DOA TAK PERLU MODAL PUN
- Ditulis oleh Ustaz Ahmad Husni Abd Rahman
- Kategori Ibadah
- Read 6600 times
SEORANG sahabat pernah menceritakan perihal seorang pekerja kontrak Bangladesh yang bertamu di hadapan Kaabah. Tatkala beliau melihat kelibat Multazam (kawasan antara pintu Kaabah dan Hajar ulaswad), beliau terus meluru dan mengangkat tangan seraya berdoa. Susun katanya cukup mudah dan ducapkan dalam bahasa Arab yang berslanga Bangladesh, namun menjadi penuh bermakna kerana diiringi linangan air mata tulus dan mulus.
Doanya: “Allah! Ana fi duaa’ Anta fi jawaab. Lau Anta ma fi jawaab, Ana fi musykilah.” (Ya Allah! Aku punya permohonan kepada-Mu dan Engkau-lah yang menerima doaku. Jika Engkau tidak memperkenan doaku nescaya aku akan ditimpa masalah). Mudah sekali doanya, bukan? Tidaklah menjadi sesuatu yang penting doa itu disusun dengan kata-kata indah, tapi yang lebih penting doa itu tersisip indah dengan ketulusan dan keikhlasan kepada Allah.
Doa dengan yakin
Sesiapa yang tidak berdoa maka sombonglah sifatnya. Ada juga yang berkata, walaupun banyak berdoa namun tidak memberi kesan dan masalah terus datang. Ini adalah pandangan yang tidak tepat dalam masalah berdoa. Kalaupun doa itu tidak berkesan, periksa kembali cara kita berdoa. Mungkin tersilap atau tersalah kaedah. Tetapi jika betul caranya, pasti punya hikmah di sebaliknya. Yakinlah, doa itu tidak akan tersisa tetapi bakal disimpan sebagai ‘surprise’ untuk kita di akhirat sana. Allah takkan mensia-siakan kesungguhan hamba-Nya. Sabda Rasulullah s.a.w dalam satu hadis riwayat Abu Hurairah r.a.: “Berdoalah dengan penuh keyakinan bahawasanya Allah pasti menerimanya. Ketahuilah bahawasanya Allah tidak akan menerima doa dari sekeping hati yang lalai dan leka.”
Nak tahu siapa yang paling hebat doanya? Berdasarkan hadis sahih, inilah senarai yang dianggap ‘first class’:
1. Doa ibu dan ayah.
2. Doa orang yang dizalimi.
3. Doa orang yang berpuasa.
4. Doa orang yang bermusafir.
5. Doa seorang sahabat kepada sahabatnya yang lain dalam keadaan sahabatnya tidak mengetahui akan doanya itu.
Justeru, jika kita terdiri daripada salah seorang dalam senarai itu, jangan lepaskan peluang dengan tawaran ini.
Tiada idea untuk berdoa
Ada juga yang bertanya, “Nak doa apa ya?” Jika kita sudah buntu idea berdoa, mungkin ini boleh membantu: Fikirkan tentang dosa-dosa yang pernah terselit dalam hidup kita dan minta diampunkan; fikirkan juga tentang neraka yang dahsyat dan minta dijauhkan; fikirkan tentang kelemahan diri dan minta dibantu; fikirkan tentang masalah diri dan minta petunjuk. Yang paling utama, minta kepada Allah akan hidayah dan taufik-Nya. Juga diiringkan doa buat teman-teman, saudara seagama dan umat Islam seluruhnya–kata orang putih, ‘…and the list will go on and on!’
Doa tak perlu modal
Sesungguhnya doa bukanlah sesuatu yang memerlukan modal berbentuk RM untuk dibayar. Sesiapa pun boleh berdoa. Yang miskin, kaya atau sederhana. Namun begitu, doa sangat ‘mahal’ nilainya di sisi Yang Esa. Allah sangat suka kepada hamba-Nya yang memohon doa, dan Allah sangat benci kepada hambanya yang malas meminta. Berbeza dengan manusia, semakin banyak diminta semakin rimas jadinya. Justeru, berdoalah kerana Allah sentiasa hampir dengan kita. Walaupun mungkin tidak nampak kesannya di dunia, namun yakinilah bahawa doa itu nanti bakal terhimpun dalam timbangan kebajikan dan menjadi pemberatnya di akhirat kelak jika amalmu tidak mencukupi. Allah sesekali tidak akan memungkiri janji. Hakikatnya jika doamu termakbul di dunia, anda akan gembira. Begitu juga kalau doamu belum terlaksana, anda tetap akan menerima bahagianya di akhirat sana. Amin.Q
Ustaz Ahmad Husni
Sumber artikel daripada Majalah Gen Q isu No.3
Ustaz Ahmad Husni Abd Rahman
Lulusan Ijazah Sarjana Muda Syariah, Universiti Islam Madinah, dan sedang menyambung Ijazah Sarjana (MA) Syariah di Universiti Malaya. Kini sebagai Eksekutif Zakat, Pusat Pungutan Zakat (PPZ) Wilayah Persekutuan. Juga sebagai panel slot Durrul Hikmah dan Bicara ad-Deen di radio IKIM.fm, di samping menjadi tetamu jemputan KL.fm, Selamat Pagi Malaysia, Islam Hadari (RTM1), Al-Kuliyyah (TV3) dan pengacara Bicara Mufti (RTM1). Beliau juga sebagai Jurubahasa Arab bagi Kerajaan Negeri Perak di Persidangan Negara-negara Islam Sedunia (OIC) 2003 dan berpengalaman sebagai mutawwif Haji dan Umrah sejak 1998.