Menu

 

A+ A A-

KENAPA NABI SURUH BUNUH CICAK?

Ditulis oleh 

Status Hadis

Saya terbaca sebuah hadis yang menyuruh kita untuk membunuh cicak. Sahihkah hadis tersebut?

Jawapan : Beberapa hadis yang berisi suruhan membunuh cicak memang sahih berasal daripada Nabi s.a.w. Salah satunya hadis dalam Sahih al-Bukhari dan Muslim Imam al-Bukhari membawakan riwayat daripada Abdul Hamid bin Jubeir bin Syaibah daripada Said bin al-Musayyab daripada Ummu Syarik bahawa Nabi memerintahkan beliau untuk membunuh cicak.

Baginda bersabda maksudnya: “Ia pernah meniup api (untuk menyalakannya) pembakaran Nabi Ibrahim.” Manakala Imam Muslim meriwayatkan daripada al-Zuhri daripada Amir bin Saad daripada bapanya Saad bin Abi Waqqas bahawa Nabi memerintahkan untuk membunuh cicak dan menyebutnya sebagai haiwan perosak (fuwaisiq).

 cicak1

Kedua-kedua sanad hadis ini terdiri daripada para perawi yang thiqat (terpercaya) dan tidak dijumpai keganjilan ataupun kecacatan dalamnya. Oleh sebab itu, kedua-duanya dinilai sahih oleh ahli hadis.

Hukum Bunuh Cicak

Adakah kita wajib membunuh cicak setiap kali melihatnya? Semasa kecil-kecil dahulu, kami memburu cicak terutamanya pada malam Jumaat.

Jawapan: Para ulama bersepakat menyatakan bahawa sunat membunuh cicak. Dalil mereka adalah suruhan Nabi sendiri sebagaimana yang terkandung dalam hadis di atas. Selain itu, terdapat sebuah hadis riwayat Muslim yang menjanjikan pahala bagi orang yang membunuh cicak. Nabi bersabda maksudnya: “Sesiapa yang membunuh cicak dengan satu pukulan, maka ditulis baginya 100 pahala. Jika dengan dua pukulan, maka pahalanya kurang daripada itu. Jika dengan tiga pukulan, maka pahalanya kurang daripada dua pukulan.” Namun tiada kelebihan khusus untuk memburu cicak pada malam Jumaat sebagaimana anggapan sesetengah masyarakat.

Hikmah Suruhan

Apakah hikmah sebenar di sebalik hukum tersebut?

Jawapan: Menurut ulama, antara hikmah suruhan tersebut adalah kerana cicak itu haiwan perosak, pengotor dan boleh membawa penyakit. Malah Nabi sendiri menyebutnya sebagai haiwan perosak. Dalam istilah moden, cicak termasuk dalam kategori pest atau haiwan perosak seperti nyamuk, kutu, tikus, pijat, lipas dan lain-lain. Semua haiwan ini digalakkan untuk dibasmi untuk menjaga kesihatan manusia. Berkata Imam al-Nawawi dalam Syarh Sahih Muslim: “Nabi memerintahkan dan menggalakkan untuk membunuh cicak kerana ia termasuk mu’ziyat (haiwan-haiwan yang dapat mengganggu kesihatan manusia).”

Dibunuh kerana Jahat

Namun menurut apa yang saya dengar bahawa cicak dibunuh kerana cicak secara semula jadinya binatang jahat. Buktinya cicak pernah cuba mendedahkan persembunyian Nabi semasa di gua Thur?

Jawapan: Menurut saya, kesimpulan ini tidak sempurna. Sebab utama (‘illat) sunat membunuh cicak adalah kerana ia memiliki sifat-sifat yang dapat mengganggu kesihatan dan keselesaan hidup manusia. Cicak sama sahaja dengan haiwan perosak lain (pest), tidak boleh dibiarkan berkembang biak. Dakwaan bahawa cicak pernah berusaha untuk membongkar persembunyian Nabi di gua Thur itu tidak sahih. Tiada hadis yang menyebutkan perkara tersebut. Adapun hadis al-Nasa’i dan Ibn Majah yang menceritakan bahawa Siti Aisyah menyiapkan sebuah tombak untuk membunuh cicak itu hadis lemah.

Dalam hadis tersebut, Rasulullah menceritakan bahawa semasa Nabi Ibrahim dilempar ke dalam api, semua haiwan berusaha memadamkannya kecuali cicak. Haiwan ini malah meniup untuk menyalakannya. Maka sebab itulah Rasulullah memerintahkan untuk membunuhnya. Sekali lagi hadis ini lemah. Lihat kajian sanad di bawah:

cicak2

Yang sahih hanyalah riwayat Nabi yang menceritakan bahawa cicak pernah meniup api Nabi Ibrahim. Baginda tidak pula menyebut bahawa perkara itu menjadi sebab perintah Baginda untuk membunuh cicak. Menurut al-Baidawi, cerita Nabi ini menunjukkan betapa kotor dan buruknya cicak sehinggakan syaitan boleh memperalatnya untuk meniup dan menambah besar api yang membakar Nabi Ibrahim. Demikianlah dinukil oleh al-Munawi dalam Faid al-Qadir. Jadi perbincangan kembali kepada sifat perosak dan kotor haiwan kecil ini. Sifat inilah yang menjadi sebab utama mengapa Islam memerintahkan untuk membunuhnya. Bukan kerana motif balas dendam atau perkara lainnya.

Pahala Pukulan Pertama

Bagaimana saya hendak memahami hadis 100 pahala membunuh cicak dengan satu pukulan yang ustaz sebutkan?

Jawapan: Hukum ini sebenarnya tidak khas untuk cicak sahaja. Apa sahaja jenis haiwan termasuk yang wajib dibunuh seperti ular atau lain-lain, maka dianjurkan untuk membunuhnya dengan cepat. Jangan biarkan ia terseksa terlalu lama. Dalam hadis lain, Rasulullah bersabda maksudnya: “Jika engkau membunuh, maka elokkanlah pembunuhan.” (Riwayat Muslim) Jadi membunuh cicak dengan satu kali pukulan itu lebih mengelakkan penyeksaan. Jika dengan dua kali pukulan atau lebih, maknanya ia akan mengalami kesakitan lebih lama. Itu sebabnya pahalanya kurang dibandingkan membunuhnya dengan satu kali pukulan sahaja. Berkata Izzudin bin Abdussalam: “Banyaknya pahala dengan pukulan pertama kerana itu ihsan dalam membunuh haiwan.”

 

Wallahu a‘lam.

 

Ust. Umar Muhammad Noor

Sumber artikel daripada majalah Al-Ustaz Isu 11

 


 

 

Read 14945 times
Umar Muhammad Noor

Lahir di Bekasi, Indonesia. Lulusan B.A. Usuluddin (TafsirHadis) dari UIN Syarif Hidayatullah, Jakarta dan Sarjana Usuluddin (Hadis) di Universiti Omm Durman, Sudan. Berpengalaman belajar daripada ulama-ulama Damaskus, Syria dari 2002-2008. Kini sebagai pensyarah Usuluddin dan Syariah di Kolej Marsah, Johor Bahru.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.