Menu

 

A+ A A-

CAKAR HARIMAU TIPS KEBAHAGIAAN RUMAH TANGGA

KELUARGA merupakan institusi yang paling penting dalam rangka membina sebuah negara yang maju dan mantap seiring dengan kehendak Allah Taala. Keluarga bahagia impian semua insan berkeluarga atau yang bakal mendirikan rumah tangga.

Justeru, suami dan isteri perlu menguasai sebanyak mungkin ilmu dan langkah-langkah ke arah pembentukan keluarga bahagia contohnya persediaan fizikal, minda, ilmu, sosial dan ekonomi. Betapa pentingnya ikatan kasih sayang antara suami isteri kerana ia akan memberi kesan yang amat memberangsangkan kepada pembentukan anak-anak yang positif.

Banyak sudah amalan yang Rasul telah tunjukkan buat panduan umatnya termasuklah hubungan yang baik antara suami dan isteri. Romantik adalah sunnah Junjungan Tercinta, Muhammad s.a.w. Suami dan isteri digesa agar bersikap romantik agar kasih sayang antara mereka tidak pupus walaupun dimamah usia.

Selain itu, masing-masing perlu menunaikan tanggungjawab masing-masing seperti si suami bertanggungjawab memberi nafkah makan, minum dan pakaian, melayan isteri dengan baik dan menyediakan tempat tinggal. Manakala, si isteri pula bertanggungjawab melayan suami sebaik mungkin, menjaga rumah tangga dan maruah suami dan mendidik anak-anak dengan didikan menurut syariat.

Bagaimanapun, tidak cukup sekadar tahu dan faham sahaja ilmu-ilmu menuju ke arah kebahagiaan rumah tangga, tetapi ia menuntut kepada praktikal dari kedua-dua pihak. Ada banyak tip kebahagiaan rumah tangga antaranya dengan urutan cakar harimau dan  urutan labah-labah.

Kehidupan suami dan isteri mestilah diwarnai dengan haruman kasih sayang dan cinta yang ikhlas. Satu masalah yang biasa terjadi di kalangan suami isteri ialah hubungan yang sudah tidak hangat dan indah. Cinta dan kasih semakin pudar lantaran jelmaan pelbagai masalah-masalah dan tanggungjawab yang tidak dipenuhi. Masing-masing hanya memendam rasa ketidakpuasan di dalam hati sehingga akhirnya meletup seperti gunung berapi. Ketika itu, terlafazlah kalimah yang dibenci Allah walaupun halal, ‘Aku benci kamu! Aku ceraikan kamu!’

Langkah-langkah Menzahirkan Cinta Kepada Pasangan

  • Panggilan suami isteri

Gunakan panggilan yang baik seperti abang, sayang, darling, honey, ayang, manja. Elakkan memanggil dengan panggilan emaknya, ayahnya, abahnya dan sebagainya.

  • Bantu Membantu

Realiti hidup hari ini suami isteri sama-sama bekerja. Jadi, teramat relevan jika suami/isteri saling membantu melaksanakan kerja rumah.

  • Berkomunikasi dan berhubung

Berkomunikasi amat penting. Lebih banyak kita berkomunikasi, lebih banyak kita akan memahami pasangan kita. Banyakkan berSMS dan menelefon pasangan jika berjauhan.

  • Hadiah

Hadiah sesuatu kepada pasangan, terutama pada hari-hari bersejarah dalam kehidupan anda dan pasangan seperti hari ulang tahun perkahwinan, hari lahir dan sebagainya. Hargailah apa jua pemberian pasangan tidak kira mahal atau murah. Yang penting nilai yang tersirat bukan nilai yang tersurat.

  • Mengubah Suasana

Contohnya, suami membawa isteri makan di tempat-tempat yang romantik hingga menyemarakkan lagi suasana cinta di alam rumah tangga.

  • Menjaga Lidah

Manusia itu dinilai melalui dua anggota kecil dalam jasadnya iaitu hati dan lidahnya. Jadi, suami isteri mestilah menjaga lidah masing-masing agar tidak mencalarkan kebahagiaan mahligai yang dibina bersama.

