Menu

 

A+ A A-

MENGAPA PERLU MALU

Ditulis oleh 

“TAK MALU KE?” Inilah soalan yang sering kita dengar jika seseorang itu dimarahi atau ditegur jika buat salah silap atau maksiat. Namun tidak ramai yang benar-benar mengerti apakah maksud malu sebenarnya. Sebab itulah timbulnya ungkapan-ungkapan seperti malu tidak bertempat, malu-malu kucing dan sebagainya. Namun ia membawa pengertian yang berbeza-beza.

Apa akibatnya jika seseorang sudah kehilangan rasa malu? Sudah pasti dia akan melakukan segala perbuatan sesuka hatinya tanpa ada rasa malu seolah-olah dorongan nafsunya dikuasai oleh syaitan. Dia akan mengabaikan nasihat orang lain, melanggar batas-batas agama dan masyarakat, bahkan ada yang terjebak sehingga melakukan dosa besar. Mungkin orang yang tidak ada perasaan malu ketika melakukan maksiat itu, tidak tahu apa yang sedang dilakukan itu adalah maksiat!

Malu biar betempat

Sebuah hadis Kudsi daripada Muaz bin Jabal r.a., bermaksud: “Hamba-Ku telah berlaku tidak adil terhadap diri-Ku. Dia meminta kepada-Ku, tetapi Aku malu untuk tidak mengabulkan keinginannya. Padahal dia tidak pernah malu bermaksiat kepada-Ku.” Dalam Islam, sifat malu itu disebut “haya’”. Sesetengah pakar bahasa Arab mengatakan ia berasal daripada perkataan “hayatun” yang bermakna kehidupan.

Sebagaimana pentingnya komponen nyawa kepada seseorang maka begitulah pentingnya elemen malu dalam pembentukan personaliti seseorang Muslim. “Haya’” dalam Islam ialah suatu perasaan yang terbit dalam diri orang-orang yang beriman yang mampu membentengi diri daripada melakukan dosa dan maksiat. Orang yang memiliki sifat “haya’” sangat malu kepada Allah s.w.t. “Haya’” dalam diri seseorang diibaratkan sebagai buah hasil daripada keimanannya kepada Allah s.w.t. Sebuah hadis riwayat al-Tirmizi, sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: “Malu itu sebahagian daripada iman, dan iman itu menyebabkan seseorang masuk syurga.” Menurut hadis ini, rasa malu itu sebahagian daripada iman.

Orang yang beriman akan malu kepada Allah dan juga manusia lain ketika hendak melakukan maksiat. Dia malu kepada Allah ketika lalai dalam menunaikan tanggungjawab dan kewajipannya kepada Allah. Dia juga akan berasa malu jika tidak melakukan kebaikan di hadapan manusia lain atau malu melakukan perkara-perkara yang tidak sepatutnya dilakukan di hadapan orang lain.

Memahami akibat malu

Sayidina Umar bin al-Khattab pernah berasa teramat malu ketika beliau terlambat untuk menunaikan solat asar berjemaah di masjid kerana leka mengunjungi kebun-kebunnya. Akibatnya Umar telah menghadiahkan hartanya yang amat disayangi itu kepada kaum Muslimin kerana rasa malu kepada Allah. Beliau bertaubat dan berjanji tidak akan mengulanginya lagi.

Rasulullah s.a.w. bersabda: “Malu itu sebahagian daripada iman, dan iman itu menyebabkan seseorang masuk syurga.” (Riwayat al-Tirmizi)

Perasaan malu itu hendaklah ditanam, dipupuk dalam diri dan seterusnya dipelihara agar ia sentiasa wujud dalam diri setiap Muslim. Ia dapat dilakukan dengan cara mentaati segala perintah Allah dan menjauhi semua larangan-Nya. Menjaga ibadah wajib dan memperbanyak amalan sunat akan menyebabkan rasa malu sentiasa bertakhta di hati kita. Ini bertepatan dengan maksud hadis qudsi yang sahih bahawa sikap menjaga ibadah fardu dan sunat secara istiqamah akan menyebabkan mendapat bimbingan dan hidayah Allah dalam segenap perbuatan.

