Menu

 

A+ A A-

FADHU AIN VS FARDHU KIFAYAH

Ditulis oleh 

Ustaz, saya difahamkan bahawa ibadah tidak hanya solat, puasa dan haji sahaja, bahkan semua aktiviti dalam hidup juga dikira ibadah. Mohon ustaz jelaskan kenyataan ini.

Kita mesti memahami bahawa ibadat dalam Islam bukan seperti ibadat yang diamalkan dalam agama lain. Bagi agama lain, ibadat merupakan amalan ritual atau sekadar acara yang dibuat pada hari-hari dan di tempat-tempat tertentu sahaja. Ia tidak berlaku dalam kehidupan dan aktiviti seharian mereka. Ini bererti amalan agama dan aktiviti kehidupan mereka wujud secara berasingan dan terpisah  Berbeza dengan Islam, ia satu cara hidup yang merangkumi seluruh aspek kehidupan termasuk akidah, ibadat, akhlak, kekeluargaan, masyarakat, kenegaraan dan sebagainya.

Selagi mana seorang Muslim itu melaksanakan segala arahan Allah dan meninggalkan segala larangannya dalam semua lapangan kehidupan, dia telah dikira sedang beribadat kepada Allah s.w.t. Justeru daripada seremeh-remeh perkara seperti tidur, bangun, masuk tandas, makan minum, memberi salam, senyum, menjalin silaturahim, pergaulan dengan keluarga dan sahabat handai, mencari rezeki sehinggalah kepada hal-hal yang besar seperti perundangan, perdagangan, politik, kewangan, pentadbiran dan seterusnya, jika kita laksanakannya seperti yang dikehendaki dalam Islam, maka itulah ibadat kita kepada Allah. Dalam erti kata lain, dengan menjalani kehidupan seharian berlandaskan hukum dan peraturan hidup Islam, ia akan menjadi ibadat daripada kita. Bilamana ia sudah menjadi ibadat, maka ia akan diterima di sisi Allah sebagai amal soleh  kita.

Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud: “Sesiapa yang mengerjakan kebaikan meskipun sebesar zarah,  akan dilihatnya (balasan) kebaikan itu. Dan sesiapa yang  mengerjakan kejahatan meskipun sebesar zarah, akan dilihatnya (balasan) kejahatan itu.” (Surah al-Zalzalah 99: 7–8)

Ibadah itu ada yang fardu ain dan ada yang fardu kifayah. Bolehkah ustaz jelaskan tentang kedua-duanya?

Fardu ain atau dikenali juga dengan wajib ‘aini ditakrifkan sebagai perbuatan yang wajib dikerjakan oleh setiap orang yang sudah mukalaf (cukup syarat-syaratnya seperti berakal, baligh dan sebagainya) seperti solat fardu lima waktu, berpuasa pada bulan Ramadan dan menunaikan haji. Seorang Muslim yang meninggalkan kewajiban fardu ain akan menanggung dosa besar, di samping menjejaskan kesempurnaan imannya. Dalam erti kata lain, fardu ain adalah kewajiban bagi setiap individu Muslim.

Fardu kifayah pula ditafsirkan sebagai perbuatan yang wajib  dilakukan oleh seseorang atau sekumpulan anggota masyarakat Islam, tanpa melihat siapa yang mengerjakannya. Apabila telah dilakukan, maka hilanglah tuntutan kewajiban itu terhadap orang lain. Tetapi sekiranya tidak ada seseorang pun yang melakukannya, maka semua orang berdosa. Contohnya, seperti kewajipan mendirikan tempat solat berjemaah, sekolah dan solat atas jenazah. Dalam erti kata lain, fardu kifayah adalah kefarduan yang wajib dikerjakan oleh seseorang atau satu kumpulan yang mewakili masyarakat Islam, sebuah daerah Islam, negeri ataupun negara. Apabila kefarduan itu telah disempurnakan, maka kewajiban tersebut telah gugur ke atas seluruh anggota masyarakat yang terlibat. Jadi dapatlah kita membuat sedikit rumusan di sini bahawa fardu kifayah mempunyai ruang lingkup yang luas yang melibatkan seluruh aspek kehidupan meliputi ekonomi, politik, perundangan, ketenteraan dan lain-lain.


Bolehkah ustaz terangkan dengan lebih lanjut terutamanya tentang perbezaan antara kedua-duanya (fardu ain dan fardu kifayah)?

 

fardu

Kedua-dua konsep fardu ini terdapat dalam firman Allah yang bermaksud: “Ditimpakan ke atas mereka kehinaan di mana sahaja mereka berada kecuali mereka yang berhubungan dengan tali Allah dan tali daripada manusia.” (Surah Ali ‘Imran 3: 112) Apa yang dimaksudkan dengan “tali Allah” ialah hubungan peribadi yang bersifat fardu ain, sementara “tali manusia” ialah kerja-kerja yang bersifat fardu kifayah. Wallahua a‘lam

Dr. Abdul Basit Abd Rahman
Sumber artikel daripada Majalah Al-Ustaz Isu 3

 


 

Read 10721 times
Dr. Abdul Basit Haji Abdul Rahman (Abu Anas Madani)

Dr. Abdul Basit Bin Haji Abdul Rahman, dikenali juga sebagai Abu Anas Madani. Beliau adalah pendakwah yang tidak asing lagi di kalangan pencinta ilmu agama. Menjawat jawatan Pensyarah di Jabatan Syariah, Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS) dan Musyrif (Penyelia) Pondok Sungai Durian, Kuala Krai, Kelantan, Panel Penasihat Dakwah, Kerajaan Negeri Kelantan tahun 1428-1429H serta beberapa jawatan lain.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.