  • Galakkan minat dan hobi pasangan

Jangan melarang pasangan anda meneruskan hobi yang diminatinya. Jika dia minat bersenam, maka temanilah pasangan anda bersenam. Beri galakan kepadanya.

  • Ucapan tanda penghargaan

Ucapkanlah ucapan terima kasih jika pasangan membantu anda. Hidup umpama berada di laut luas. Kadang-kadang ombak menghempas, rebut kuat, hujan lebat membasahi, kilat dan petir sabung-menyabung. Begitulah kehidupan ini. Ada masa gembira dan ada masa sedih. Konflik akan menimbulkan perasaan tidak selesa antara pasangan dan suasana yang tidak harmoni. Masing-masing akan saling menyalahkan, bertengkar, menyimpan dendam dan sebagainya. Keadaan ini perlu dikawal dan diselesaikan dengan cara yang baik, dalam melayari bahtera rumah tangga.

Langkah Urutan Cakar Harimau dan Urutan Labah-labah

l 1 Langkah 1: Picit tengkuk dengan penuh kasih sayang dan lembut. Jangan kasar-kasar. Kalau isteri yang urut suami, mungkin tak jadi masalah. Tapi, kalau suami yang urut, isteri kena berpesan agar suami urut dengan lemah-lembut, kerana tangan lelaki agak kasar, maka kenalah dilembutkan sedikit.

l 2Langkah 2: Tangan kanan memicit bahu kanan hingga sampai ke lengan kanan dan tangan kirimemicit bahu kiri hingga sampai ke lengan kiri serentak.

l3Langkah 3:
Buat “jemput jemput” di belakang badan, dekat tulang belikat. Teknik ini akan merangsang pasangan dengan kadar yang tinggi.

l4 Langkah 4: Buat cakar harimau di belakang badan dengan cara menekan hujung jari lekuk ke dalam. Cengkam sedikit bermula dari tengkuk hingga ke bawah pinggang. Kenapa ini dinamakan cakar harimau? Ini kerana teknik membengkokkan jari pengurut sama dengan cara harimau mencakar.

l5Langkah 5: Buat urutan labah-labah iaitu teknik jari-jemari merangkak naik ke atas dari pinggang hingga sampai ke tengkuk semula. Selepas cakar harimau, disusuli dengan teknik “labah-labah naik atas”. Kalau cakar harimau dari atas ke bawah, maka teknik labah-labah naik atas, bermula daripada bawah pinggang naik ke atas iaitu bahu dan tengkuk, persis pergerakan labah-labah naik ke atas. Teknik ini juga dipanggil lompat kelinci. Ulang langkah 4 dan 5 berulang kali.

l6Langkah 6: Genggam kedua belah tapak tangan seperti genggaman penumbuk dan tepuk (tumbuk) beberapa kali belakang pasangan mengikut kelajuan yang sesuai, untuk melengkapkan kaedah kasih saying suami isteri. Ketukan boleh juga dilakukan seperti kaedah karate. Teknik ini sebagai penutup ”cakar harimau”.

l7Langkah 7: Lafazkan bisikan dan kalimah cinta ke telinga pasangan anda. Ucapkan ”I love you” dan sebagainya. Bisikan cinta ini lebih mendalam dan menusuk kalbu.


Dato’ Siti Nor Bahyah Mahamood

Sumber artikel daripada majalah Solusi isu No.9


Dato' Siti Nor Bahyah Mahamood

Dilahirkan di Bayan Lepas, Pulau Pinang. Berkarier sebagai pendakwah dan sering muncul di tv sebagai panel jemputan Forum Perdana TV1, juga al-Kuliyyah, Motivasi Pagi, al-Hidayah, Wanita Hari Ini, Malaysia Hari Ini (MHI) di TV3 dan Halaqah di TV9. Sentiasa mendapat undangan ceramah, membentang kertas kerja dan seminar di seluruh negara dan di Brunei. Juga sebagai kolumnis beberapa majalah antaranya Anis, Harmoni, Nona dan Mingguan Wanita. Telah melahirkan lebih 40 album pelbagai tajuk (agama, motivasi dan tip) dalam bentuk VCD, CD dan kaset. Dianugerahkan "Outstanding Achievement" dalam penjualan album daripada Telaga Biru Sdn. Bhd.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

  

  

 

Kembali ke atas