Menu

 

A+ A A-

BERKAT ISLAM, HAIWAN MENDAPAT RAHMAT

ISLAM ialah agama yang memiliki segala mekanisme yang lengkap untuk bertapak sebagai tamadun contoh kepada umat manusia lain. Antara ciri-ciri utama risalah tamadun Islam ialah risalah rahmat. Rahmatnya meliputi seluruh alam termasuklah haiwan-haiwan.

Namun di luar sana ada kumpulan manusia yang mendakwa bahawa Islam tidak kasih kepada haiwan dengan menjadikannya sebagai sembelihan pada hari raya. Pada kesempatan ini, kita ingin menjawab syubhat-syubhat golongan berakal sempit yang hanya melihat maslahah dari lubang jarum yang kecil.

Haiwan dalam Islam

Apakah kedudukan haiwan dalam Islam?

Haiwan ialah makhluk Allah yang telah menunaikan tanggungawab mereka dengan baik. Mereka diciptakan untuk berkhidmat kepada manusia. Al-Quran menamakan spesis ini sebagai musakhkar yakni makhluk yang diperuntukkan oleh Allah untuk dijadikan alat dan sumber untuk pembangunan insan.

Kita melihat di sini betapa pentingnya hubungan insan dengan haiwan dalam merealisasikan kefahaman ‘imarah (pembangunan) seperti yang diinginkan oleh Allah.

haiwan-mendapat-rahmat-1

Penyembelihan itu Rahmat

Bagaimana kita hendak melihat bahawa penyembelihan haiwan itu sebenarnya rahmat bukannya penyeksaan sebagaimana yang digembar-gemburkan oleh golongan tertentu?

Orang yang melihat penyembelihan haiwan itu sebagai satu bentuk penyeksaan, sebenar tidak memahami dengan sebetulnya erti rahmat kepada haiwan. Sekiranya kita memahami bahawa kehidupan di dunia ini pada hakikatnya berdiri atas undang-undang tadafu’ (sistem berlawanan), maka akan terhapuslah kefahaman-kefahaman yang salah ini.

Konsep ini menjelaskan bahawa dalam hidup ini mesti ada yang memerintah dan diperintah atau ada yang dikhidmatkan dan yang berkhidmat. Maka kita perlu melihat haiwan sebagai sesuatu yang perlu dimanfaatkan, bukan untuk dipersia-siakan apatah lagi untuk dipermain-mainkan. Bahkan Islam melarang kita menjadikan haiwan sebagai bahan permainan seperti untuk dilaga-lagakan.

Maka ditegaskan di sini bahawa haiwan-haiwan tersebut perlu dijadikan sebagai makanan untuk kelangsungan kehidupan manusia tanpa perlu diseksa. Bahkan Nabi mengingatkan kita dengan mafhumnya: “Apabila kamu ingin menyembelih, perelokkan penyembelihan.” (Riwayat Muslim)

Pendek kata, kita perlu memberikan makna dan fungsi hidup setiap makhluk Allah di muka bumi ini agar nikmat Allah tidak disia-siakan begitu sahaja. Adakah kita dikatakan tidak berhati perut kerana mencangkul tanah untuk bercucuk tanam? Tidak sama sekali!

Sesungguhnya rahmah yang sebenar adalah apabila kita melakukan perkara yang sepatutnya dilakukan walaupun ia menyebabkan sedikit kesakitan. Contohnya rawatan pembedahan. Pembedahan itu menyakitkan namun kesannya kemudian ialah kelegaan dan kebaikan.

Hak Haiwan

Adakah Islam memperuntuk hak-hak tertentu untuk haiwan?

Sudah tentu ada. Jika dirujuk dalam kitab-kitab fiqah silam, kita akan dapati bab yang bertajuk: Nafkah untuk binatang. Subhanallah! Kita ialah umat yang mula-mula membincangkan tentang isu perbelanjaan kepada binatang. Ia tidak pernah dibincangkan oleh mana-mana tamadun pun selama berkurun-kurun melainkan mutakhir ini sahaja apabila Barat mula mengambil berat terhadap kebajikan haiwan.

Jika terjadi kes-kes penyeksaan terhadap haiwan, bukannya Islam yang tidak kasih kepada haiwan tetapi umatnya yang melupai agamanya yang bersifat pengasih kepada haiwan. Jadi kita perlu kembali kepada agama untuk kembali kasih kepada seluruh alam ini.

haiwan-mendapat-rahmat-2

Haiwan Terlindung

Hari ini, beberapa spesies haiwan dikategorikan sebagai haiwan terlindung. Sesiapa yang menangkapnya tanpa kebenaran akan dihukum. Apa pandangan Islam tentang undang-undang moden ini?

Ia tidak bercanggah sama sekali dengan syariat. Dalam sebuah hadis Nabi yang bermaksud: “Kalaulah anjing ini bukan salah satu daripada umat (spesies) yang wujud di alam ini, nescaya aku akan perintahkan anjing dibunuh.” (Riwayat al-Tirmizi)

Berdasarkan hadis ini, dapat kita fahami bahawa menjaga kewujudan spesis haiwan adalah antara sunnah yang disyariatkan. Sekali lagi, bukankah hal ini juga menunjukkan betapa murninya kasih sayang Islam terhadap alam ini termasuk haiwan?

Ustaz Ahmad Fauwaz Fadzil Noor

Sumber artikel daripada majalah Al-Ustaz isu No.7


Ustaz Ahmad Fauwaz Fadzil Noor

Sarjana Muda Syariah, Universiti al-Azhar, 2004. Mendapat Sijil Kemahiran Fatwa, Darul Ifta’ Mesir, 2008. Berguru secara langsung dengan ramai ulama besar antaranya Syeikh Ali Jumaah, Mufti Mesir, Dr. Taha Jabir al-Ulwani dan Dr. Mohammad al-Zuhaili. Kini sebagai Pegawai Perhubungan Korporat dan Penasihat Syariah Pelima Media Sdn. Bhd.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

 

Kembali ke atas