Menu

 

A+ A A-

HADIS AZAN DI TELINGA BAYI

Baru-baru ini saya diberitahu bahawa sanad hadis azan di telinga bayi lemah, Betulkah pendapat itu?

Jawapan:

Hadis yang saudara tanyakan ini bermuara kepada seorang ulama tabiin di Madinah bernama ‘Asim bin ‘Ubaidillah. Beliau meriwayatkan daripada Ubaidullah bin Abi Rafi‘ daripada ayahnya (Abu Rafi ialah sahabat Nabi): “Aku melihat Rasulullah azan di telinga Hasan sebaik selepas dilahirkan oleh Fatimah.”

Demikian hadis ini dirakamkan oleh ramai ahli hadis di dalam kitab-kitab mereka seperti Abu Dawud, al-Tirmizi, al-Hakim, alBaihaqi dan lain-lain.

‘Asim bin ‘Ubaidillah seorang ulama yang pakar dalam ilmu qiraat, namun lemah dalam periwayatan hadis. Imam Malik yang terkenal sangat teliti mengkaji perawi enggan meriwayatkan hadis daripadanya. Apabila mendengar Syu‘bah meriwayatkan hadis daripada ‘Asim, Imam Malik segera mencelanya. Kelemahan ‘Asim bin ‘Ubadillah turut disepakati oleh Ahmad bin Hanbal, al-Bukhari, Yahya bin Ma‘in, Abu Hatim, Abu Zur‘ah dan ramai lagi pakar pengkritik hadis yang lain.

Kesimpulannya, hadis ini lemah kerana perawinya yang lemah. Oleh sebab itu, apabila al-Tirmizi dan al-Hakim mensahihkan hadis ini, ramai ahli hadis lain yang tidak sependapat dengan mereka berdua. Kedua-duanya memang terkenal sebagai mutasahil (terlalu ringan) dalam mensahihkan hadis -hadis yang tidak layak disahihkan.

HADIS 0

Menghalau Ummu Sibyan

Bagaimana pula dengan hadis yang menyebut bahawa azan itu dapat menghalau sejenis syaitan yang suka mengganggu anak kecil?

Jawapan:

Hadis yang menyebutkan perkara ini lebih lemah daripada hadis ‘Asim bin ‘Ubaidillah. Hadis itu diriwayatkan oleh Yahya bin Ya‘la daripada Marwan bin Salim daripada Talhah bin ‘Ubaidillah daripada Husain bin Ali bahawa Rasulullah bersabda, maksudnya: “Sesiapa yang baru dilahirkan anak untuknya, lalu ia mengazankan di telinga kanannya dan iqamat ditelinga kirinya, maka Ummu Sibyan tidak akan menyakiti anak itu.”

Ummu Sibyan ialah nama jin yang suka mengganggu bayi dan anak-anak kecil.Hadis ini dirakamkan oleh Abu Ya‘la, Ibn Sunni, al-Baihaqi dan lain-lain. Namun sanad ini sangat lemah sebab dua orang perawi yang terdapat dalam sanad tersebut dinilai matrukbahkan disyaki pernah memalsukan hadis. Mereka ialah Yahya bin Ya‘la dan Marwan bin Salim. Maka beberapa ahli hadis menilai hadis ini palsu.

 HADIS

Hukum Azan

Kalau begitu, adakah melaungkan azan di telinga bayi itu bidaah dan tidak boleh dilakukan?

Jawapan:

Meskipun hadis ‘Asim bin ‘Ubaidillah lemah, namun kelemahan itu tidak parah. Beliau seorang tokoh ulama terkenal. Jika beliau tersalah meriwayatkan hadis, maka kesalahan itu bukan disengajakan, apa lagi untuk ditohmah sebagai tindakan memalsukan hadis.

Menurut al-Hafiz Ibn Hajar dan ramai ulama, hadis lemah boleh jadi amalan dengan tiga syarat:

1.     Kelemahannya tidak terlalu parah.

2.     Hukum yang terkandung termasuk dalam kaedah umum syariat.

3.     Pengamalan itu didasari atas asas berjaga-jaga (ihtiyat) sahaja, bukan penegasan bahawa ia merupakan sunnah Nabi.

Hadis ‘Asim ini menurut ahli fiqah, memenuhi ketiga-tiga syarat tersebut. Meskipun sanadnya lemah, beberapa dalil lain menyokong kandungan matannya. Antaranya hadis sahih yang menceritakan kehadiran dangangguan syaitan pada saat bayi dilahirkan. Rasulullah bersabda, mafhumnya: “Setiap anak Adam ditusuk pada dua lambungnya oleh jari syaitan ketika dilahirkan kecuali Isa putera Maryam. Syaitan hendak menusuknya, namun ia menusuk di balik hijab.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Dalam hadis sahih yang lain pula menyebutkan bahawa syaitan lari apabila mendengar suara azan sebagaimana terdapat dalam sahih al-Bukhari dan Muslim.

Maka dari sini, para ulama menggalakkan dibacakan azan ke telinga bayi untuk mengusir syaitan yang hadir bersamanya pada saat kelahiran itu. Demikianlah para fuqaha daripada mazhab Hanafi, Syafi‘i dan Hanbali.

Imam Malik bin Anas pernah memakruhkan azan untuk bayi, namun ahli fiqah mazhab Maliki kebelakangan membolehkan perkara ini. Muhammad al-Hattab dalam Mawahib al-Jalil berkata: “Perkara ini telah menjadi amalan kebiasaan masyarakat, maka tidak mengapa untuk mengamalkannya.”

Selain itu, para ulama turut menyebutkan beberapa manfaat azan bagi bayi. Antaranya azan itu mengajarkan syiar Islam dan menanamkan benih keimanan dalam hati bayi sejak kecil lagi.

Berkata Ibn al-Qayim dalam kitab Tuhfat al-Maudud:

“Pelaksanaan azan ini seolah-olahnya mengajarkan syiar Islam kepada bayi pada hari pertama kehadirannya di dunia sebagaimana kalimah tauhid akan mengiringi dirinya apabila meninggalkan dunia nanti. Tidak mustahil kesan azan ini akan masuk ke dalam hatinya tanpa disedari.”

Secara peribadi, saya melihat azan di telinga bayi pada saat dilahirkan suatu amalan yang baik dan dianjurkan. Adapun iqamat di telinga kiri bayi, maka saya tidak menemukan dalil yang kuat untuk menganjurkannya.

Wallahu a‘lam


Ustaz Umar Muhammad Noor

Sumber Artikel daripada Majalah Al-Ustaz Isu 09


 

Umar Muhammad Noor

Lahir di Bekasi, Indonesia. Lulusan B.A. Usuluddin (TafsirHadis) dari UIN Syarif Hidayatullah, Jakarta dan Sarjana Usuluddin (Hadis) di Universiti Omm Durman, Sudan. Berpengalaman belajar daripada ulama-ulama Damaskus, Syria dari 2002-2008. Kini sebagai pensyarah Usuluddin dan Syariah di Kolej Marsah, Johor Bahru.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

  

 

Kembali ke atas