Menu

 

A+ A A-

ETIK BERKABUNG

SOALAN: Suami saya meninggal dunia kira-kira sebulan yang lalu. Terlalu banyak pantang larang yang diajar kepada saya tentang hal-hal yang boleh dan tidak boleh dilakukan oleh saya sepanjang tempoh ‘idah dan berkabung ini. Apakah sebenarnya perkara yang diajar Islam bagi seseorang yang berkabung? Bagaimanakah pula sekiranya saya ingin berkahwin lagi, boleh atau tidak?

Menurut Imam al-Nawawi dalam Raudhah al-Thalibin, 8/405, berkabung ataupun ihdad ialah meninggalkan berhias-hias sama ada dengan pakaian, barang kemas dan bau-bauan yang harum.

Berdasarkan takrifan ini, wanita yang berkabung ialah meninggalkan perkara yang berkaitan dengan berhias atau apa-apa yang boleh merangsang perhatian orang ramai. Tuntutan berkabung ini pada lazimnya hanyalah ditujukan kepada wanita yang kematian suami selama tempoh iddahnya.

Sementara itu, lelaki tiada kaitan dengan tuntutan berkabung ini. Berkabung adalah wajib bagi isteri yang kematian suami. Manakala berkabung bagi wanita yang telah diceraikan suami dengan talak adalah sunat sahaja. Adapun bagi wanita yang kematian ahli keluarganya seperti abang atau bapanya pula adalah harus.

Dalam hal berkabung ini, terdapat dua senario berbeza dalam masyarakat kita.

a. Memandang ringan

Sebahagian anggota masyarakat hari ini memandang ringan akan tuntutan berkabung selepas kematian suami. Kita dapat saksikan, apabila menghadiri upacara penyempurnaan jenazah atau di majlis-majlis tahlil (semasa isteri masih dalam tempoh berkabung), isteri si mati tersebut tidak menampakkan dirinya dalam berkabung atas kematian tersebut.

Ada yang memakai pakaian yang biasa dipakai, masih tetap glamor dan berdandan padahal syarak menuntutnya untuk menjauhkan diri dari perkara yang menampakkan dirinya sebagai berhias.

b. Terlampau

Melampau dalam soal berkabung sehingga melahirkan kepercayaan-kepercayaan serta adat yang pelik-pelik semasa berkabung. Ada yang melarang wanita tersebut daripada bercakap dengan mana-mana lelaki termasuk anak saudara atau anak tirinya.

Ada yang tidak membenarkan wanita tersebut memandang bulan di langit, dilarang  menyentuh garam atau apa saja benda yang berasal dari laut.

SOLUSI 8 - 72

Mengikut panduan Islam, mana-mana wanita yang kematian suami hanya wajib melakukan tiga perkara sahaja menurut hukum Islam iaitu beriddah, berkabung dan tidak keluar rumah.

1. Beriddah

Iaitu menyucikan dirinya. Seorang yang kematian suami tidak boleh berkahwin semula dalam tempoh empat bulan sepuluh hari selepas kematian itu, jika dia tidak hamil. Adapun jika hamil, maka iddahnya ialah selepas melahirkan kandungannya. Perlu diingat, masa iddah bukan masa hamil adalah lebih lama dan panjang sedikit dari masa wanita yang diceraikan (tiga kali haid atau tiga kali suci). Ini adalah kerana suami yang mati meninggalkan rasa sedih dan pilu kepada jiwa si isteri, ahli keluarga dan kerabatnya. Keadaan ini tidak berlaku pada talak biasa. Oleh sebab itu isteri perlu kepada masa yang lebih panjang sehinggalah kesedihannya berkurangan atau sejuk semula perasaannya yang pilu.

2. Berkabung

Iaitu wanita tersebut perlu menjauhkan diri daripada segala bentuk perhiasan dan keelokan seperti bercelak, menggunakan sebarang solekan dan bedak-bedak yang wanita itu selalu menggunakannya bagi mencantikkan diri untuk suaminya. Contohnya seperti bau-bauan atau minyak wangi, barang kemas untuk perhiasan serta pakaian yang cantik, glamor dan mewah.

