Menu

 

A+ A A-

PUASKAH DENGAN PUASA KITA?

TUJUAN berpuasa adalah untuk melahirkan takwa. Orang yang bertakwa itu sangat berhati-hati menjaga hukum Allah. Dia juga akan mencegah dirinya daripada berbuat sesuatu yang diharamkan oleh Allah.

Begitulah erti takwa; berhati-hati dan sentiasa mencegah diri daripada segala perkara yang dimurkai Allah. Ia persis yang digambarkan oleh Ubai bin Ka‘ab ketika ditanya oleh Sayidina Umar. Kata Ubai: “Takwa itu seperti seorang yang sedang melalui jalan yang penuh duri.” Maksudnya, sangat berhati-hati agar tercegah daripada memijak duri! Justeru sudah sewajarnya apabila keluar sahaja daripada madrasah Ramadan, umat Islam sudah mencapai takwa.

Dia akan berhati-hati apabila hendak bercakap, belajar, makan, berfikir dan bertindak agar sentiasa berada dalam keredaan Allah. Dia tidak sembarangan lagi berbuat sesuka hati melainkan terlebih dahulu merujuk kepada hokum Allah yang lima; halal, haram, sunat, makruh dan harus. Daripada persoalan sekecil-kecilnya seperti masuk ke dalam tandas sehingga berkaitan urusan mengatur dan memimpin negara.

Akhlak Diri Cerminan Takwa

Takwa itu berada dalam diri. Rasulullah s.a.w. menunjukkan ke dadanya apabila memberi penjelasan tentang takwa. Namun, yang dalam hati itu akan memberi kesan kepada luaran. Justeru hati itulah yang mengawal segala perlakuan. Walaupun takwa itu nilai seseorang di sisi Allah, namun kesannya begitu besar kepada hubungannya sesama manusia. Manusia yang bertakwa akan berakhlak dengan manusia.

Tegasnya, insan yang paling akrab dengan Allah, seharusnya dia juga yang paling intim dengan manusia. Habluminallah (hubungan dengan Allah) dan habluminannas (hubungan sesama manusia) saling berkaitan. Ada seorang wanita yang rajin qiamullail dan berpuasa sunat. Namun dia menjadi ahli neraka kerana mulutnya sering menyakiti hati jirannya. Sebaliknya ada seorang lelaki yang ibadahnya biasa-biasa sahaja pada pandangan para sahabat Nabi.

Namun sebanyak tiga kali Baginda menegaskan bahawa dia ahli syurga kerana dia tidak memiliki hasad di hati. Demikianlah yang ditegaskan oleh Rasulullah. Fikirkanlah. Betapa takwa itu pasti menjana pembentukan akhlak.

Pohonnya Takwa, Buahnya Itqan

Tidak hanya setakat itu, takwa tu juga akan memberi kesan kepada pekerjaan atau peranan seseorang. Selain akhlak, buah takwa itu adalah itqan. Apa itu itqan? Ia adalah satu sikap yang angat iltizam (komited) dengan memperelokkan kerja. Orang yang bertakwa akan membuat segala kerja yang dimanahkan kepadanya dengan itqan. Ia menjadi orang yang sangat efektif, efisien dan berpegang kepada nilai etika yang tinggi dalam pekerjaannya. Allah suka kepada seseorang yang apabila dia melaksanakan kerja, dia memperelokkan kerjanya (itqan). Itqan dalam bekerja hanya dicapai apabila kerja itu dilakukan dengan ilmu dan kemahiran yang tinggi secara bersistematik dan terancang.

Demikianlah juga amanat Sayidina Ali: “Yang hak tetapi tidak tersusun akan dikalahkan oleh kebatilan yang tersusun!” Justeru, umat yang bertakwa sentiasa melaksanakan kerja yang betul (berkesan) dengan betul-betul (cekap). Jika takwa itu darjat manusia di sisi Allah, akhlak itu nilai di sisi manusia, itqan pula ialah ukuran kecemerlangan dalam pekerjaan. Dengan takwa dan akhlak, tercapai kesempurnaan tugasan sebagai hamba Allah. Manakala dengan itqan tercapai kesempurnaan peranan sebagai khalifah.

