Menu

 

A+ A A-

KEINGINAN ATAU KEPERLUAN

Imam Ahmad meriwayatkan dalam kitab Al-Zuhd bahawa Umar Ibn al-Khattab suatu hari berkunjung ke rumah anaknya, Abdullah. Tiba-tiba dia melihat sepotong daging di rumah itu. Dia lalu bertanya, “Mengapa ada daging di sini?” Abdullah menjawab, “Aku teringin memakan daging, jadi aku membelinya.” Umar lalu berkata, “Apakah setiap kali teringin sesuatu, engkau terus memakannya? Cukuplah pembaziran yang dilakukan seseorang, setiap kali dia menginginkan sesuatu lalu memakannya.”

Imam Ahmad juga meriwayatkan dalam kitab yang sama bahawa suatu hari Umar berjumpa dengan Jabir bin Abdillah yang sedang membawa daging dari pasar. Ia lalu bertanya, “Apa yang engkau bawa itu, wahai Jabir?” Jabir menjawab, “Ini daging. Aku membelinya sebab teringinkan hendak makan daging.” Sekali lagi Umar berkata, “Apakah setiap kali menginginkan sesuatu, engkau membelinya?”

Rasional Membuat Keputusan

Ucapan Umar al-Faruq, yang diakui Baginda Nabi s.a.w. sebagai sangat bijak memilih antara kebenaran dari kebatilan, adalah tepat untuk dijadikan panduan hidup. Beliau mengajar agar kita tidak menjadikan “keinginan” sebagai asas konsumsi melainkan “keperluan”. Sebab hakikat keinginan itu ialah nafsu, yang tidak mengenal batasan. Setiap kali diberi, ia akan minta yang lain. Begitulah seterusnya sehingga jika selalu dituruti, ia akan membawa kita kepada gaya hidup mewah yang berakhir dengan pembaziran.

Sementara itu, berasaskan “keperluan” akan menjadikan akal rasional dalam membuat keputusan. Dengan kecerdasannya, akal akan memilih benda-benda yang penting dari yang kurang (atau sama sekali tidak) penting. Akibatnya, seseorang yang berpegang kepada asas ini dapat mengawal perbelanjaannya dengan baik dan selamat daripada kegawatan ekonomi.

Prinsip ini memperlihatkan ketinggian fiqah Sayidina Umar. Memang begitu banyak anjuran Islam agar kita menolak keinginan nafsu. Bahkan al-Quran menyebutkan bahawa sikap memperturutkan hawa nafsu merupakan gaya hidup kafir yang sama sekali bukan prinsip keislaman. “Mereka tidak lain hanyalah mengikut sangkaan dan apa yang diingini oleh hawa nafsu mereka.” (Surah al-Najm 53: 23)

Al-Quran juga menceritakan bahawa orang kafir menjadikan nafsunya sebagai tuhan selain Allah (Surah al-Furqan 25: 25). Jika begitu, menolak keinginan nafsu merupakan penyaksian tauhid yang sangat tinggi. Tepat seperti ucapan Imam Sahl bin Abdillah al-Tustari: “Allah tidak disembah dengan suatu amalan yang lebih baik daripada membantah keinginan nafsu.”

Kisah tokoh Islam yang berkaitan dengan hal ini sangat banyak kita temui dalam buku-buku sejarah. Sayidina Umar, yang kisahnya membuka tulisan saya kali ini, terkenal sebagai seorang yang sangat arif dalam mengawal nafsunya, sehingga tidak pernah mencela makanan yang dihidangkan di hadapannya.

Imam Ahmad meriwayatkan dalam kitab Al-Zuhd bahawa pada suatu hari, pembantu Umar yang bernama Aslam berkata dalam hati:

“Hari ini, aku akan membuat Umar mencela makanan.” Lalu dia menghidangkan segelas susu yang masam untuknya. Sejurus meminum susu itu, wajah Umar berubah. Namun dia tidak mencela minuman itu, sebaliknya berkata, “Duhai betapa lazatnya rezeki Allah s.w.t.”

Anaknya, Abdullah bin Umar, sejak ditegur ayahnya tadi selalu meninggalkan sesuatu kerana Allah setiap kali mencintainya. Nafi, pembantunya, berkata, “Setiap kali Abdullah bin Umar mencintai sesuatu daripada harta miliknya, dia akan melepaskannya. Suatu hari dia menunggang seekor unta dan merasa sangat menyukainya. Dia segera turun dari unta itu dan berkata, “Wahai Nafi, lepaskan pelana ikatan unta ini dan jadikanlah ia korban untuk Baitullah.”

Prinsip hidup ini terus hidup dalam masyarakat Islam hingga berabad-abad kemudian. Ulama Baghdad yang terkenal, Sari bin Abdillah al-Saqathi, pernah berkata, “Sejak tiga puluh tahun yang lalu, nafsuku selalu menuntut untuk (memakan) lobak yang dicelup dalam madu, namun aku tidak menurutinya.”