Dalil yang menunjukkan demikian ialah sebuah hadis riwayat Bukhari dan Muslim daripada Ummu Habibah dan Zainab binti Jahsy yang bermaksud:

“Haram bagi wanita yang beriman dengan Allah dan Hari Akhirat berkabung melebihi tiga hari (iaitu tiga malam) melainkan berkabung   ke atas suaminya, selama empat bulan sepuluh hari.”

Dalam Sahih Bukhari dan Muslim juga diambil daripada Ummu Salamah, seorang wanita telah bertanya Nabi s.a.w.:

“Wahai Rasulullah, anak perempuan saya telah kematian suaminya, kedua matanya telah bengkak, bolehkah ia bercelak?”Rasul menjawab: “Tidak boleh!” Baginda berkata lagi: “Tidak boleh” sehingga dua atau tiga kali. Kemudian baginda berkata: “Ia hendaklah berkabung selama empat bulan sepuluh hari. Sesungguhnya kamu berkabung masa jahiliah selama setahun.”

Bukhari dan Muslim meriwayatkan daripada Ummu Atiyyah katanya, Rasulullah s.a.w. juga ada bersabda yang maksudnya:

“Tidak boleh wanita berkabung melebih tiga hari melainkan untuk suaminya iaitu empat bulan sepuluh hari. Dia tidak boleh memakai baju yang dicelup, melainkan baju ‘asab (iaitu baju yang dicelup dengan pencelup yang dibuat dari sepohon pokok yang tumbuh diYaman) dan tidak boleh bercelak, tidak boleh memakai minyak wangi kecuali ketika hamper suci kerana hendak menyucikan haid dengan sedikit sahaja.”

Abu Daud dan Nasaie pula meriwayatkan daripada Ummu Salamah bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda, maksudnya:

“Bagi wanita kematian suami tidak boleh memakai pakaian yang menarik, tidak boleh menyikat rambut, juga tidak boleh memakai perhiasan dan tidak boleh berinai dan bercelak.”

Dalam hadis lain yang diriwayatkan Abu Daud, Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud:“Jangan memakai wangian ketika bersikat, juga jangan berinai pada rambut kerana ia juga bentuk berinai.” Wanita itu bertanya: “Apakah semua jenis cara bersikat?” Jawab Nabi s.a.w.: “Semua yang menyebabkan rambutmu jadi elok dan rapi.”

3. Tinggal di rumah

Iaitu tinggal di rumah yang suaminya meninggal dan tidak boleh keluar rumah selama waktu iddah itu. Sebagaimana kisah Fari’ah binti Malik, saudara perempuan Abi Said al-Khudri.

Fari’ah datang berjumpa Rasul dan menceritakan tentang suaminya yang mati. Rasul menyuruhnya kembali ke rumah suaminya dan tinggal di situ tetapi wanita itu memberitahu suaminya tidak meninggalkan rumah untuknya ataupun sebarang nafkah.

Nabi memberitahunya: “Tinggallah di rumahmu sehingga habis iddah. Beriddahlah di rumah selama empat bulan sepuluh hari.”Tujuan tinggal di rumah dan tidak keluar pada masa berkabung itu adalah lebih elok dan menenangkan roh si mati dan menjauhkan wanita tersebut daripada syubhat dan fitnah.

Namun, dia boleh keluar dari rumah jika berhajat kepada sesuatu seperti untuk berubat, membeli keperluan baginya (jika tiada orang yang boleh menolongnya untuk membeli), atau ke tempat kerjanya seperti sekolah (jika guru) atau hospital (jika doktor atau jururawat).

