Menu

 

A+ A A-

TEPATI JANJI SYURGA MENANTI

Sifat Penghuni Syurga

Saya mempunyai rakan yang suka berjanji tetapi susah untuk menepati janji. Saya telah menasihatinya tetapi dia tetap dengan sikapnya. Apa pandangan ustaz?

JAWAPAN: Menepati janji salah satu akhlak terpuji dalam Islam. Ia merupakan salah satu ciri akhlak mulia yang telah ditunjukkan oleh al-Quran dan juga sunnah Nabi Seorang Mukmin wajib menunaikan setiap janji yang telah dimetraikan kerana ia merupakan perintah daripada Allah dan juga Rasul-Nya. Firman Allah: “Dan tunaikanlah perjanjian kamu dan sesungguhnya setiap janji itu akan dipertanggungjawabkan di akhirat kelak.” (Surah al-Isra’: 34) Ayat ini jelas menunjukkan kepentingan menunaikan setiap janji. Setiap manusia akan dipertanggungjawabkan dengan janji-janji tersebut.

Namun amat menyedihkan apabila seringkali kita lihat begitu banyak janji yang dimungkiri tanpa rasa bersalah sama sekali. Sesungguhnya sifat menepati janji berkait rapat dengan sifat amanah. Antara ciri orang yang beriman ialah mereka sentiasa menepati janji tanpa memungkirinya. Hal ini kerana jiwa mereka dihiasi dengan sifat amanah. Penghuni syurga itu ialah mereka yang mengotakan janji. Firman Allah s.w.t.: “Dan itu ialah mereka yang menjaga setiap amanah dan juga janji janji mereka.” (Surah al- Ma’arij: 32)

Tabur Janji

Jika kita lihat kepada realiti zaman sekarang, ramai orang tidak mampu mengotakan janji tersebut. Banyak amanah yang telah diberikan kepada manusia tetapi mereka tidak mampu melaksanakannya. Apa komen ustaz?

JAWAPAN: Sesungguhnya kehidupan manusia di atas muka bumi Allah ini diikat dengan perjanjian:

 tetapi janji1

tetapi janji3Ikatan perjanjian yang utama antara kita dengan Allah ialah untuk beribadah kepada-Nya. Hal ini jugalah tujuan utama manusia diciptakan oleh Allah. Firman Allah: “Tidaklah aku menciptakan jin dan manusia kecuali untuk menyembah-Ku” (Surah al- Dzariyat: 56) Perjanjian sesama makhluk tidak kurang pentingnya. Nabi melarang umatnya daripada memungkiri janji. Dalam sebuah hadis riwayat Abu Dawud, Rasulullah bersabda: “Terdapat empat perkara yang ada pada seseorang yang nyata munafik. Sesiapa yang ada padanya satu ciri daripada ciri-ciri tersebut maka dia mempunyai satu ciri daripada ciri-ciri orang munafik sehinggalah dia meninggalkannya iaitu:

1 Apabila dia diberi amanah dia akan Mengkhianatinya.

2 Apabila dia bercakap maka dia akan berbohong.

3 Apabila dia membuat perjanjian maka dia dia akan mengkhianatinya.

4 Apabila mereka bertengkar mereka akan berpaling daripada kebenaran”. Daripada hadis ini jelas kepada kita tentang sifat lazim bagi orang munafiq. Maka Nabi menjelaskan kepada kita sesiapa yang mempunyai sifat-sifat ini maka dia mempunyai ciri-ciri orang munafik sehinggalah dia insaf dan meninggalkan sifat-sifat tersebut.

Kesimpulannya sebagai seorang muslim kita mestilah memelihara setiap perjanjian yang telah kita lakukan. Mengotakan setiap janji merupakan ciri mereka yang beriman, manakala memungkirinya merupakan salah satu ciri orang yang munafik.

tetapi janji2

Wallahu a‘lam.

 

 

Imam Muda Muhammad Asyraf Bin Mohd Ridzuan

Sumber artikel daripada majalah Al-Ustaz Isu 12

 


 

 

Imam Muda Muhammad Asyraf Bin Mohd Ridzuan

Sarjana Muda Usul & Fiqah, Universiti Malaya. Sebelum itu mengambil Diploma Qiraat di Maahad Tahfiz Pulau Pinang. Kini sedang menyiapkan pengajian sarjana juga di Universiti Malaya dalam bidang yang sama. Beliau merupakan Juara Imam Muda Astro musim pertama 2010. Kejayaan beliau mendapat liputan media antarabangsa antaranya CNN, BBC, Reuters dan Al-Jazeera. Dekati beliau di imamudasyraf.com.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

Kembali ke atas