Menu

 

A+ A A-

JALAN REDHA DAN DIREDHAI-NYA

Setiap orang yang mengaku sebagai seorang Muslim pasti akan mengucapkan dua kalimah syahadat. Adakah kaitan antara kalimah syahadah dan kehidupan seorang Muslim?

JAWAPAN :

Ya, ada kaitannya iaitu pada persoalan mencari jalan yang kita redai sebagai seorang Muslim dan dalam masa yang sama jalan tersebut pula diredai oleh Allah dan Rasul-Nya. Hanya dengan jalan itu akan sempurnalah permulaan hidup sebagai seorang Muslim. Jalan itu dikenali dengan Islam.

Jalan dan pilihan :

Sebagai seorang manusia yang dianugerahkan dengan akal dan hati maka akan terbit perasaan fitrah. Manusia tanpa fitrah asal kejadiannya akan terpesong dan terhumban kedalam kancah kerosakan.

Oleh sebab itu, manusia akan sentiasa mencari jalan berpandukan kepada GPS fitrahnya. Dalam pada itu, sudah pastilah dia akan bertemu dengan banyak jalan yang boleh dilalui di hadapannya. Akhirnya, dirinya perlu membuat pilihan yang bukan sahaja dia reda dengan jalan itu bahkan jalan yang diredai oleh Penciptanya Yang Maha Agung itu iaitu Allah s.w.t.

Nah! Bagaimanakah hendak mencari jalan itu? Maka sudah pasti berpandukan kepada wahyu dan ajaran Rasulullah s.a.w. yang telah ditinggalkan kepada kita untuk dipelajari dan diambil pedoman dan hidayahnya.

Jalan itu bernama Islam

Biasanya kita mudah menemui jalan yang kita redai atau suka sebagai cara hidup yang akan dipatuhi dan diaplikasikan. Hanya dengan akal dan hati sudah memadai. Namun, hakikat betapa sukarnya mencari jalan yang Tuhan kita redai mengisyaratkan kepada kita bahawa jalan tersebut pasti jalan yang terbaik. Maka melalui wahyu manusia akan mendapati bahawa jalan yang diredai oleh Allah ialah Islam. Jika kita selaku hambanya meredai jalan tersebut sebagai jalan yang akan kita lalui, maka itulah tanda setinggi-tinggi iman.

Melalui al-Quran, Allah berfirman dalam surah al-Ma‘idah ayat 3 yang bermaksud: “Pada hari ini, telah Aku sempurnakan untuk kamu agama kamu, dan telah Aku cukupkan kepada kamu nikmat-Ku dan telah Aku redai Islam itu menjadi agama bagi kamu.”

Melalui hadis Baginda bersabda yang bermaksud:

“Sesiapa yang mengatakan: ‘Aku reda bahawa Allah Tuhanku, Islam sebagai agamaku dan Nabi Muhammad itu sebagai Utusan Allah’, maka dia akan memasuki syurga.’” (Riwayat Abu Daud)

Justeru, jelaslah jika ingin hidup yang bertepatan dengan syariat dan membawa ke syurga, maka kita perlu berjalan atas landasan Islam sepenuhnya.

Apakah Islam?

Islam hanya satu iaitu yang dibawa oleh Nabi Muhammad berpandukan kepada  wahyu Allah. Suka untuk penulis menyebutkan di sini beberapa takrifan yang diberikan oleh para ulama yang menunjukkan bahawa Islam itu amat luas ruang lingkupnya dan boleh difahami oleh pelbagai lapisan masyarakat.

Dr. Abdul Karim Zaidan di dalam bukunya Usul Dakwah ada menyenaraikan beberapa takrifan mengenai Islam seperti berikut:

1. Islam adalah mengucapkan bahawa tiada tuhan yang layak disembah melainkan Allah dan sesungguhnya Muhammad itu pesuruh Allah, mendirikan solat, membayar zakat, berpuasa di bulan Ramadan dan mengerjakan haji jika berkemampuan.

