MACAM MANA NAK JADI BAIK?
JIKA ingin membaiki dunia, kita perlu baiki manusia. Dan untuk baiki manusia kita perlu baiki hatinya. Untuk membaiki hati, kita mesti bermula dengan memperbaiki solat.
Begitu sering saya ungkapkan sewaktu menjalankan kursus dalam program latihan bersama organisasi swasta dan kerajaan. Saya tidak jemu-jemu mengulang ungkapan itu buat diri saya sendiri dan juga untuk orang lain.
Ungkapan itu sebenarnya satu kesimpulan yang terhasil daripada satu pertanyaan yang pernah diajukan oleh seorang eksekutif bank kepada saya beberapa bulan yang lalu.
“Saya nak baiki diri. Dari mana saya harus bermula?”
“Mulakan dengan memperbaiki solat,” cadang saya.
“Mengapa solat?”
“Awak nak jadi baik bukan?”
“Awak jawab soalan dengan soalan,” katanya tersenyum. Tapi kemudiannya dia mengangguk, mengiakan.
“Kalau nak jadi baik perlu solat...”
Dia diam seketika. Berfikir mungkin.
“Bukan sebaliknya?”
“Maksud awak?”
“Maksud saya, orang yang baik itu ialah orang yang solat.”
“Tu betul juga, tapi saya lebih cenderung mengatakan kalau nak jadi baik perlu solat.”
Dia ketawa.
“Agaknya kenapa awak kata begitu ya?”
Saya senang dengan keramahannya. Walaupun pada mulanya saya ingin jadi pendengar, tetapi dia banyak memberi laluan untuk saya bercakap. Terasa segan diraikan begitu.
Saya pun menceritakan kepadanya bagaimana satu ketika diriwayatkan bahawa Abu Hurairah telah bertanya kepada Nabi Muhammad s.a.w. tentang orang yang mengerjakan solat tetapi masih mencuri. Abu Hurairah bertanya, bagaimana keadaan orang yang sedemikian? Rasulullah menegaskan, solat orang itu lambat laun akan menyebabkan dia berhenti mencuri.
“Tetapi kalau orang itu masih jahat juga setelah mengerjakan solat, bagaimana?”
“Itu yang saya katakan, dia perlu memperbaiki mutu solatnya. Perbaiki solatnya... apabila solat dah baik, insya-Allah orang itu akan jadi baik.”
Hardware dan Software Solat
“Bagaimana nak perbaiki solat?”
“Mulakan dengan mencari ilmu tentang kesempurnaan solat, hardware dan softwarenya.”
“Wah, solat pun ada hardware dan software?” Dia hampir ketawa. Terkejut dengan istilah yang saya gunakan.
“Hardware solat tu tentang rukun fi’li atau perbuatan fizikalnya seperti berdiri dengan betul, rukuk, sujud dan sebagainya.
“Softwarenya?”
“Rukun qauli, pada makna bacaannya di lidah dan rukun qalbi pada rasa yang bersemi di hati.”
“Cari ilmu yang bagaimana?” Kali ini saya menggeleng-gelengkan kepala. Tapi saya faham dia begitu teruja untuk menyoal. Sikap positifnya mengingatkan saya pada ungkapan:
“Kalau kita menyoal, kita kelihatan bodoh lima minit, tetapi kalau kita tidak menyoal, kita akan bodoh selama-lamanya.”
“Cari makna bacaan al-Fatihah... bukan setakat itu sahaja malah cari tafsirannya. Cari simbolik daripada perlakuan rukuk, sujud dan berdiri betul.”
“Oh, bukan sekadar sah batal, halal, haram dan sunatnya sahaja?”
“Itu pun ya juga. Tetapi itu hanya awalan. Perlu dilanjutkan lagi hingga kita memahami malah menghayati semua rukun-rukun solat, bukan sekadar tahu.”
“Kita perlu jaga tujuh anggota sujud kan?”
"Ya, itu permulaan. Tetapi menghayati rasa hina diri, harap, malu, takut, kagum kepada Allah dalam sujud kita... itu yang lebih penting.”
“Itulah yang awak maksudkan dengan software solat?”
Saya mengangguk. Saya tegaskan kepadanya itulah rasa-rasa yang perlu ada dalam hati ketika melaksanakan rukun qauli (membaca) dan rukun fi’li (perbuatan) dalam solat. Itulah roh solat, manakala yang lainnya hanya jasad.
Teringat saya amaran oleh Imam al-Ghazali, bahawa jika solat dipersembahkan kepada Allah tanpa ada sebarang rasa itu, sama keadaannya dengan mempersembahkan 'bangkai’ yang tidak bernyawa.
“Rasa takut, harap, kagum, malu dan hina itulah yang membentuk khusyuk?” tanyanya.
Saya mengangguk lagi.
Nak jadi baik memang lambat
Kemudian perbincangan kami berlanjutan hingga menyentuh soal khusyuk.
“Kalau tak khusyuk, semacam tak berguna kita solat. Betul tak?”
“Betul. Tapi nak khusyuk perlulah kita solat dulu. Perlahan-lahan kita tingkatkan mutunya.”
“Lambat ya?”
“Nak jadi baik memang lambat. Membina mengambil masa, meruntuh sekelip mata.”
“Oh, ya kita asyik bincangkan orang yang solat… tapi bagaimana orang yang tak solat langsung. Macam mana mereka nak jadi baik?”
“Perlu ajak mereka solat,” jawab saya pendek.
“Kenapa orang tidak mahu atau malas mengerjakan solat?” tanyanya bertubi-tubi. Soalan itu menjurus kepada satu persoalan.
Saya cuba menjelaskan bahawa punca orang enggan solat adalah apabila dia tidak terasa perlukan Allah dalam kehidupannya. Dia tidak nampak atau terasa keagungan, kekuatan, kekayaan, keilmuan dan lain-lain sifat kesempurnaan Allah.
“Kenapa jadi begitu?”
“Orang tidak nampak kebesaran Allah, sebab dia tidak terasa kekerdilan dirinya. Sebaliknya dia merasa dirinya atau makhluk-makhluk lain yang lebih besar. Jadi, pergantungan, pengharapan dan kekaguman bukan kepada Allah, tetapi kepada 'tuhan-tuhan’ lain selain-Nya.”
“Betul. Betul... apa perlunya solat kepada orang yang begini? Dia rasa dirinya yang kuat, mulia, kaya, berilmu... tak perlukan Tuhan lagi. Dia bertuhankan dirinya,” tambahnya bersemangat.
“Atau dia merasakan ada pihak lain yang lebih berkuasa daripada dirinya, maka ketika itu ia bertuhankan pihak tersebut.”
“Menjadi hamba kepada diri sendiri atau hamba kepada orang lain. Bukan hamba Allah?” tanyanya lagi.
Perlukah saya mengangguk lagi?¤
Sumber artikel daripada majalah Solusi isu No.3
Solusi
Berteraskan motto untuk menjadikan majalah Solusi sebagai panduan ke arah hidup yang bersyariat yang bersasarkan al-Quran & Sunnah. Berkonsepkan keagamaan yang menyentuh soal fardhu ain dan juga motivasi. Sesuai untuk dijadikan bahan bacaan harian untuk mendidik diri, menambah ilmu dan dikongsikan bersama.
Dapatkan majalah Solusi keluaran terbaru di Addeen Online Store!