Selain itu, apabila dia keluar kerana sesuatu hajat maka tidak boleh keluar pada waktu malam. Mujahid meriwayatkan sebuah hadis yang bermaksud:

“Ramai kaum lelaki yang mati syahid di peperangan Uhud. Datanglah isteri-isteri mereka kepada Rasul dan berkata: ‘Wahai Rasul, kami tidak suka keluar di waktu malam, bilakah boleh kami bermalam di rumah salah seorang dari kami? Apabila Subuh, kami akan segera pulang ke rumah kami.’ Rasul menjawab: ‘Kamu berbincanglah dengan salah seorang dari kamu apa yang nyata bagi kamu. Jika kamu hendak tidur, kembalilah ke rumah masing-masing.’”

Larangan ini wujud kerana perbuatan keluar pada waktu malam merupakan ruang boleh berlaku syak wasangka dan tohmah daripada masyarakat. Tidak perlulah wanita tersebut keluar melainkan jika sangat-sangat berhajat. Wanita itu juga tidak perlu ke masjid untuk solat, atau bermusafir mengerjakan haji atau umrah atau selainnya, kerana waktu haji tidak luput sedangkan waktu beriddah akan luput kerana iddah ada waktu tertentu.

SOLUSI 8 - 73

Berkahwin Semula

Inilah tiga perkara yang dituntut bagi wanita yang dalam iddah dan berkabung. Mengenai hal berkahwin semula selepas kematian suaminya, syarak menuntut agar tidak dipinang secara terang-terangan semasa dalam iddahnya. Ia boleh dinyatakan secara kiasan sebagaimana yang dijelaskan dalam al- Quran yang bermaksud:

“Dan tidak ada dosa bagimu meminang wanita (yang kematian suami dan masih dalam iddah) dengan sindiran atau kamu menyembunyikan (keinginan mengahwini mereka) dalam hatimu. Allah mengetahui bahawa kamu akan menyebut-nyebut mereka, namun begitu janganlah kamu mengadakan janji berkahwin dengan mereka secara rahsia kecuali sekadar mengucapkan kepada mereka perkataan yang baik (sindiran yang baik). Dan janganlah kamu berazam untuk berakad nikah sebelum tamat iddahnya. Dan ketahuilah sesungguhnya Allah mengetahui apa yang tersirat di hati kamu, dan takutlah kepada-Nya dan ketahuilah bahawa Allah Maha Pengampun lagi Penyayang.” (Surah al-Baqarah 2: 235)

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan dari Ummi Salamah, bermaksud: “Bahawa seorang perempuan dari Bani Aslamiah, yang disebut orang baginya Subai’ah adalah ia di bawah pemeliharaan suaminya,  kemudian suaminya itu meninggal dunia, sedangkan dia sedang hamil. Selepas bersalin dia berhias cantik untuk membolehkan dia dipinang.

Pada waktu itu Abus Sanabilbin Ba’kak masuk dan berkata kepadanya, apahal kamu berhias cantik, apakah kamu mengharapkan perkahwinan? Demi Allah kamu tidak boleh berkahwin sehingga berlalu empat bulan sepuluh hari. Kemudian aku bertemu Rasulullah bertanyakan hal ini. Maka baginda mengatakan aku boleh berkahwin setelah bersalin dan baginda menyuruh aku berkahwin.” (Riwayat al-Jama’ah, kecuali Abu Daud dan Ibnu Majah)¤


Ustaz Badli Shah Alauddin
Sumber artikel daripada majalah Solusi Isu 8

 


 

Ustaz Badli Shah Alauddin

Sarjana Muda Usuluddin dan Dakwah (Tafsir al-Quran) Universiti al-Azhar. Kini sedang melanjutkan pengajian Sarjana Sains di Universiti Malaysia Terengganu.Merupakan Penolong Pengarah Bahagian Penyelidikan di Jabatan Agama Islam Pahang. Mendapat bimbingan langsung kemahiran menyampaikan dakwah daripada Prof. Dr. Abd al-Mun‘im Subhi Abu Shu‘ayshi‘ Abu Dunya, tokoh ulama Mesir.

Kembali ke atas