Menu

 

A+ A A-

JIN DICIPTAKAN DARIPADA API

Berubahlah nyalaan api menjadi benda yang terkumpul di dalamnya sifat basah dan kering, lalu ditiupkan kepadanya roh, sehingga berubahlah ia menjadi benda yang bersifat dan berbentuk dan bersifat, ringan dan lembut.

Allah s.w.t. telah menciptakan jin lama sebelum diciptakan manusia, dengan selisih waktu yang lama.

Firman-Nya yang bermaksud: “Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dari tanah liat kering, (yang berasal) dari lumpur hitam yang diberi bentuk. Dan Kami telah menciptakan jin sebelum itu dari api yang sangat panas.” (Surah al-Hijr: 26, 27) 

Kalimah “sebelum itu” dalam ayat tersebut mengisyaratkan masa yang sangat lama. Begitu juga ayat 56 surah al-Zaariat, Allah berfirman: “Tidak Aku jadikan Jin dan manusia melainkan untuk beribadah kepada-Ku.” Pada ayat ini Allah s.w.t. menyebut jin dahulu sebelum manusia. Ini mengisyaratkan bahawa jin diciptakan dahulu sebelum manusia.

Dalam surah al-Baqarah ayat 30, firman-Nya yang bermaksud: “Ketika Tuhanmu berfirman kepada para malaikat, ‘Sesungguhnya Aku hendak menjadikan khalifah di muka bumi.’ (Para malaikat) bertanya: ‘Mengapa Engkau hendak menjadikankhalifah di muka bumi mereka yang akan membuat kerosakan di sana dan melakukan pertumpahan darah?” 

Dalam Qashasul Anbiya’ oleh Ibnu Kathir, al-Qatadah berpendapat bahawa para malaikat mengetahui bahawa penciptaan khalifah itu adalah sama seperti masyarakat bani jin sebagaimana yang pernah mereka saksikan sebelum Adam. Abdullah bin Umar mengatakan bahawa kehadiran masyarakatbani Jin itu jaraknya seribu tahun sebelum penciptaan Adam. 

Dalam dunia mereka, mereka gemar menumpahkan darah dan saling membunuh antara satu sama lain. Lalu Allah s.w.t. mengirimkan sepasukan malaikat yang ditugaskan menghukum mereka, dan kemudian dibuang ke suatu tempat. 

Jin walaupun berasal dari api tetapi ia tidak lagi berbentuk api sepertimana manusia berasal daripada tanah, tetapi tidak lagi berbentuk tanah yang bila dicampurkan dengan air menjadi luluh. Ia bukan sahaja sudah tidak berada dalam bentuk asalnya sebagai api, tetapi juga sudah dibentuk olehAllah s.w.t. menjadi sesuatu yang wujud, lalu dikembangkan menjadi bentuk dan organ-organ tubuh. Kemudian ditiupkan kepadanya roh agar dia menjadi makhluk yang bergerak, berakal dan memiliki kebebasan memilih. 

Sama jua ketika Allah s.w.t. mengembangkan Adam dari tanah, kemudian menjadi tanah liat yang lebih dikenal dengan al-tiin. Selanjutnya dari tanah liat menjadi hama’ masnun iaitu tanah liat hitam yang sudahberubah baunya kerana lama terendam dalam  air. Kemudian tanah liat basah itu berubah menjadi tanah liat kering (shalshal) dan keras yang kalau diketuk dapat mengeluarkan bunyi. 

JINSesudah itu ditiupkan roh, sehingga jadilah Adam sebagai manusia, yang sebaik-baik kejadian dan bentuknya, dengan kehendak dan kekuasaan Allah s.w.t. Berbalik kepada soal kejadian jin. Dengan kehendak Allah s.w.t. berubah nyalaan api menjadi benda yang terkumpul di dalamnya sifat basah dan kering, lalu ditiupkan kepadanya roh, sehingga berubah menjadi benda yang berbentuk dan bersifat, ringan dan lembut. 

Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud: “Kalimah Tuhanmu telah ditetapkan: ‘Sesungguhnya Aku akan memenuhi neraka jahanam dengan jin dan manusia (yang derhaka).” (Surah Hud 11: 119)

Firman-Nya lagi yang bermaksud: “Masuklah kamu sekalian ke dalam neraka bersama-sama umat terdahulu, baik jin mahupun manusia.” (Surah al-A’raf 7: 38) 

Ayat ini merupakan ancaman kepada manusia dan jin yang derhaka. Mungkin ada yang mengatakan, bagaimana Allah hendakmembakar jin dengan api neraka sedangkan mereka diciptakan dari api? Jawapannya mudah sahaja. Walaupun manusia diciptakan dari tanah. Namun, jika manusia dibaling dengan segumpal tanah yang keras, atau yang tidak keras tetapi banyak, pasti akan menyakitkan, malah boleh mencederakan dan boleh membawa maut. Persoalannya bagaimana hal itu terjadi? Ini disebabkan kita tidak lagi berada dalam bentuk asal (tanah), tetapi sudah memiliki jisim dan bentuk yang lain. 

Demikianlah halnya dengan jin. Bahkan, walau jin masih tetap berbentuk nyalaan api, atau bahkan api itu sendiri, maka kalau Allahmenghendaki ia dapat merasakan seksaan dengan sesuatu yang sejenis dengannya, nescaya hal itu mudah bagi Allah s.w.t.

 

  

Dato’ Ismail Kamus

Sumber artikel daripada majalah Solusi Isu 8


 

Dato’ Haji Ismail Kamus

Lulusan Ijazah Sarjana Muda di Universiti Kebangsaan Malaysia. Beliau pernah menjadi guru, pegawai penyelidik dan pegawai dakwah selama 15 tahun di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), INTAN dan Pusat Islam. Jawatan akhir beliau ialah sebagai pakar rujuk di Bahagian Hal Ehwal Islam (BAHEIS) Pusat Islam sebelum bersara secara pilihan. Kini sebagai pendakwah bebas di samping menjadi peniaga dan pengamal perubatan Islam Darus Salam.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

Kembali ke atas