Balasan Meninggalkan Nafsu

kehendakKita sedar bahawa ajakan untuk meninggalkan nafsu sangat ringan di lidah namun sangat berat diwujudkan dalam perbuatan. Apatah lagi hati manusia selalu berusaha memperoleh kelazatan sebanyak-banyaknya. Namun hal tersebut menjadi ringan sekiranya kita meyakini bahawa meninggalkan nafsu pada hakikatnya adalah menukar kelazatan kecil dengan kelazatan lain yang lebih besar.

Jangan salah faham. Saya bukannya membicarakan mengenai kelazatan syurga yang hanya boleh dinikmati selepas meninggal dunia. Insya-Allah kita akan mendapatkan itu juga nanti. Tetapi saya berbicara mengenai kelazatan “syurga dunia” yang boleh dirasakan sebelum nyawa kita berpisah daripada jasad. Ibn Athaillah al-Sakandari berkata, “Tuhan kita sangat pemurah. Tidak mungkin kita bekerja untuknya sekarang, namun Dia membalasnya kemudian nanti.”

Percaya atau tidak, anda dapat merasai balasan daripada amalan meninggalkan nafsu yang anda lakukan di dunia ini sebelum menerima pahalanya di akhirat kelak.

Balasan minima yang segera anda rasakan adalah kenikmatan kembali kepada Allah dan berdamai dengan hati nurani. Ibrahim al-Khawas berkata: “Sesiapa yang meninggalkan keinginan nafsu, namun ia tidak merasakan (kelazatan) balasannya dalam hati, bererti ia tidak jujur dalam meninggalkannya.”

Balasan lain yang sedang menunggu seperti yang dijelaskan oleh seorang sahabat Nabi s.a.w. yang bernama Ubay bin Ka’ab katanya:

“Tidaklah seorang hamba meninggalkan sesuatu kerana Allah, melainkan Allah akan memberinya sesuatu yang lebih baik daripada itu dari arah yang tidak disangka-sangka.”

Ucapan ini diriwayatkan oleh Ibn al-Mubarak dalam kitab Al-Zuhd.

Bagi pemuda yang suka melihat sesuatu yang haram, sila renungi ucapan sahabat Nabi s.a.w. yang diakui ketinggian ilmunya ini. Lalu ditinggalkannya kerana kelazatan maksiat yang sedang menjerat itu hakikatnya membunuh anda. Dan yakinlah, kelazatan yang lebih besar (hanya Allah yang tahu apa bentuknya) sedang menunggu anda sebagai balasan yang Allah berikan kepada orang yang meninggalkan nafsu kerana-Nya.

Jika anda merasa seronok menghisap rokok, cubalah meninggalkan keseronokan ini kerana Allah. Nescaya keseronokan lebih besar dan halal akan menghampiri anda sebagai gantinya dari Allah.

Jika anda berasa nikmat mempraktikkan gaya hidup bebas daripada aturan agama, tanpa menghirau hukum halal dan haram, sudah sampai masanya anda merenungkan kembali kenikmatan itu. Jika ianya membawa kepada kenikmatan sebenar, sila anda memperturutkan nafsu anda hingga akhir hayat. Tapi jika anda yakin nikmat itu hanya akan berakhir dengan kesengsaraan, segera tinggalkan kenikmatan semua itu dan beralihlah kepada kenikmatan hakiki yang sedang menunggu anda.

Meninggalkan Kerana Tawaduk

Imam Ahmad meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: “Barang siapa yang meninggalkan sehelai pakaian (kerana dorongan) tawaduk kerana Allah, padahal dia mampu memakainya, maka Allah akan memanggilnya di hadapan semua makhluk lalu membiarkannya memilih baju-baju iman yang dikehendakinya.”

Sering kali seseorang membeli sehelai pakaian bukan kerana memerlukannya untuk menutup aurat atau menjaga daripada panas atau sejuk. Dia membelinya hanya kerana pakaian itu pernah dilihatnya di dalam sebuah majalah fesyen. Begitu juga sikap sebahagian orang terhadap telefon bimbit, beg tangan, kereta, komputer riba dan aksesori lain yang mewarnai hidup kita. Hadis di atas menjelaskan balasan akhirat untuk orang yang bersedia meninggalkan kebiasaan buruk ini.

Akhirnya, seringlah bertanya kepada diri ketika anda sedang memandang sesuatu di pusat membeli belah, “Apakah aku ingin ataupun aku perlu membeli barang ini?” Lalu ucapkan kata-kata Sayidina Umar dengan jelas, “Cukuplah pembaziran yang dilakukan seseorang, setiap kali ia menginginkan sesuatu yang dibelinya.” Wallahu a’lam.

Umar M Noor

Sumber artikel daripada majalah Solusi 9

 


 

Umar Muhammad Noor

Lahir di Bekasi, Indonesia. Lulusan B.A. Usuluddin (TafsirHadis) dari UIN Syarif Hidayatullah, Jakarta dan Sarjana Usuluddin (Hadis) di Universiti Omm Durman, Sudan. Berpengalaman belajar daripada ulama-ulama Damaskus, Syria dari 2002-2008. Kini sebagai pensyarah Usuluddin dan Syariah di Kolej Marsah, Johor Bahru.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

  

 

Kembali ke atas