2. Islam ialah tunduk, menyerah dan akur kepada Tuhan  sekalian alam iaitu Allah, yang dilakukan berdasarkan pilihan dirinya bukan paksaan.

3. Islam ialah sebuah organisasi umum dan undang-undang yang lengkap meliputi seluruh urusan kehidupan dan cara beretika manusia yang telah dibawa oleh Nabi Muhammad daripada Allah yang disertai dengan pahala dan dosa dalam mengikuti perintah Allah.

4. Islam ialah satu gabungan daripada apa yang telah diturunkan oleh Allah kepada Rasulullah merangkumi aspek hukum akidah, akhlak, ibadat, urusan-urusan dan perkhabaran daripada al-Quran dan sunnah yang disuruh agar disampaikan kepada manusia.

5. Islam ialah jawapan yang tepat kepada tiga persoalan yang sering dicari oleh manusia dahulu dan kini iaitu: “Daripada mana aku datang? Kenapa aku diciptakan? Ke mana pengakhiranku?”

6. Islam ialah roh sebenar bagi diri manusia, nur dan petunjuk dalam menjalani kehidupan, penyembuh yang sempurna bagi mengubati penyakit diri manusia dan jalan yang lurus lagi tiada kesesatan.

Kefahaman dan Pintu Hidayah

Menerusi enam takrifan yang diberikan tadi maka sudah pasti tergambar dalam minda: Adakah Islam itu begitu banyak sekali versinya?

Sebenarnya tidak. Hakikatnya Islam adalah seluruh elemen yang diungkapkan dalam keenam-enam takrifan tersebut.

Menurut Dr. Abdul Karim Zaidan lagi, perbezaan takrifan tersebut ialah hasil usaha para dai untuk memahamkan masyarakat yang baru hendak mengenali Islam bersesuaian dengan laras dan latar belakang kefahaman masing-masing.

Contohnya, bagi menerangkan Islam kepada seorang yang berpendidikan undang-undang dan kenegaraan maka sesuai takrifan Islam yang ketiga. Manakala bagi orang yang sedang mencari hakikat kejadian

dirinya maka sesuai diperkenalkan Islam dengan menggunakan takrifan kelima. Begitulah selebihnya. Usaha ini sebenarnya bagi memungkinkan agar terbuka pintu hidayah daripada pelbagai aspek pemikiran manusia. Namun yang paling penting ialah usaha menggambarkan Islam itu luas dan merangkumi kesemua takrifan-takrifan tadi.

Pilihlah Jalan itu

Tiadalah sebenar-sebenarnya kebahagiaan manusia melainkan dengan berada atas jalan yang diredai Allah dan Rasul-Nya. Adakah tegar kita memilih untuk reda dengan jalan yang lain walaupun jalan itu memuaskan nafsu dan mengagumkan mata yang melihat?

Berdasarkan pilihan yang tepat ini, maka seorang Muslim mampu menjalani kehidupan sehariannya secara bersyariat walaupun sukar seperti bangun di awal hening fajar untuk solat Subuh, menahan diri daripada pelbagai perkara yang diharamkan dan bersabar dengan kepanasan kerana terpaksa menutup seluruh tubuh ketika berada di luar rumah bagi seorang Muslimah.

Hanya reda dan diredai itu menjadi penawar bagi hati untuk terus beriman dan mencari kebahagiaan di akhirat yang abadi. Pilihlah Islam sebagai cara hidupmu!

Ustaz Amly Asenar
Sumber artikel daripada majalah Al-ustaz isu no.6


Ustaz Amly Asenar

Sarjana Muda Syariah Universiti al-Azhar. Mempunyai pengalaman dalam bidang perguruan. Terlibat dalam penulisan buku dan majalah. Selepas buku pertamanya Ayuh Bersahur, kini karya keduanya Ayuh Haji sedang berada di pasaran. Kini editor Syariah di Telaga Biru Sdn. Bhd.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

  

 

Kembali ke atas