Maka dengan akhlak, kita membina tamadun rohani. Dengan itqan kita membangun tamadun material. Ertinya, orang yang bertakwa itu akan berjaya di dunia dan akhirat. Umat yang bertakwa bukan sahaja selamat, malah mampu menyelamatkan.

Menilai Kepuasan Berpuasa

Lalu, marilah kita bermuhasabah dengan fikir yang lurus, dengan zikir yang tulus: Adakah tujuan berpuasa sudah tercapai? Apakah takwa yang menjadi sasaran sudah kesampaian? Untuk menjawabnya mudah sahaja. Lihat pada akhlak dan itqan. Apakah akhlak sudah terbina? Apakah kita sudah mampu melakukan perbuatan baik dengan mudah, secara spontan dan tanpa perlu memikirmikirkannya lagi? Jika kita jujur, jawapannya ialah belum! Lihat sahaja perbuatan jenayah, penyalahgunaan dadah, seks bebas dan pelbagai lagi gejala keruntuhan akhlak.

Akhlak umat Islam masih jauh daripada piawaian yang ditetapkan oleh Allah dan Rasul-Nya dalam al- Quran dan sunnah. Kata dan, fitnah-memfitnah, umpat-mengumpat terus berleluasa melibatkan seluruh peringkat masyarakat. Bahkan ia terpapar dalam media masa cetak dan elektronik. Mana nilai kita di sisi manusia? Dalam pekerjaan pula, tahap kecekapan dan keberkesanan pekerja-pekerja Islam masih jauh ketinggalan.

Bukan sahaja kita berdepan dengan masalah ponteng, curi tulang, curi masa dan sebagainya tetapi tahap kemahiran dan ilmu masih jauh ke belakang berbanding pekerja bukan Islam di negara-negara maju. Bidang penyelidikan dan pembangunan kita masih jauh ketinggalan. Walhasilnya, kualiti dan produktiviti produk dan perkhidmatan negara-negara umat Islam masih belum mampu menandingi negara bukan Islam. Di mana takwa yang kita lahirkan menerusi madrasah Ramadan?

Mengapa akhlak dan itqan kita masih di pinggiran? Tamadun rohani dan material kita masih rendah dan terkebawah. Puasa kita umpama pohon yang tidak berbuah. Menanam sudah selalu, tetapi pokoknya tidak juga berbuah. Jangankan untuk membangunkan umat yang mampu menyelamatkan, bahkan kita sendiri pun masih tidak selamat? Puaskah kita dengan puasa yang tidak membina takwa ini? Rasulullah pernah mengingatkan kita mafhumnya: “Betapa banyak orang yang berpuasa, namun ia tidak mendapatkan apa-apa daripada puasanya melainkan lapar.” “Dan betapa banyak orang yang melakukan qiamullail, ia tidak mendapat apa-apa melainkan berjaga malam .” (Riwayat Ibn Majah) Ayuh fikirkan!

 

 

Pahrol Mohamad Juoi

Sumber artikel daripada Majalah Al-Ustaz Isu 06

 


 

Pahrol Mohd Juoi

Seorang penulis buku, kolumnis majalah, pencipta lirik dan skrip, serta pengacara tv dan jurulatih berkelulusan UiTM, Shah Alam. Beliau berpengalaman mengendalikan program latihan dan motivasi untuk lebih 50 badan kerajaan dan swasta. Kini beliau sebagai Pengurus Besar dan Pengarah Penyelidikan di Fitrah Perkasa Sdn. Bhd. Bukunya Tentang Cinta mendapat sambutan yang baik di  kalangan remaja terutamanya pelajar pusat pengajian tinggi.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

  tbbk1289

GB0213  TBBK1267

 

 

Kembali ke atas