Menu

 

A+ A A-

NASAB ANAK LUAR NIKAH

Nasab kepada Ibu

Sebelum ini saya memahami bahawa nasab itu hanya kepada si ayah. Namun apabila menyentuh anak zina, nasabnya pergi kepada si ibu. Mohon penjelasan.

Jawapan: Ya, seseorang anak itu bukan sahaja dinasabkan kepada bapa bahkan juga kepada ibunya. Kerana kelahiran dan keturunan hanya berlaku melalui perkongsian hidup ibu dan bapa. Nasab diertikan sebagai ikatan keluarga atau kerabat yang hampir iaitu termasuklah ibu bapa, datuk dan nenek serta adik beradik. Dalam hal ini, Islam menganjurkan agar nama seseorang itu dinisbahkan kepada nama bapa kandungnya, bukan dengan nama orang lain walaupun orang itu menjaganya sejak kecil sebagai bapa angkat. Allah berfirman: “Panggillah mereka (anak-anak angkat itu) dengan (memakai) nama bapa-bapa mereka, itulah yang lebih adil di sisi Allah. Dan jika kamu tidak mengetahui bapa-bapa mereka, maka (panggillah mereka sebagai) saudara-saudara seagama kamu dan maula-maula kamu.” (Surah al-Ahzab: 5)

Nasab dan Hak Anak Zina

Saya inginkan kepastian tentang nasab anak zina. Ada yang kata dia masih boleh dibinkan kepada ayah biologinya. Ada yang kata dibinkan kepada ibunya.

ANAK2Jawapan: Istilah anak tidak sah taraf (illegitimate child) digunakan dalam undang-undang keluarga Islam di Malaysia. Menurut Seksyen 2 Akta Undang-undang Keluarga Islam (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1984, anak tidak sah taraf ialah anak yang dilahirkan di luar nikah dan bukan anak daripada persetubuhan syubhah. Dengan perkataan lain, anak itu ialah anak zina. Ia juga termasuk juga anak akibat kes rogol atau dengan cara saintifik yang bertentangan dengan hukum syarak. Terdapat perbezaan panda ngan dalam menentukan tempoh masa “luar nikah. ” Di Malaysia secara umumnya menganggap anak yang lahir kurang dari tempoh enam bulan selepas perkahwinan atau lebih dari empat tahun selepas perpisahan sebagai anak yang tidak sabit nasabnya dengan suami kepada ibunya. Anak tak sah taraf ini tidak boleh dibinkan atau dibintikan kepada lelaki yang menyetubuhi perempuan secara zina. Islam tidak mengiktiraf sama sekali hubungan yang berlaku kerana perbuatan yang terkutuk itu.

Pembuktian kesahan hubungan biologi melalui profil DNA misalnya tidak mengubah ketetapan ini. Sebaliknya anak tadi dibinkan atau dibintikan dengan nama Abdullah yang bermaksud hamba Allah atau nama yang dinisbahkan kepada nama-nama Allah yang lain seperti Abdul Rahim. Hukum ini berasaskan kepada prinsip yang disebutkan oleh Rasulullah tatkala berlaku pertikaian nasab antara Sa‘ad bin Abi Waqqas dan Abd bin Zam‘ah. Dalam menyelesaikan masalah itu, Baginda menetapkan prinsip bahawa seseorang anak dianggap sah bagi seseorang sekiranya dilahirkan di tilam yang dimilikinya. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim) Namun demikian Islam tetap mengambil kira hubungan anak tidak sah taraf dengan ibunya yang wujud secara tabii. Oleh yang demikian dia mendapat sebahagian hak-hak nasab melalui ibunya. Contohnya, dia ada hak untuk mendapat nafkah daripada ibunya dan boleh mewarisi harta pusaka antara satu sama lain. Hak penjagaannya diserahkan kepada ibunya atau saudara mara ibu. Dia juga dihalang daripada berkahwin dengan mahram daripada pihak ibunya seperti adik beradik ibunya.

Baby Hatch

Hari ini sudah ada pusat jagaan bayi terbuang yang disebut Baby Hatch. Apa hukum seseorang itu menyerahkan anak yang dilahirkannya hasil penzinaan kepada pihak tersebut. Bukankah ini lebih baik berbanding bayi yang dibuang merata-rata?

ANAK1Jawapan: Penubuhan pusat berkenaan pada asalnya tidak wajar kerana ia seolaholah menggalakkan perbuatan zina. Walau bagaimanapun memandangkan ia dibuat dengan tujuan untuk menyelamatkan nyawa akibat pembuangan bayi, atau untuk menyelamat aqidah akibat penyerahan bayi kepada aktivis agama lain, maka penubuhannya dianggap perlu bagi mengelakkan mudarat yang lebih besar. Pun begitu, operasinya perlu seiring dan serentak dengan kempen bersungguh-sungguh untuk mengurangkan jenayah zina dan rogol. Bagi wanita yang mengandungkan anak tak sah taraf pula, maka di anjurkan beberapa perkara:

1 Bertaubat jika kandungan itu berpunca daripada zina.

2 Reda dengan kehadiran insan dalam kandungannya. Hindari melakukan perbuatan terkutuk seperti menggugurkan kandungan.

3 Jangan membunuh atau membuang anak. Perlu ditegaskan bahawa zina dan pembunuhan itu dua dosa besar di sisi agama.

4 Pilihan yang terbaik bagi wanita demikian adalah untuk melaksanakan tanggungjawab yang ditentukan oleh syarak terhadap anak tidak sah taraf yang dilahirkan olehnya, seperti mengasuhnya, memberikan nafkah dan memberikan pendidikan agama yang mencukupi. Terlalu besar fadilat bagi seorang ibu yang menjaga dan mendidik anak-anak dengan tekun dan istiqamah.

5 Jika dia berhasrat meletakkan bayi itu di pusat jagaan bayi, dia perlu menilai alasan dia berbuat demikian. Jika dia lakukan tanpa sebab yang jelas, maka dia dikira berdosa kerana telah mengabaikan tanggungjawab sebagai seorang ibu. Namun jika perbuatan itu untuk mengelakkan masalah yang lebih besar seperti persengketaan dalam keluarga, keselamatan nyawa bayi itu atau seumpamanya, maka mudah-mudahan tindakan itu tidak dikira dosa di sisi Allah.

 

Wallahu a‘lam.

Dr. Fathi Yusof

Sumber artikel daripada majalah Al-Ustaz Isu 12

 


 

Ustaz Fathi Yusof

Beliau adalah lulusan Sarjana Muda Undang-undang dan Syariah, serta Doktor Falsafah Undang-undang UIAM. Kini bertugas sebagai Pensyarah Kanan dan Felo Penyelidik Undang-undang Islam di Pusat Penyelidikan Fiqh Sains dan Teknologi (CFiRST), Universiti Teknologi Malaysia. Membuat kajian dan penulisan dalam bidang undang-undang Islam, perlembagaan dan kekeluargaan. Beliau boleh dihubungi di alamat e-mel fathiyusof@gmail.com. Antara blog beliau ialah http;//abimuslih.wordpress.com

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

Kembali ke atas