Menu

 

A+ A A-

BACAAN BASMALAH

KITA tahu, ada antara ayat al-Quran terdapat asbab nuzulnya. Kita juga mengetahui bahawa bacaan basmalah (bismillahirrahmanirrahim) adalah sebahagian daripada ayat al-Quran. Adakah bacaan basmalah ada asbab nuzulnya?

RINGKASNYA: Ada.

HURAIAN: Ibn ‘Abbas r.a. berkata: “Wahyu yang paling awal diturunkan oleh malaikat Jibraila.s. kepada Nabi Muhammad s.a.w. adalah apabila Jibrail berkata kepada Baginda: ‘Bacalah “bismillah” wahai Muhammad. Bacalah dengan menyebut Tuhanmu. Bangun dan duduklah dengan berzikir kepada-Nya.’”

Ini seperti yang termaktub dalam Tafsir Ibn Abi Hatim. Riwayat ini menunjukkan bahawa ayat pertama yang diturunkan ialah basmalah. (Perbendaharaan al-Quran, jil. 1)

TAMBAHAN: Namun, yang lebih masyhur berhubung ayat al-Quran yang paling awal diturunkan ialah lima ayat daripada surah al-‘Alaq.

bacaan-basmalah-1

Apakah fadilat dan kelebihan basmalah?

Ulama tafsir telah menyatakan banyak fadilat dan kelebihan bacaan basmalah. Antaranya ialah:

1 Basmalah adalah bacaan pembuka kepada amalan yang baik.

Ini berdasarkan hadis Nabi s.a.w. yang bermaksud: “Setiap perkara yang baik tetapi tidak dimulakan dengan basmalah, maka ia akan menjadi kurang.”

Tidak sempurna keselamatan ketika menaiki kenderaan sama ada di darat, udara dan laut selagi tidak disebut nama Allah. Firman Allah s.w.t. dalam surah Hud ayat 41 yang bermaksud: “Dan dia (Nabi Nuh) berkata: Naiklah kamu ke dalamnya (bahtera) dengan nama Allah…”

2 Basmalah adalah pendinding keselamatan rumah dan barang-barang daripada kebakaran, kerosakan dan kehilangan.

Ia juga pelindung daripada syaitan yang menyelinap di dalamnya (rumah dan barang-barang). Dalam sebuah hadis riwayat al-Bukhari, Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Tutuplah pintumu (pintu rumahmu) dan sebut nama Allah. Padamkan lampumu dan sebut nama Allah. Ikat penutup bekas air (supaya air tidak tumpah dan dimasuki sesuatu) dan sebut nama Allah. Tutup perkakasmu (gelas, cawan, bejana dan lain-lain) dan sebut nama Allah.”

3 Basmalah adalah pendinding bagi suami isteri agar anak-anak mereka tidak diganggu oleh syaitan, bermula waktu bersama (persetubuhan) hinggalah sesudah melahirkan anak.

bacaan-basmalah-2

Ini sebagaimana yang terdapat dalam hadis riwayat al-Bukhari, Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Jika seseorang daripada kamu apabila mahu mendatangi isterinya, dia membaca: ‘Dengan nama Allah. Ya Allah, jauhkanlah kami daripada syaitan dan jauhkan syaitan daripada anak yang Engkau rezekikan kepada kami.’ Sesungguhnya, jika ditakdirkan antara mereka berdua memperoleh anak daripada waktu bersama itu, nescaya anak itu tidak dapat dimudaratkan oleh syaitan selama-lamanya.”

bacaan-basmalah-3

Apakah hukum membaca basmalah dalam solat?

RINGKASNYA: Ada beberapa pendapat ulama berhubung hukum membaca basmalah (iaitu di awal surah al-Fatihah) dalam solat.

HURAIAN:

1 Ibn Umar, Ibn al-Shihab, al-Syafi‘i, Ahmad, Ishaq, Abu Thaur dan Abu Ubayd berpendapat bahawa mesti (wajib) membaca basmalah dalam bacaan surah al-Fatihah. Dalam mazhab Syafi‘i, ia dibaca secara perlahan dalam solat sir (Zuhur dan Asar) dan secara lantang dalam solat jahr (Maghrib, Isyak dan Subuh).

2 Imam Malik menganggap basmalah bukan satu ayat daripada semua surah al-Quran termasuk surah al Fatihah. Justeru, ia tidak dibaca sama ada dalam solat sir atau solat jahr.

3 Sebahagian ulama berpendapat bahawa basmalah dibaca dengan suara perlahan ketika membaca surah al-Fatihah.

bacaan-basmalah-4

Ustaz Don Daniyal bin Don Biyajid

Sumber artikel daripada majalah Al-Ustaz isu No.2


Ustaz Don Daniyal bin Don Biyajid

Lulusan Maahad Qiraat Syubro, Mesir. Kini bertugas sebagai pensyarah Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS). Beliau aktif berdakwah terutamanya dalam TV al-Hijrah. Antara program TV yang dikendalikan olehnya iaitu 30 minit Ustaz Don.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi produk penulis ini di Addeen Online Store.

  

Kembali ke atas