FITRAH BERTUHAN MUNCUL KETIKA LEMAS DI LAUT
- Ditulis oleh Abdullah Bukhari Abdul Rahim
- Kategori Fadhilat
- Read 5510 times
Bertuhan itu fitrah manusia. Cara mengubati aqidah orang yang tidak mempercayai kewujudan Tuhan seperti orang ateis adalah dengan membuang mereka ke laut. Allah sendiri menyebut hal ini dalam al-Quran. Kenapa hanya ketika karam di laut dan bukannya ketika kesusahan di daratan? Ini kerana karam di laut ialah satu situasi bahaya yang sangat ekstrem.
Tiada tempat bergantung atau berpijak, di bawah mungkin si jerung menanti untuk membaham, laungan meminta pertolongan tidak didengari sesiapa, kalau terminum air laut yang masin itu amat memeritkan. Segala-galanya tidak pasti! Pada saat sebegini hanya Allah sahaja menjadi tempat bergantung. Ikrimah bin Abu Jahal yang keras permusuhannya dengan Rasulullah akhirnya memeluk Islam setelah kapalnya karam dan dia hampir lemas dipukul ribut di laut.
Ibn Kathir membawa kisah ini ketika mentafsirkan firman Allah yang bermaksud: “Dan apabila kamu terkena bahaya di laut, (pada saat itu) hilang lenyaplah (dari ingatan kamu) makhluk-makhluk yang kamu seru selain Allah. Maka apabila Allah selamatkan kamu ke darat, kamu berpaling tadah (tidak mengingatiNya). Dan memanglah manusia itu sentiasa kufur (akan nikmat-nikmat Allah).” (Surah al-Isra’ :67)
Begitulah juga dengan situasi si angkuh Firaun ketika hampir mati kelemasan. Firman Allah, mafhumnya: “Dan Kami bawakan Bani Israel ke seberang Laut Merah, lalu dikejar oleh Firaun dan tenteranya, dengan tujuan melakukan kezaliman dan pencerobohan, sehingga apabila Firaun hamper tenggelam berkatalah ia (pada saat yang genting itu): ‘Aku percaya, bahawa tiada tuhan melainkan yang dipercayai oleh Bani Israel, dan aku adalah daripada orang yang berserah diri.’”(Surah Yunus: 90)
MORAL:
Alangkah indahnya kalau kita mengharap hanya pada Allah semata-mata dalam semua situasi sebagaimana semasa situasi ekstrem karam di laut. Alangkah eloknya sekiranya situasi di atas dibawa dalam hidup kita sepanjang masa. Hanya Allah tempat bergantung. Bukan kabel, bukan manusia!
(Dipetik daripada facebook: Abdullah Bukhari Abdul Rahim, 14 Disember 2011)
Sumber artikel daripada Majalah Al-Ustaz Isu 08
Abdullah Bukhari Abdul Rahim
Sarjana Usuluddin (Tafsir al-Quran), UM. Kini pensyarah Jabatan Tilawah al-Quran, Pusat Bahasa, UIAM. Tulisan beliau kerap tersiar di akhbar Utusan Malaysia dan Berita Harian. Tumpuan penulisan beliau ialah kefahaman dan interaksi dengan al-Quran. Dekati beliau di abdullahbukhari.blogspot.com.
Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.