Menu

 

A+ A A-

PERHATIKAN SIAPA SAHABATMU

DIRIWAYATKAN daripada Abu Hurairah r.a. beliau berkata: “Rasulullah s.a.w. telah bersabda, maksudnya: ‘Seorang Mukmin itu berada di atas agama (gaya hidup dan perilaku) sahabatnya. Maka, salah seorang daripada kamu hendaklah memerhatikan dengan siapakah dia bersahabat.’” (Riwayat al-Tirmizi dan Abu Daud)

perhatikan-siapa-sahabatmu-2

Kisah Abu Hurairah

Imam Muslim meriwayatkan sebuah hadis yang menceritakan bahawa Abu Hurairah mempunyai seorang ibu yang masih kafir. Beliau sentiasa berusaha mengajaknya untuk memeluk islam. suatu hari, ketika sedang berdakwah kepada ibunya tentang islam, si ibu menyebutkan suatu perkataan yang tidak elok tentang Rasulullah s.a.w. Beliau berasa tersinggung lalu keluar bertemu Nabi s.a.w. dalam keadaan menangis. Di hadapan Baginda, beliau menceritakan apa yang berlaku. Nabi s.a.w. mendoakan supaya ibunya mendapat petunjuk daripada Allah s.w.t.

Beliau berasa sangat gembira disebabkan doa Baginda, lalu pulang ke rumah. Dengan takdir Allah s.w.t., apabila sampai di rumah,ibunya mengucapkan dua kalimah syahadah di hadapannya berkat doa Nabi s.a.w.

perhatikan-siapa-sahabatmu-3

Indahnya Ukhuwah Islamiah

Setiap orang daripada kita mempunyai ramai kawan yang menjadi peneman dalam kehidupannya. Kawan di sekolah, universiti, tempat kerja, taman perumahan dan pelbagai lagi kawasan di sekeliling kita boleh dicari seorang insan bernama kawan. sama ada kawan, teman, sahabat handai,rakan, kenalan dan sebagainya, kesemua ini membawa maksud yang hampir sama. islam sangat menggalakkan penganutnya supaya mengenali saudaranya yang lain demi membina persaudaraan yang kukuh dan didasarkan hanya kerana Allah s.w.t.

Dengan mengetepikan perbezaan pangkat dan keturunan, seorang Muslim bebas dan dapat merasai ketenangan dan kebahagiaan ukhuwah islamiah yang dibina. Apa yang dicari hanyalah ketakwaan kepada Allah s.w.t. semata-mata.

Inilah nilai ukuran yang sebenar di sisi- Nya seperti yang disebutkan dalam al-Quran yang bermaksud: “Wahai sekalian manusia, sesungguhnya Kami telah menjadikan kamu daripada lelaki dan wanita, lalu Kami jadikan kamu juga (terdiri daripada) keturunan dan kelompok yang banyak. Sesungguhnya orang yang paling mulia dalam kalangan kamu ialah orang yang paling bertakwa, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Mendalam Pengetahuan-Nya.” (surah al- Hujurat 49: 13)

perhatikan-siapa-sahabatmu-4

Pilihlah Sahabat dengan Bijak

Dalam hadis di atas, Rasulullah s.a.w. memberikan gambaran yang jelas kepada umatnya bahawa seorang manusia boleh mempengaruhi orang lain. sama ada perilaku yang baik ataupun buruk, orang yang sentiasa bergaul dengannya pasti akan terikut-ikut dengan gaya hidupnya walaupun sedikit. ini kerana dalam ilmu akhlak, peribadi manusia boleh dipengaruhi oleh banyak faktor, antaranya seperti pergaulandengan individu di sekelilingnya.

Maka, pemilihan teman akan menentukan acuan akhlak seseorang sama ada baik atau sebaliknya. sedia maklum, Rasulullah s.a.w. sentiasa memberikan tunjuk ajar dan nasihat kepada manusia dalam semua lapangan hidup mereka. Dalam hadis ini lagi, Baginda memerintahkan umatnya supaya meneliti dan memerhatikan individu yang dijadikan sebagai sahabat.

Perlu diingat, pemerhatian ini bukanlah bertujuan supaya teman yang dicari itu perlu mempunyai satu pemikiran dan corak kehidupan yang sama dengannya. Bahkan, sifat seorang sahabat yang baik ialah membantu orang lain dalam urusan agama dan kehidupan mereka. inilah tradisi mulia yang telah diajar oleh Rasulullah s.a.w. kepada umatnya.

Perkara ini telah dijelaskan menerusi sebuah contoh yang dinyatakan dalam sebuah hadis, maksudnya: “Perumpamaan seorang sahabat yang baik dan buruk adalah seperti seorang pembawa minyak wangi dan peniup besi. Pembawa minyak wangi, sama ada dia memberikan minyak wanginya kepada kamu atau kamu membelinya daripada dia atau kamu terkena bauan yang wangi daripadanya. Manakala peniup besi itu, sama ada dia menyebabkan pakaianmu terbakar atau kamu mendapat bauan yang busuk daripadanya.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

perhatikan-siapa-sahabatmu-1

Seorang Muslim yang menitikberatkan masa depannya di dunia dan akhirat akan selalu berhati-hati dan berwaspada ketika bergaul dengan orang lain. Berbeza pula dengan individu yang bebas bergaul tanpa melihat kepada peribadi seseorang, sama ada dia akan mengajak orang lain melakukan kejahatan atau dia sendiri yang akan terpengaruh dengan kejahatan yang dilakukan oleh sahabatnya itu.

Ustaz Muhammad Yusuf A Kadir
Sumber artikel daripada majalah Gen-Q isu No. 8


Ustaz Muhammad Yusuf b. Abd Kadir

Beliau editor Unit Terjemahan Telaga Biru Sdn. Bhd. Lulusan Universiti al-Azhar (B.A. Hons Usuluddin: Hadis dan Ulum Hadis) dan merupakan salah seorang kolumnis Majalah GenQ. Antara guru beliau adalah Syeikh ‘Ali Soleh iaitu seorang guru di Masjid al-Azhar.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

Kembali ke atas