Menu

 

A+ A A-

SINERGI KETAKWAAN

SUDAH menjadi lumrah setiap pekerjaan di dunia ini tidak mudah kecuali dengan sikap tolong-menolong dan bantu-membantu. Sebagaimana manusia bertolong bantu melakukan kebaikan, kita juga dapati adanya golongan lain yang Bantu-membantu melakukan kejahatan! Bertuahlah mereka yang melakukan kebaikan, dan rugilah mereka yang melakukan kejahatan.

Iman al-Nawawi membahaskan topik ini dalam kitab masyhurnya Riyadhul Salihin dalam bab “Bantu membantu dalam kebaikan dan ketaqwaan.”

Beliau memulakan bab ini dengan sepotong ayat daripada surah al-Maidah ayat ketiga yang bermaksud “Dan bertolong menolonglah kamu di atas kebaikan dan ketaqwaan.”

Apa yang menarik daripada ayat ini ialah penggunaan perkataan “taqwa” selepas perkataan “bir”. “Al-Bir” membawa maksud setiap perkara yang baik. Manakala “al-taqwa” membawa maksud ketaqwaan kepada Allah s.w.t.

Terdapat pelbagai tafsiran yang boleh kita nyatakan tentang sebab perkataan “al-bir” digandingkan dengan perkataan “al-taqwa”. Yang pasti, seorang Muslim dan Mukmin pasti akan sentiasa mencari perkara yang “baik” dan perkara itu juga pasti membawanya kepada “ketaqwaan”. Jika ada perkara yang dilihat “baik” tetapi tidak membawa kepada “taqwa”, seorang Muslim dan Mukmin seharusnya tidak menghampirinya kerana ia hanyalah “baik” pada zahirnya tetapi tidak ada nilai “taqwa” di sisi Allah s.w.t.

Bantuan Kebajikan Beroleh Ganjaran, Bantuan Kejahatan Diazab Dosa

Al-Nawawi seterusnya menghuraikan surah al-Asr untuk dikaitkan dengan topik ini. Al-Syafi’i mengulas tentang surah al-Asr ini sebagai: “Sesungguhnya ramai manusia lalai daripada menghayati surah ini.”

Mari kita lihat sepintas lalu maksud ayat-ayatnya: “Demi Masa, sesungguhnya manusia berada dalam kerugian. Kecuali orang yang beriman dan beramal soleh. Dan mereka berpesan dengan kebenaran dan mereka berpesan dengan kesabaran.” (Surah al-Asr 103: 1-3)

Surah ini dengan jelas memberikan kemuliaan yang besar kepada orang yang memiliki empat ciri dan sifat:
·    Beriman dengan setulus hati.
·    Beramal dengan amalan yang diperintahkan Allah.
·    Sentiasa mengingatkan satu sama lain tentang kebenaran iaitu Islam.
·   Sentiasa mengingatkan satu sama lain agar bersabar dalam mentaati Allah s.w.t.

sinergi5

Perkara yang ingin diberikan tumpuan oleh Imam al-Nawawi melalui surah ini ialah perkara ketiga dan keempat yang melambangkan sikap orang beriman yang sentiasa menjadi pembantu kepada saudara seagamanya. Seterusnya al-Nawawi menyebut pula empat hadis yang berkaitan dengan sikap bantu membantu dalam perkara kebaikan dan ketaqwaan.

 

 

 

Maka setelah kita melihat beberapa ayat dan hadis ini, tidakkah ada di hati kita keinginan untuk membantu orang lain melakukan kebaikan dan ketakwaan? Ayuh bangunlah dan bantulah, biarpun ia terlalu kecil di mata manusia, namun ia tetap dinilai dengan ganjaran
yang besar di sisi Allah s.w.t. ¤

 

Ustaz Adlan Abdul Aziz

Sumber artikel daripada majalah Solusi isu No.3

_______________________________________________________________________

Ustaz Adlan Abdul Aziz

Lulusan Ijazah dalam bidang Pengajian Bahasa Arab, Universiti Al al-Bayt, Jordan. Mendapat ijazah penyampaian hadis bersanad dari Muhaddis Jordan terkemuka, Al-Arnaut. Kini berkhidmat sebagai guru di SMK Segambut Jaya, Kuala Lumpur.

Kembali ke atas