Menu

 

A+ A A-

USTAZ TV

Misi dakwah dalam membawa manusia mengabdikan diri seutuh dan setulusnya kepada Allah seharusnya berorientasi perataan risalah dan kesedaran Islam keseluruh golongan meliputi pelbagai sektor dan bidang: rakyat dan pemerintah, buruh dan pentadbir, istana dan teratak di hujung desa.

Hal ini selari dengan sifat kesejagatan Islam sebagaimana yang disabdakan oleh Rasulullah s.a.w. ketika menjawab pertanyaan Quraisy Mekah dengan maksudnya: “Bahkan aku telah diutus kepada manusia seluruhnya yang putih dan hitam, yang mendiami puncak gunung dan yang menghuni perut laut.” (Riwayat al-Tabrani)

Dakwah yang menyeluruh membawa erti orientasi sejagat dan bukan terlalu elitis. Selaras dengan itu, sikap akomodasi adalah amat diperlukan bagi memungkinkan pendakwah mendidik dan seterusnya mempengaruhi massa.

Seorang pendakwah itu harus berakar di tengah-tengah masyarakat, bukan berpaut di atas. Risalah Islam harus dibawa ke mana sahaja. Islam bukan agama kampungan atau bandaran. Islam ialah agama sejagat. Justeru pendakwah tidak harus bersifat rural based atau urban based tetapi seharusnya ummah based.

Selaras dengan tekad penggemblengan tenaga seluruh pendakwah, kita sewajarnya meningkatkan mutu penyampaian yang lebih rapi dan dengan jentera yang lebih bertenaga, pendekatan yang lebih bijaksana dan media yang lebih beraneka.

1UTVAntara Internet dan Televisyen

Ada pendakwah yang menjauhkan diri daripada televisyen. Alasannya, media televisyen tidak sehebat media internet. Sejauh mana kepentingan media penyiaran dalam berdakwah?

Sejak dahulu lagi, pendekatan dakwah menerusi media sudah ada iaitu dalam bentuk penulisan dan cetakan. Kelebihan pendekatan ini ialah segala isi dakwah akan terus berulang-ulang dibaca oleh orang lain walaupun pendakwah tersebut telah meninggal dunia. Prinsip ini juga boleh diaplikasi kepada media elektronik kerana segala yang diucapkan oleh pendakwah juga boleh ditonton berulang kali walaupun selepas kematiannya.

Media hari ini bukan lagi wujud sebagai satu teknologi yang kecil, bahkan telah berkembang menjadi multi (pelbagai). Kehadiran teknologi multimedia ini sebenarnya merupakan anugerah istimewa kepada dunia dakwah. Tugas berdakwah menjadi lebih mudah, cepat dan berkesan.

Seluruh dunia seolah-olah menjadi sebuah kampung kecil. Keupayaan menghantar, menerima dan memproses maklumat telah dapat diperluas. Penerimaan ilmu tidak lagi melalui perantaraan antara pendakwah dan sasarannya sahaja, malah boleh dilakukan dengan menggunakan komputer. Medan pengajian pula bukan lagi disempadani batu-bata dan kayu, sebaliknya alam maya.

Justeru, agak kurang bijaksana seandainya pendakwah menjauhkan diri daripada teknologi ini. Seperti yang pernah saya ungkapkan sebelum ini, kerja dakwah yang berkesan mesti berlangsung atas prinsip:

Yang lama ada kesesuaian dan yang baru ada bermanfaat. Secara prinsipnya, isi kandungan hanyalah menyumbang sebanyak 7% terhadap keberkesanan ceramah yang disampaikan. Baki 93% lagi sebenarnya bergantung kepada bentuk media yang digunakan untuk menyampaikan isi-isi itu.

Penolakan pendakwah untuk menggunakan medium televisyen ini sebenarnya amat merugikan. Dr. Zakir Abdul Karim Naik dalam pidatonya bertajuk “Media and Islam – War or Peace” menegaskan bahawa televisyen akan tetap kekal menjadi media nombor satu di dunia. Jika ada yang merasakan media Internet lebih hebat berbanding televisyen, maka pendapat ini perlu dinilai semula.

Di pedalaman siaran televisyen adalah lebih mudah diterima dan ditonton berbanding  penggunaan talian Internet. Bahkan di sesetengah kampung, liputan 3G tamat menyedihkan. Pengguna internet paling aktif pula kebiasaannya hanyalah terhad kepada kelompok celik huruf dan berusia dalam lingkungan 15 hingga 35 tahun.  

Menurut Dr. Zakir, hari ini terdapat lebih daripada 20,000 stesen televisyen di seluruh dunia. Hampir lima bilion manusia menonton televisyen dan lebih 80% daripada populasi dunia boleh dicapai dengan televisyen tanpa mengira peringkat sama ada muda dan tua atau berpelajaran dan buta huruf bahkan golongan OKU sekalipun.

Disebabkan potensi liputannya yang amat meluas, tidak hairanlah di Amerika Syarikat sahaja terdapat sebanyak 83 buah stesen televisyen daripada keseluruhan 1,673 stesen yang dimiliki oleh badan-badan keagamaan yang menyiarkan 100% bahan ajaran Kristian. Pelaburan dalam bidang ini sahaja mencecah USD 400 bilion. Maka, sewajarnya media penyiaran khususnya menerusitelevisyen dimanfaatkan sepenuhnya oleh pendakwah.

Selamat bersiaran!

 

Ustaz Badli Shah Alauddin 

Sumber artikel daripada Majalah Al-Ustaz Isu 08


 

Ustaz Badli Shah Alauddin

Sarjana Muda Usuluddin dan Dakwah (Tafsir al-Quran) Universiti al-Azhar. Kini sedang melanjutkan pengajian Sarjana Sains di Universiti Malaysia Terengganu.Merupakan Penolong Pengarah Bahagian Penyelidikan di Jabatan Agama Islam Pahang. Mendapat bimbingan langsung kemahiran menyampaikan dakwah daripada Prof. Dr. Abd al-Mun‘im Subhi Abu Shu‘ayshi‘ Abu Dunya, tokoh ulama Mesir.

Kembali ke atas