Menu

 

A+ A A-

NABI IBRAHIM BERDUSTA?

Hadis Sahih

Saya keliru dengan sebuah hadis yang menceritakan bahawa Nabi Ibrahim pernah berdusta sebanyak tiga kali. Bukankah salah satu sifat wajib bagi para nabi ialah jujur (siddiq), dan mustahil bagi mereka untuk berdusta? Minta penjelasan daripada ustaz mengenai status hadis ini.

Jawapan

Hadis yang saudara sebutkan ini sahih. Ia diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim daripada Abu Hurairah, Nabi bersabda: “Nabi Ibrahim tidak pernah berdusta melainkan tiga kali. Dua kerana Allah, iaitu ucapannya: ‘Aku sedang sakit’, dan ucapannya: ‘Yang melakukan (penghancuran berhala) ialah berhala yang paling besar ini’.”

Baginda menjelaskan lagi: “Suatu hari apabila Nabi Ibrahim sedang berjalan bersama Sarah (isterinya), mereka terjumpa dengan seorang raja yang zalim. Raja ini dimaklumkan tentang seorang lelaki bersama wanita yang sangat cantik. Raja itu segera mengutus seseorang untuk bertanya kepada Ibrahim: “Siapakah wanita ini?”

Ibrahim menjawab: “Saudaraku.” Selepas itu ia mendatangi Sarah dan berkata: “Wahai Sarah, tidak ada seorang Mukmin di muka bumi ini selain engkau dan aku. Aku telah mengatakan bahawa engkau adalah saudaraku. Janganlah engkau mendustakanku.”

Apabila raja itu hendak menyentuh Sarah, tiba-tiba tangannya terasa sangat sakit. Raja itu berkata: “Berdoalah kepada Allah, aku tidak akan menyakitimu lagi.” Sarah lalu berdoa, maka hilanglah kesakitan itu. Namun raja itu cuba untuk menyentuh Sarah lagi. Sekali lagi tangannya sakit, dan kali ini lebih sakit daripada yang tadi. Ia meminta supaya didoakan lagi dan berjanji untuk tidak menyakiti Sarah sebanyak tiga kali.

Lalu raja itu melepaskan Sarah. Ia berkata kepada pengawalnya: “Engkau bukan membawakan manusia kepadaku, tetapi syaitan.” Kemudian ia turut menghadiahkan Hajar sebagai pelayan Sarah.

Apabila kembali kepada Ibrahim, Sarah melihatnya sedang solat. Ia berkata: “Allah telah menolak niat jahat orang kafir itu.” Lalu beliau menyerahkan Hajar kepada Ibrahim.

Makna Dusta

Apakah makna dusta yang terdapat di dalam hadis ini?

Jawapan

Pendustaan memang mustahil berlaku kepada setiap nabi. Mereka ialah hamba-hamba pilihan yang maksum daripada melakukan semua dosa dan maksiat. Maka, perkataan ini tidak boleh difahami sewenang-wenangnya secara zahir.

Para ulama telah membincangkan perkara ini dengan cukup lengkap. Mari kita rujuk kepada mereka dalam memahami makna perkataan ini.

Al-Hafiz Ibn Hajar menjelaskan bahawa perkataan “dusta” di sini bermakna ta’ridh atau sindiran. Ta’ridh bukanlah pendustaan, bahkan ia bererti menggunakan perkataan yang benar namun terbuka untuk disalah fahami oleh pendengar. Jadi, penuturnya tidak berdusta, hanya pendengar sahaja yang tersalah memahami maksud perkataan tersebut.

Apabila Nabi Ibrahim mengatakan Sarah ialah saudaranya, baginda tidak berdusta. Sarah memang bukanlah saudara kandungnya, tetapi saudara seagamanya. Namun orang yang mendengar tersalah faham makna perkataan ini. Ia menyangka Ibrahim memaksudkan Sarah sebagai saudara kandungnya.

Menolak Hadis

Ada seorang ustaz mengatakan hadis ini lemah kerana kandungannya yang dilihat seperti tidak masuk akal. Apa pendapat ustaz?

Jawapan

Jika benar kata saudara ini, saya berasa sangat kesal akan sikap itu. Hadis sahih tidak boleh ditolak hanya kerana kelemahan kita dalam memahami maksud yang terkandung di dalamnya.

Pandangan sebegini menunjukkan kelemahan dalam mengkaji hadis. Ia didasari kekeliruan yang mengatakan bahawa ahli hadis hanya mengkaji sanad sahaja. Mereka tidak mengkaji kandungan matan. Oleh itu, banyak hadis yang kita dapati sahih dari aspek sanadnya, namun lemah dari aspek matannya.

Kekeliruan ini tidak dipersetujui oleh ramai pengkaji hadis sejak dahulu hingga kini. Kajian ahli hadis terhadap hadis sangat komprehensif dan meliputi kedua-dua aspek sanad dan matan. Salah satu buku yang menjelaskan perkara ini ialah tulisan Dr. M. Tahir Al-Jawabi dari Tunisia yang bertajuk Juhud al-Muhaddithin fi Naqd Matn al-Hadith al-Nabawi al-Syarif.

Walau bagaimanapun, sikap menolak hadis sahih kerana tidak selari dengan akal pembaca ini bukan sesuatu yang baru. Pada abad ketiga hijrah dahulu, puak Muktazilah berpegang kepada pegangan seperti ini juga.

Oleh yang demikian, Ibn Qutaybah membantah sikap yang tidak ilmiah ini. Dalam kitabnya Takwil Mukhtalif al-Hadith, beliau mengatakan: “Andai mereka mengembalikan kemusykilan ini kepada ahlinya, nescaya akan didapati penyelesaiannya. Namun sikap cinta populariti, suka diikuti dan takut kehilangan murid mencegahnya daripada melakukan itu.”

Penilaian hadis mesti diserahkan kepada pakarnya kerana ahli hadis memiliki metodologi kaji selidik riwayat yang sangat teliti. Dan sikap seperti yang saudara sebutkan ini menunjukkan orang yang berkenaan bukan pakar hadis.

Wallahu a‘lam.

nabi-ibrahim-berdusta-2

UST. UMAR MUHAMMAD NOOR

Sumber artikel daripada majalah al-Ustaz isu No.18


Umar Muhammad Noor

Lahir di Bekasi, Indonesia. Lulusan B.A. Usuluddin (TafsirHadis) dari UIN Syarif Hidayatullah, Jakarta dan Sarjana Usuluddin (Hadis) di Universiti Omm Durman, Sudan. Berpengalaman belajar daripada ulama-ulama Damaskus, Syria dari 2002-2008. Kini sebagai pensyarah Usuluddin dan Syariah di Kolej Marsah, Johor Bahru.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

  

 

Kembali ke atas