Menu

 

A+ A A-

CINTAKAN HARTA : PAHALA ATAU DOSA?

Pengumpulan harta bukanlah matlamat hidup sehingga segala usaha ditumpukan untuk memperolehnya dan mengetepikan kewajipan. Apabila hak dan kewajipan asas Islam tidak ditunaikan bersama boleh membawa kepada kerosakan dan kemusnahan.

Islam menganugerahkan pengiktirafan yang sewajarnya kepada harta dan merupakan wasilah untuk melaksanakan amalan mulia bagi memperoleh kebaikan di dunia dan meraih keuntungan di akhirat.

Harta sebenarnya suatu perkara yang baik kerana melaluinya kita dapat menjalani kehidupan dengan lebih sejahtera. Allah s.w.t. menamakan harta itu sebagai sesuatu yang baik dan ini dapat dilihat dalam firman Allah yang bermaksud: “Kamu diwajibkan, apabila seseorang dari kamu hampir mati, jika dia ada meninggalkan harta, (hendaklah dia) membuat wasiat untuk ibu bapa dan kaum kerabat dengan cara yang baik (menurut peraturan agama), sebagai satu kewajipan atas orang yang bertakwa.” (Surah al- Baqarah 2:180).

Sebagai makhluk ciptaan Allah s.w.t., kita dikehendaki mencari harta iaitu dengan tidak melupakan bahagian yang diperuntukkan oleh Allah s.w.t. kepada kita di muka bumi ini dan selain itu juga kita dibolehkan untuk mencintainya tetapi dalam lingkungan batasan yang diizinkan oleh syarak.

Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud: “Dan Dia akan memberikan kepada kamu dengan banyaknya harta kekayaan serta anak-pinak; dan Dia akan mengadakan bagi kamu kebun kebun tanaman serta mengadakan bagi kamu sungai-sungai (yang mengalir di dalamnya).” (Surah Nuh 71:12)

Firman Allah s.w.t. lagi yang bermaksud: “Dan carilah pada apa yang dianugerahkan Allah kepadamu (kebahagiaan) negeri akhirat, dan janganlah kamu melupakan bahagianmu daripada (kenikmatan) duniawi, dan berbuat baiklah (kepada orang lain) sebagaimana Allah telah berbuat baik kepadamu, dan janganlah kamu berbuat kerosakan di (muka) bumi. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang berbuat kerosakan.” (Surah al-Qasas 28: 77)

Kerosakan dan Kemusnahan
Namun, pengumpulan harta sebenarnya bukanlah matlamat hidup secara hakiki hingga segala usaha ditumpukan untuk memperolehnya dan pada masa yang sama mengetepikan segala kewajipan. Sebaliknya apabila hak dan kewajipan asas Islam tidak ditunaikan bersama boleh membawa kepada kerosakan dan kemusnahan.

Allah s.w.t. berfirman lagi yang bermaksud: “Katakanlah; Apa jua harta benda (yang halal) yang kamu belanjakan? Maka berikanlah kepada kedua ibu bapa, dan kaum kerabat, dan anak anak yatim dan orang miskin dan orang yang terlantar dalam perjalanan.” (Surah al-Baqarah 2: 215)

Firman-Nya lagi yang bermaksud:
"Berimanlah kepada Allah dan Rasul-Nya dan nafkahkanlah sebahagian daripada harta yang Allah jadikan kamu penguasanya, maka orang yang beriman dalam kalangan kamu dan yang menafkahkan (sebahagian) daripada hartanya (nescaya) untuk mereka pahala yang besar." (Surah al-Hadid 57: 7).

Dalam hal ini apabila seseorang itu telah menyalahtafsirkan tujuan pemilikan dan pengumpulan harta, maka jadilah seseorang itu sebagai pemilik yang mahu mengumpulkan harta tanpa ada kesudahan. Orang sebeginilah yang dilabel sebagai golongan yang terlalu mencintai harta. Golongan ini telah ditempelak oleh Allah s.w.t. sebagaimana firman-Nya yang bermaksud: “Kecelakaan besar bagi setiap pencaci pengeji, yang mengumpulkan harta dan berulang-ulang menghitung kekayaannya. Dia menyangka bahawa hartanya itu dapat mengekalkannya (di dunia ini)!” (Surah al- Humazah 104: 1-3).

