PARA SAHABAT PUN BERIKHTILAF
- Ditulis oleh Dr. Abdul Basit Haji Abdul Rahman (Abu Anas Madani)
- Kategori Terkini
- Read 9650 times
Bila saya melihat khilaf yang berlaku dari kalangan para ulama dan ustaz-ustaz, guru saya menjelaskan khilaf ini berlaku selepas kewafatan Rasulullah s.a.w. Jadi apakah Baginda s.a.w ada meninggalkan sebarang pesanan mengenai hal ini agar umatnya tidak berpecah belah?
Jawapan
Saya suka membawa satu hadis yang panjang iaitu al-‘Irbadh bin Sariyah meriwayatkan: “Pada suatu hari, Rasulullah saw mengimami kami solat subuh, kemudian Baginda berpaling ke belakang menghadap kami seraya menasihati kami dengan nasihat yang sangat mendalam, begitu menusuk hati sehingga kami menitiskan airmata. Kami pun berkata: “Wahai Rasulullah, nampaknya ini seperti nasihat perpisahan, maka berwasiatlah lagi kepada kami.”
Lalu Baginda pun bersabda yang bermaksud: “Aku berwasiat kepada kamu agar bertakwa kepada Allah! Taat dan patuh (kepada pemimpin), walaupun pemimpin kamu itu seorang hamba abdi yang berkulit hitam! Sesiapa di antara kamu yang hidup selepas ketiadaanku, dia akan melihat banyak perselisihan. Maka hendaklah kamu berpegang teguh dengan sunnahku dan sunnah Khulafa’ Rashidin yang mendapat petunjuk. Gigitlah ia (sekuat hati) dengan gigi geraham (iaitu berpeganglah dengan kuat) dan jauhilah perkara yang diada-adakan (dalam urusan agama) kerana ia adalah bid’ah sedangkan setiap bid’ah itu sesat.” (Riwayat Abu Dawud, dan al Tirmizi)
Kata al-Hafiz Ibnu Rajab: “Hadis ini adalah perkhabaran yang dicerita oleh Rasulullah tentang perkara yang akan berlaku kepada umatnya selepas ketiadaan Baginda. Akan banyak berlaku ikhtilaf dalam perkara usul al-din dan cabangnya. Khilaf dalam perkataan, amalan dan kepercayaan (iktikad). Hadis ini bertepatan dengan hadis lain yang diriwayatkan bahawa umat ini akan berpecah kepada lebih daripada 70 kumpulan, semuanya dalam neraka kecuali satu kumpulan sahaja iaitu mereka yang berada di atas landasan ajaran Rasulullah dan para sahabatnya.
“Hadis ini juga memberi arahan apabila berlakunya perpecahan dan ikhtilaf, semua umat hendaklah berpegang dengan sunnahnya dan sunnah khulafa’ al-Rasyidin selepas darinya.”
Selain itu, hadis ini menunjukkan satu mukjizat ilmiah Rasulullah yang besar. Baginda menggambarkan suasana perselisihan yang akan berlaku kepada umat Islam disebabkan oleh sesetengah amalan yang mereka lakukan selepas kewafatan Baginda. Lalu, Baginda awal-awal lagi mengingatkan kepada sesiapa yang hidup pada zaman perselisihan itu supaya menghada pinya dengan cara berpegang teguh kepada sunnah dan menjauhi perkara bidaah.
Sahabat Bermusyawarah
Adakah khilaf berlaku dari kalangan para sahabat Nabi?
Jawapan
Khilaf bukan hanya berlaku kepada umat terkemudian, bahkan ianya telah berlaku sejak zaman sahabat lagi. Hal ini sebagaimana yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari: “Pada suatu ketika Amirul Mukminin Umar bin al-Khattab bermusafir ke Syam, dan di tengah-tengah perjalanan telah tiba berita bahawa wabak taun telah menyerang Syam. Sayyidina Umar lalu memanggil para sahabatnya bermusyawarah tentang apakah tindakan yang perlu diambil.
Para sahabat besar dari golongan Muhajirin dan Ansar berbincang lalu terhasillah dua pendapat. Pendapat yang lebih kuatnya adalah untuk kembali. Ketika ini tibalah Abdul Rahman bin Auf yang baru datang kerana menyelesaikan urusannya. Beliau lalu berkata: Aku mempunyai maklumat tentang perkara ini, aku telah mendengar Rasulullah s.a.w bersabda: “Jika kamu mendengar tentang sesuatu wabak di sesuatu tempat, janganlah kamu masuk ke dalamnya, dan jika ianya berlaku di tempat yang kamu berada dalamnya, janganlah kamu cuba keluar lari daripadanya.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Contoh Ikhtilaf
Saya masih tidak jelas sebab berlakunya ikhtilaf. Boleh tak berikan satu sebab ikhtilaf serta contohnya supaya saya lebih jelas memahaminya?
Jawapan
Antara sebab ikhtilaf adalah dalil yang ada tidak sampai kepada ulama tersebut.
Contohnya kes yang berlaku pada dua sahabat Nabi iaitu Ali bin Abi Talib dan Abdullah bin Abbas. Sebagaimana dalam jadual berikut: Mereka tidak mengetahui sebuah hadis yang menyatakan bahawa Subai’ah al-Aslamiyah seorang sahabat perempuan yang tengah hamil ditimpa musibah kematian suami. Setelah beberapa hari sahaja selepas kematian suaminya, beliau melahirkan. Kemudian datang pinangan untuknya, Rasulullah mengizinkan beliau untuk berkahwin. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim) Kita yakin sekiranya hadis ini sampai kepada dua ulama sahabat yang besar ini, pasti me reka akan berhukum dengannya.
Wallahu a‘lam.
DR ABDUL BASIT ABD RAHMAN
Sumber artikel daripada majalah al-Ustaz isu No.19
Dr. Abdul Basit Haji Abdul Rahman (Abu Anas Madani)
Dr. Abdul Basit Bin Haji Abdul Rahman, dikenali juga sebagai Abu Anas Madani. Beliau adalah pendakwah yang tidak asing lagi di kalangan pencinta ilmu agama. Menjawat jawatan Pensyarah di Jabatan Syariah, Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS) dan Musyrif (Penyelia) Pondok Sungai Durian, Kuala Krai, Kelantan, Panel Penasihat Dakwah, Kerajaan Negeri Kelantan tahun 1428-1429H serta beberapa jawatan lain.
Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.