Maka dengan kelebihan ini segala tindak tanduk itu selari dengan kehendak Allah s.w.t. Menerusi bimbingan Allah ini, iman kita akan meningkat dan rasa malu akan terpahat dalam diri. Selain harus dipupuk, rasa malu juga harus dipelihara. Ia dilakukan dengan memelihara diri daripada melakukan dosa dan maksiat. Contohnya, menjaga anggota tubuh kita. Mata hendaklah mengelakkan pandangan yang haram, mulut tidak mengeluarkan kata-kata yang tidak baik atau tidak makan makanan yang haram, telinga hendaklah mengelakkan daripada suara-suara yang menyesatkan dan hati dipantau daripada penyakit hati yang akan mematikannya.

Selain itu, tangan dan kaki kita harus dilindungi daripada melakukan aktiviti yang mengarah kepada kemungkaran. Rasulullah telah mengingatkan para sahabat agar mempunyai rasa malu kepada Allah. Sabdanya: “Kamu semua hendaklah malu kepada Allah dengan sebenar- benarnya.” Mereka berkata: “Wahai Rasulullah, alhamdulillah kami benar-benar malu kepada Allah.” Rasulullah bersabda: “Bukan seperti itu. Malu kepada Allah ialah kamu dapat memelihara kepala dengan segala apa yang difikirkannya, kamu dapat memelihara perut dengan apa yang dimakannya, kamu sentiasa mengingati mati dengan segala komplikasi yang berkaitan dengannya.

Dan sesiapa yang menginginkan kehidupan akhirat, hendaklah dia meninggalkan perhiasan dunia dan menganggap lebih penting bekalan akhirat daripada bekalan dunia. Sesiapa yang sudah melakukan seperti itu, dia sudah benar-benar malu kepada Allah.” Namun demikian, malu ini tidak digalakkan dalam setengah keadaan seperti contohnya malu untuk bertanya sesuatu tentang ilmu. Ini terbukti bahawa Rasulullah memuji para sahabat dalam kalangan isteri-isteri para sahabat Ansar yang berani bertanya kepada Rasulullah s.a.w. tentang isu-isu kewanitaan dalam kuliah-kuliah yang Rasulullah s.a.w. sampaikan kepada mereka. Barangkali inilah yang menepati peribahasa Melayu sebagai ‘malu bertanya sesat jalan’.

70

Dari sini kesimpulannya adalah perasaan malu itu terbahagi kepada dua: pertama, malu yang dituntut bagi menjaga kehormatan diri daripada melakukan perkara yang diharamkan oleh Allah s.w.t.; dan kedua, malu yang dicela. Malu yang dicela berpunca daripada perasaan kekangan dalam diri tanpa sebab yang tertentu sehingga menyebabkan kita terlepas daripada mendapat sesuatu kebaikan. Malu jenis ini biasanya berlaku dalam konteks ilmu yang mengakibatkan kerugian akibat tidak memahami sesuatu ilmu. Banyak kebaikan dan keuntungan yang akan kita raih jika memiliki dan memelihara rasa malu yang dituntut. Antaranya:

1.      Sifat malu akan menguatkan keimanan.

2.      Membenteng diri daripada membuat maksiat sama ada kita sedari atau tidak.

3.      Melindungi kekurangan kita di hadapan manusia lain.

4.      Menghapuskan dosa-dosa kepada Allah s.w.t.

Akhirnya, perasaan malu inilah yang akan menjaga seseorang gadis daripada berpeleseran dan berdua-duaan dengan lelaki ajnabi; menjaga seseorang peniaga untuk menipu pelanggan; dan menjadikan anak–anak menghoramti ibu bapa. Insya-Allah.

 

Mafuzah Omar

Sumber artikel daripada Majalah Gen Q Isu 3

 


 

Read 6029 times
Mahfuzah Omar

B.A (HSc) di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. Pernah bertugas sebagai editor penerbitan di Telaga Biru Sdn. Bhd.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.