Menu

 

A+ A A-

PENANGAN MAKANAN HARAM

Penangan Makanan Haram

Benarkah makanan haram akan membuatkan akhlak kita semakin buruk?

Saya bawakan satu ayat al-Quran yang bermaksud: “Wahai para rasul, makanlah makanan yang baik-baik (halal) dan kerjakanlah amal soleh. Sesungguhnya Aku Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.” (Surah al-Mu’minun 23: 51)

Dalam ayat itu Allah telah menggandingkan makanan yang halal dengan amalan soleh. Ini menunjukkan makanan yang halal dan tayyib (baik) akan membawa kesan dan mempengaruhi manusia untuk membuat amalan soleh.

Dalam ayat yang lain, Allah turut memerintahkan orang beriman supaya mendapatkan rezeki yang tayyibat (baik-baik). Firman Allah yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman! Makanlah rezeki yang baik-baik yang telah kami rezekikan kepadamu…” (Surah al-Baqarah 2: 172)

Para ulama menafsirkan bahawa tayyibat itu merupakan makanan halal. Berkaitan dengan hal ini, sebuah hadis riwayat al-Tabarani menyebut: “Seorang hamba yang tumbuh dagingnya daripada “suht” (makanan haram) dan riba’ maka neraka ialah lebih patut baginya!’”

Imam al-Ghazali dalam Ihya’Ulum al-Din menyatakan sekiranya kita ingin anak kita menjadi soleh, berguna dan bijak, maka berikanlah makanan daripada rezeki yang halal. Makanan yang halal akan menjadikan anak-anak tersebut berakhlak mulia, bijak dan berguna. Sebaliknya anak-anak yang dibesarkan dengan makanan dan hasil haram, maka ia akan membesar dengan sumber yang haram dan memberi kesan kepada darah daging yang tumbuh pada anak-anak tersebut.

Sama-samalah kita beringat, berusaha dan memastikan segala yang kita peroleh adalah daripada sumber yang halal.

penangan-makanan-haram-1a

Penyembelihan Halal

Hingga ke hari ini, masih kedengaran isu ayam tidak halal dimakan kerana tidak disembelih dengan betul. Bolehkah ustaz kongsikan realiti pelaksanaan penyembelihan di Malaysia?

Menurut standard halal yang dikeluarkan oleh Standards Malaysia 2009, penyembelihan menurut hukum syarak ialah perbuatan menyembelih yang dilakukan dengan memutuskan saluran pernafasan (halkum), saluran makanan (marikh) dan kedua-dua urat darah katorid dan jugular (wadajain) untuk mempercepatkan pengaliran keluar darah dan kematian haiwan.

Menurut standard itu juga, syarat-syarat penyembelihan hendaklah seperti berikut:

1. Dilakukan oleh orang Islam yang waras, baligh dan mengamalkan ajaran Islam dan mengetahui asas-asas penyembelihan dalam Islam.

2. Haiwan yang halal, masih bernyawa (hayat al-mustaqirrah) dalam keadaan sihat.

3. Sunat menghadap kiblat.

4. Membaca basmalah: bismillahirrahmanirrahim atau bismillahi Allahuakbar.

5. Menggunakan pisau atau mata pisau yang tajam dan bersih. Tidak boleh menggunakan tulang, kuku atau gigi.

6. Memutuskan saluran pernafasan (halkum) dan saluran makanan (marikh) serta dua urat darah karotid dan jugular.

Sekiranya sembelihan itu untuk tujuan jamuan keluarga dan saudara mara terdekat, yang hanya melibatkan beberapa ekor ayam sahaja, maka ia tidak tertakluk kepada syarat-syarat yang dikenakan ke atas syarikat-syarikat atau pengusaha pusat-pusat sembelihan.

Kepada pengusaha pusat-pusat sembelihan, terdapat banyak lagi syarat-syarat yang mesti mereka patuhi untuk mendapat pengiktirafan pusat sembelihan halal oleh Jabatan Agama Negeri / JAKIM.

Terdapat juga pengusaha pusat sembelihan yang dijalankan di kawasan-kawasan kampung secara kecil-kecilan. Masyarakat setempat suka untuk membeli kerana mereka berpeluang melihat proses penyembelihan sehinggalah ayam tersebut dipotong.

Namun perlu diingat, tempat-tempat seumpama ini mungkin penyembelihnya bertauliah, tetapi belum tentu pusat sembelihan tersebut mendapat sijil halal daripada JAKIM. Pusat sembelihan juga perlu mendapatkan sijil pusat sembelihan halal bagi untuk memastikan segala aspek kebersihan, kualiti, terhindar daripada najis, peralatan dan proses penyediaan itu menepati standard yang ditetapkan oleh pihak JAIN atau JAKIM.

Kosmetik Halal

Saya baru tahu bahawa barangan kosmetik juga ada yang halal dan haramnya. Bolehkah diperincikan bagaimana satu-satu barangan kosmetik ditentukan status halalnya?

Kosmetik dan produk dandanan diri adalah bahan dan sediaan yang dibuat untuk bersentuhan dengan pelbagai bahagian luaran badan (epidermis, rambut, kuku, bibir dan organ sulit luaran) atau pada gigi dan saluran mukus di mulut. Ia bertujuan semata-mata untuk membersihkan, mewangi, merubah penampilan, atau membaiki bau badan dan memeliharanya dalam keadaan yang baik. Perlu diingat, barangan kosmetik ini bukan bertujuan untuk merawat atau mencegah penyakit.

Berikut ialah antara syarat-syarat yang diambil kira sebelum satu-satu produk disahkan status halalnya:-

1. Bukan terdiri daripada atau mengandungi apa-apa bahagian atau bahan daripada anggota manusia atau terbitan daripadanya;

2. Bukan terdiri daripada atau mengandungi apa-apa bahan daripada haiwan yang orang Islam dilarang menggunakannya atau memakannya atau tidak disembelih mengikut hukum syarak;

3. Tidak mengandungi bahan atau bahan terubahsuai genetik (GMO) yang dihukum sebagai najis oleh hukum syarak;

4. Tidak memudaratkan pengguna dan pemakainya.

5. Proses penyediaan dan peralatan hendaklah bersih dan suci daripada najis.

Sebenarnya, agak sukar untuk kita sebagai orang awam untuk memastikan sendiri status halal barangan tersebut. Namun asas pengetahuan di atas perlu disebarkan terus menerus. Ini kerana barangan kosmetik dan dandanan diri yang terdapat di pasaran terlalu sedikit mendapat sijil dan logo halal. Bahkan boleh dikatakan kebanyakan barangan kosmetik antarabangsa yang berada di pasaran sekarang tidak mendapat sijil halal JAKIM kecuali beberapa jenama yang saya tidak perlu sebutkan di sini.

Justeru, saya amat menggalakkan para pengguna berusaha mendapatkan produk halal bukan hanya berkaitan makanan, tetapi barangan kosmetik dan dandanan diri yang kita guna pakai setiap hari.

Fahrul Irfan Ishak
­­­Sumber artikel daripada majalah Al-Ustaz isu No.4


Fahrul Irfan bin Ishak

Lulusan B.A (Hons) Syariah Islamiah Universiti al-Azhar Mesir. Kemudian memperolehi Master of Comparative Laws, IIUM. Kini sedang mengikuti pengajian PhD in Halal Product Managemenet, UPM. Bertugas sebagai pensyarah di Universiti Kuala Lumpur-MITEC

Kembali ke atas