Menu

 

A+ A A-

TIADA TOLERANSI DAN KOMPROMI DALAM AQIDAH

Nabi s.a.w. berusaha merobohkan dan memusnahkan patung berhala yang terdapat dalam diri setiap individu. Apabila mereka boleh menerima tauhid kepada Allah, maka musnahlah patung berhala dalam diri dan hati mereka.

Salah satu asas penting dalam aqidah ialah tidak menerima toleransi dan kompromi. Aqidah bukan sebagaimana persoalan fiqah yang mempunyai kepelbagaian pendapat. Ada pendapat yang rajih dan ada yang marjuh (dhaif).

Namun dasar ini kurang diberi perhatian oleh masyarakat Muslim kini. Sebarang tindakan dan ucapan mereka ternyata tidak dicermati dan dihayati konsepnya. Ada beberapa contoh fahaman yang wajar kita beri perhatian segera. Antaranya fahaman tersebut ialah bahawa “semua agama adalah sama.”

Islam Agama Unik

Fahaman ini perlu diperincikan bagi mengelak kecelaruan yang berpanjangan. Memang secara umum, semua agama adalah sama khususnya dalam meningkatkan nilai akhlak. Semua agama menyuruh kepada akhlak yang mulia, tolong-menolong, tidak zalim dan sebagainya.

Namun Islam bukan sahaja dibina atas dasar akhlak sahaja. Hal ini kerana Islam adalah agama atau addin yang dibina atas dasar aqidah tauhid kepada Allah. Perkara ini menjadi teras dakwah para rasul terdahulu. Contohnya Nabi Nuh a.s., Nabi Ibrahim, Nabi Hud, Nabi Syuaib, Nabi Lut dan sebagainya. Manakala Nabi Muhammad s.a.w. memfokuskan selama 13 tahun sahaja di Makkah mengajak masyarakatnya mentauhidkan Allah s.w.t.

Al-Quran menceritakan tentang Islam yang antara lain bermaksud:

“Sesungguhnya addin (agama yang diredhai) di sisi Allah adalah Islam.” (Surah Ali I’mran 3: 19)

Nabi Muhammad s.a.w. pernah diajak masyarakat Makkah agar berkompromi dalam soal aqidah. Dalam usaha mereka memujuk Nabi agar berhenti menjalankan kerja-kerja dakwah mereka menawarkan kuasa takhta, kekayaan harta dan kecantikan para wanita sebagai gantinya. Malah jika Nabi s.a.w. sakit, mereka akan menawarkan tabib terbaik bagi merawatnya.

Adakah Nabi s.a.w. menerimanya?

Kalau diri kita, mungkin ada yang akan menerima tawaran tersebut. Ketika itu jika kita dituduh sebagai pengkhianat, mungkin pelbagai alasan yang akan kita berikan. Contohnya mungkin kerana strategi dakwah. Kononnya dengan harta dan kuasa, dakwah akan berjalan dengan lebih lancar.

Tiada Toleransi dalam Aqidah

Namun Nabi s.a.w. menolak tawaran tersebut. Diriwayatkan bahawa baginda dengan tegas bersabda yang mafhumnya:

“Jika mereka meletakkan matahari di kanan dan bulan di kiri daku agar aku meninggalkan seruan dakwah ini, aku sesekali tidak akan meninggalkannya.”

Begitulah sekelumit mafhum sabda Nabi s.a.w. bagi menggambarkan tiadanya kompromi dalam soal aqidah.

Satu lagi peristiwa yang juga mencabar iaitu tawaran untuk sama-sama berkongsi ibadah dan kepercayaan. Kononnya satu hari semua orang akan menyembah Allah manakala keesokan harinya pula, semua orang akan menyembah berhala. Begitulah perjanjian yang cuba dirundingkan dengan Baginda demi perpaduan bangsa Arab.

Kalau difikirkan, elok juga kalau cadangan ini dikaji dan diterima. Manfaatnya besar, tidak berlaku pergaduhan antara puak atau kabilah. Mungkin dengan toleransi beragama itu akan wujud dalam masyarakat Makkah ketika itu saling memahami dan secara tidak langsung umat Islam yang lemah akan selamat daripada penindasan dan penyeksaan. Sudah tentu masyarakat Islam akan selesa berada di Makkah pada zaman awal Islam.

Namun dalam dilema itu akhirnya turunlah wahyu Allah yang mafhumnya: “Katakan wahai Muhammad! Wahai orang-orang kafir, aku tidak akan menyembah apa yang kamu sembah. Dan kamu tidak pula menyembah apa yang kamu sembah. Dan aku tidak akan beribadat terhadap apa yang kamu sembah. Dan kamu juga tidak beribadat terhadap apa yang aku sembah. Bagi kamu agama kamu, dan bagiku agamaku.” (Surah al-Kaafirun 109: 1-6).

