daripada kehidupan mereka yang mulia.

               Wallahu a‘lam.

 

5 PENDEKATAN MENDIDIK ANAK PEREMPUAN                                                        USTAZAH NORHAFIZAH HJ. MUSA

                                       Sumber artikel daripada Majalah Al-Ustaz Isu 09

 


 

Ustazah Norhafizah binti Hj. Musa

Pensyarah di Universiti Teknologi Malaysia. Kelulusan Sarjana Muda Bahasa Arab Dan Pengajian Islam University Yarmouk Jordan, Sarjana Usuluddin Universiti Malaya. Kini sedang menyambung pengajian peringkat PhD di Universiti Malaya. Aktif dalam bidang dakwah, wanita dan kemasyarakatan. Panel slot Tanyalah Ustazah TV9, Halaqah TV9, al-Hidayah TV3 dan program TV al-Hijrah.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

Kembali ke atas