Mereka yang tergolong dalam golongan orang yang mencintai harta tersebut, sifatnya amat suka berlumba-lumba untuk mengumpul harta secara tamak dan pada masa yang sama enggan menginfakkan hartanya kepada yang disukai atau diredhai Allah s.w.t. Umpamanya dengan mengeluarkan zakat, memberi sedekah kepada fakir miskin atau anak yatim, ataupun mewakafkan sebahagian hartanya demi tujuan amal jariah.

Firman Allah s.w.t yang bermaksud: “Kamu telah dilalaikan (daripada mengerjakan amal bakti) oleh perbuatan berlumba-lumba untuk mendapat dengan sebanyak-banyaknya (harta benda, anak-pinak, pangkat dan pengaruh).” (Surah al-Takathur 102: 1)
Dalam ayat lain Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud: “Dan kamu pula kasihkan harta secara tamak haloba.” (Surah al-Fajr 89: 20)

Bahaya Riba
Sehinggakan golongan yang memiliki harta dengan cara tamak dan haloba sanggup memperoleh keuntungan melalui pengembangan harta dengan jalan riba walaupun ia jelas dilarang dan tidak mendapat keberkatan daripada Allah s.w.t.

Firman Allah s.w.t. yang bermaksud: “Dan (ketahuilah bahawa) sesuatu pemberian atau tambahan yang kamu berikan (riba), supaya bertambah kembangnya dalam pusingan harta manusia maka ia tidak akan sekali-kali akan kembang di sisi Allah (tidak mendatangkan kebaikan).” (Surah al-Fajr 89: 20)

Kecintaan yang melampau terhadap harta, boleh menyebabkan seseorang itu lalai akan kewajipannya kepada Allah s.w.t. dan menjadikan mereka buta mata hatinya sehingga Allah s.w.t. memberi peringatan dan amaran akibat terlalu mencintai harta.

Dalam hal Allah s.w.t. mengingatkan yang bermaksud: “Dan ketahuilah harta benda kamu dan anak-anak kamu itu hanyalah menjadi ujian, dan sesungguhnya di sisi Allahlah pahala yang besar.” (Surah al-Anfal 8: 28)

Seterusnya Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu dilalaikan oleh (urusan) harta benda kamu dan anak pinak kamu daripada mengingati Allah (dengan menjalankan perintah-Nya). Dan (ingatlah), sesiapa yang melakukan demikian, maka mereka itulah orang-orang yang rugi.” (Surah al-Munafiqun 63: 9).

Sikap kecintaan dan ketamakan seseorang boleh mencapai ke tahap sanggup berbuat apa sahaja walaupun sehingga melanggar perintah dan hukum Allah s.w.t. Di sini Allah memberi peringatan dan amaran kepada manusia agar menjauhi sifat yang buruk dan keji akibat terlalu menyukai dan mencintai harta ini. Hal ini sebagaimana firman-Nya yang bermaksud:
“Ingatlah! Sesungguhnya jenis manusia tetap melampaui batas (yang sepatutnya atau yang sewajibnya), dengan sebab dia melihat dirinya sudah cukup apa yang dihajatinya.” (Surah al-‘Alaq 96: 6-7)

Firman-Nya lagi yang bermaksud: “Dan juga (disebabkan) mereka mengambil riba pada hal mereka telah dilarang melakukannya, dan (disebabkan) mereka memakan harta dengan jalan yang salah (tipu, judi dan sebagainya). Dan (ingatlah) Kami telah menyediakan bagi orang-orang kafir antara mereka azab seksa yang tidak terperi sakitnya.” (Surah al-Nisa’ 4:161).

Sifat Bakhil
Sikap terlalu mencintai harta ini juga akan menumbuhkan sifat bakhil kerana takut harta akan menjadi kurang dan menyemai perasaan enggan membayar zakat sedangkan menunaikan zakat dapat menyucikan hati dan membersihkan dosa orang-orang yang melaksanakannya. Malah melalui zakat, ia akan menyuburkan kebaikan dan keberkatan harta di dunia dan di akhirat.

Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud:
“Ambillah (sebahagian) daripada harta mereka menjadi sedekah, supaya dengannya engkau membersihkan mereka (daripada dosa) dan menyucikan mereka (daripada akhlak yang buruk).” (Surah al-Taubah 9:103)

Zakat mampu membentuk jiwa seseorang agar tidak mementingkan diri sendirinya sahaja. Walaupun demikian, orang-orang yang bakhil sudah pasti rasa amat berat untuk melaksanakan tuntutan zakat. Orang-orang sebegini adalah golongan yang amat dilaknat oleh Allah s.w.t. seperti mana firman-Nya:

Maksudnya: “Dan (ingatlah), kecelakaan besar bagi orang-orang yang mempersekutukan-Nya (dengan sesuatu yang lain), (iaitu) orang-orang yang tidak memberi zakat (untuk membersihkan jiwa dan harta bendanya).” (Surah al-Fussilat 41:6-7)

Kecintaan terhadap harta merupakan satu perasaan yang tidak ada noktahnya. Walaupun demikian, kecintaan itu tidak memberi apa-apa manfaat kepada mereka yang memilikinya kerana pada hakikatnya, apa yang dinikmati oleh seseorang bukanlah semua harta yang dimilikinya, tetapi sebahagian kecil hartanya sahaja.

Walaupun dari aspek hukum, harta itu dimiliki seseorang secara mutlak namun Rasulullah s.a.w. menegaskan dengan sabdanya yang bermaksud: “Anak Adam sering berkata; hartaku, hartaku. Padahal, apa yang sebenarnya menjadi harta milikmu itu, hanyalah apa yang telah engkau makan lalu engkau habiskan dan yang telah engkau gunakan sebagai pakaian lalu engkau rosakkan serta yang telah engkau sedekahkan lalu engkau sempurnakan.” (Riwayat Muslim).

Sebagai kesimpulannya, manusia dianugerahi harta, tetapi dia hanyalah melambangkan hak memanfaatkan kekayaan milik Allah s.w.t. dan disalurkan kepada yang berhak melalui cara yang dianjurkan oleh syariah. Penguasaan ke atas harta adalah lebih kepada tanggungjawab dan bukannya hak milik mutlak iaitu tanggungjawab mengurus dan memanfaatkan untuk diri sendiri, masyarakat dan agama seperti yang telah diamanahkan demi mendapatkan keredhaan Allah s.w.t.

Sehubungan itu, manusia yang telah diberi pengiktirafan sebagai khalifah di muka bumi ini melalui amanah dan tanggungjawab oleh Allah s.w.t. perlulah menunaikannya dengan penuh keimanan, ketakwaan dan keikhlasan berlandaskan kepada peraturan yang telah ditetapkan oleh syarak.

Firman Allah s.w.t yang bermaksud:
“Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menunaikan segala amanah kepada ahlinya (orang yang berhak menerimanya), dan apabila kamu menjalankan hukum antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil.” (Surah al-Nisā’ 4:58).

Namun yang paling dibimbangkan akibat daripada sikap terlalu mencintai harta ini ialah boleh menjerumuskan individu Muslim itu kepada perbuatan syirik iaitu menyengutukan Allah s.w.t dengan sesuatu yang selain-Nya dan dalam konteks ini ialah syirik secara tersembunyi.

Sehubungan itu, Imam al-Ghazali dalam Ihya’ Ulumuddin memberi peringatan bahawa kecintaan secara melampau terhadap harta boleh membawa kecenderungan untuk syirik kepada Allah s.w.t. walaupun dalam bentuk tersembunyi (syirik khafi). Ini adalah kerana kecintaan yang melampau itu boleh memutuskan hubungan dengan Allah s.w.t. iaitu dengan cara tidak melaksanakan tanggungjawab dan menunaikan hak-Nya sebagaimana yang telah diperintahkan.

Ustaz Md Yazid Ahmad
Sumber artikel daripada majalah Solusi 9

 


 

Md Yazid Ahmad

Pensyarah di Jabatan Syariah, Fakulti Pengajian Islam UKM dengan bidang kepakaran dalam Undang-undang Harta Islam dan Pentadbiran/Perbandingan. Beliau juga merupakan Panel Klinik Hukum dan Guaman Syarie Fakulti Pengajian Islam UKM.

Kembali ke atas