Inilah satu bentuk ketegasan dalam aqidah yang menjadi dasar kita. Namun dasar ini bukan bermakna bahawa kita umat Islam disuruh membenci agama lain dan merosakkan agama tersebut. Ketegasan Baginda itu adalah untuk menjaga aqidah umat Islam.

akidah

Kebijaksanaan Beraqidah

Walau bagaimanapun, ada yang berhujah bahawa Nabi s.a.w. juga berkompromi dalam persoalan aqidah. Buktinya ialah sikap Nabi s.a.w. yang tidak memusnahkan patung-patung berhala yang wujud di sekitar Kaabah. Sebaliknya patung-patung berhala tersebut dimusnahkan pada tahun 21 dari tarikh kebangkitan Nabi s.a.w.

Hakikatnya apa yang dilakukan oleh Nabi s.a.w. bukanlah termasuk dalam persoalan berkompromi dalam persoalan aqidah. Tindakan Nabi s.a.w. tidak memusnahkan patung-patung berhala adalah berdasarkan konsep fiqah awlawiyyat iaitu fiqah keutamaan. Dalam sesuatu tindakan yang diambil, sudah tentu ada keutamaan. Tentulah tidak bijak jika Nabi s.a.w. berusaha memusnahkan patung berhala sedangkan umat Islam masih lemah, ditindas, diseksa bahkan dibunuh. Nabi s.a.w. juga pernah diboikot selama beberapa lama. Malah umat Islam terpaksa berhijrah ke Madinah, sedangkan Makkah masih lagi dikuasai oleh golongan kafir.

Ini adalah kebijaksanaan Baginda dalam bertindak berhadapan dengan tentangan, lalu membenarkan mereka dengan agama mereka. Namun Nabi s.a.w. tidak pernah berkompromi

dalam persoalan aqidah. Sebaliknya Nabi s.a.w. berusaha merobohkan dan memusnahkan patung berhala yang terdapat dalam diri setiap individu. Apabila mereka boleh menerima tauhid kepada Allah, maka musnahlah patung berhala dalam diri dan hati mereka.

Patung berhala yang berada di sekitar Kaabah itu kemudiannya dirobohkan sendiri oleh mereka setelah semua mereka memeluk Islam dalam peristiwa Futuhu Makkah (pembukaan Makkah). Inilah pendekatan bijak yang seharusnya dipakai oleh umat islam pada masa kini.

Oleh sebab itu, fahaman menyatakan bahawa semua agama adalah sama tidak wajar diterima oleh umat Islam. Fahaman ini seolah-olah tidak kisah dengan apa jua anutan agama seseorang. Hendak menjadi Muslim, silakan. Kalau hendak menjadi bukan Muslim, silakan juga. Kalau tidak mahu beragama apa-apa pun, terserah. Kubur masing-masing, akhirat belum pasti lagi. Entah ada, entah tiada.

Fahaman dan iktikad sebegini adalah bahaya dan merosakkan aqidah Islam. Perhatikan firman Allah mengenai ahli Neraka Saqar, mereka ditanya sebab mereka berada di dalamnya. Mereka menjawab dengan pengakuan bahawa mereka tidak menunaikan solat, mereka tidak memberi makan kepada golongan miskin, mereka tenggelam dalam perkara batil dan mereka mendustakan tentang hari agama, iaitu hari Akhirat.

Bagi mereka yang bertegas dengan pandangan bahawa semua agama menyuruh penganutnya berbuat baik, ingatlah kebaikan yang dianjurkan oleh selain Islam tidak sama dengan yang dianjurkan Islam. Kebaikan mereka adalah berdasarkan fitrah manusia sedangkan Islam berdasarkan aqidah.

Kalau semua agama sama, sudah tentu tiada perlunya lagi Nabi s.a.w. diutuskan untuk mengajak masyarakat ahli kitab supaya sama-sama mentauhidkan Allah.

Oleh sebab itu, dasar penting dalam aqidah Islam ialah ia tidak menerima kompromi dan toleransi dalam soal agama dan aqidah. Aqidah mestilah satu iktikad dan fahaman yang jazam iaitu pasti dan putus tanpa syak.

 

Ustaz Mohd Nidzam Abd Kadir

Sumber artikel daripada majalah Solusi 9

 


 

Ustaz Mohammad Nidzam Abdul Kadir

Lulusan diploma KUSZA, Sarjana Muda Universiti al-Azhar, Kaherah dan Ijazah Sarjana dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM). Juga pengalaman pengajian di Pondok Pasir Tumboh. Kini pensyarah di UIAM. Boleh dihubungi di e-mel (nidiium@yahoo.com).

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

 

  

  

  

Kembali ke atas