Menu

 

A+ A A-

HUTANG BELUM LANGSAI, SUAMI ISTERI SUDAH BERCERAI

Perkahwinan itu penyatuan dua buah hati. Bila hati sudah bersatu, segala-galanya akan bersatu. Tetapi jika hati sudah retak, segala-galanya akan berpecah walaupun nampak zahirnya masih bersatu. Firman Allah yang bermaksud: “Kamu lihat mereka seolah-olahnya bersatu tetapi hati mereka berpecah-belah.” (Surah al-Hasyr: 14)

Bagaimana menyatukan dua buah hati? Jika kayu disatukan dengan kayu oleh paku, batu dengan batu oleh simen, hati dengan hati disatukan oleh iman. Iman itu yakin kepada Allah dan hari akhirat serta rukun-rukun iman yang lain. Iman itu sesuatu yang “menetap” dalam hati, bukan hanya dalam fikiran dan perasaan. Apabila di hati bersemi iman kepada yang Satu, maka mudahlah manusia bersatu.   Ya, dua hati yang beriman akan mudah disatukan. Antara dua hati makhluk, hanya Khalik yang dapat menyatukannya.

Firman Allah mafhumnya: “Sekiranya kamu membelanjakan seluruh harta yang ada untuk menyatukan hati manusia, nescaya kamu tidak akan dapat menyatukannya, kecuali Allah.”(Surah al-Anfal: 63)

Dengan kata lain, harta, rupa, bangsa atau apa sahaja faktor luaran tidak akan dapat menyatukan hati suami isteri. Hanya Allah, hanya iman yang mampu menyatukan dua buah hati. Jika itulah hakikatnya, maka Allah mesti di utamakan sejak awal perkahwinan sehinggalah keakhirnya.

Beza Dengan Non Muslim

Jagalah Allah, Allah akan menjaga kamu. Begitulah maksud sebuah hadis. Menjaga Allah ertinya menjaga semua hukum hakam syariat Allah dalam sebuah rumahtangga. Niat bernikah mestilah kerana Allah, yakni dengan tujuan menjadikan rumah tangga kita sebagai wadah ibadah.

Hakikatnya, isteri atau suami ialah teman untuk membantu sama-sama menegakkan ketaatan kepada Allah. Firman Allah, mafhumnya: “Hendaklah kamu saling membantu dalam ketakwaan. Jangan kamu saling menolong dalam perkara dosa dan kemaksiatan.” (Surah al-Maidah:2)

Niat bernikah kerana Allah ialah soal asas dan teras dalam menentukan kestabilan dan kebahagiaan sebuah rumahtangga. Allah akan memberi ketenangan, kasih sayang dan kemesraan kepada suami-isteri dan zuriat mereka nanti sekiranya perkahwinan itu diniatkan keranaNya. Sekiranya niat berkahwin itu hanya semata-mata untuk mendapat zuriat, teman hidup, memenuh ituntutan biologi semata-mata, apa bezanya dengan niat berkahwin orang bukan Islam?

Niat yang baik mesti diiringi oleh pelaksanaan yang baik juga. Maksudnya, bagaimanakah kita mengatur perjalanan sebuah rumah tangga itu? Apakah semuanya menepati syariat? Dengan kata lain, yang halal atau wajib sama-sama ditegakkan. Yang haram sama-sama ditinggalkan. Yang sunat dilaksanakan sejauh mana yang termampu dan begitu juga yang makruh ditinggalkan sejauh mana yang terdaya.

Semua hukum Allah ini mesti ditegakkan sejak awal perkahwinan, di pertengahan, sampailah ke hujungnya. Jika hukum ini ditegakkan, Allah akan bersama kita. Sebaliknya, apabila dilanggar, maka tidak ada lagi penjagaan Allah terhadap rumahtangga kita.

Tersasar Sejak Awal

Malangnya, realiti masyarakat Islam kini sangat menyedihkan. Hukum Allah telah dilanggar pada mukadimah pernikahan lagi. Dalam majlis perkahwinan, unsur-unsur adat masih dominan mencalarkan syariat. Mana mungkin Allah bersama kita jika hukum-Nya dilanggar secara sedar? Contohnya, majlis akad nikah dan kenduri perkahwinan masa kini sering kali dicemari oleh pendedahan aurat, pergaulan bebas, pembaziran, hiburan melalaikan, kemegahan dan lain-lain.

Bergembira tidak salah,tetapi biarlah mengikut syariat. Berpakaian cantik dan indah adalah fitrah, tetapi jangan sampai mendedahkan aurat. Menjamu makan-minum adalah digalakkan dalam Islam, tetapi elakkan pembaziran dan membeza-bezakan antara tetamu yang datang. Yang tinggi pangkat dan darjat makanannya lain, yang marhaen pula makanannya lain. Itu dilarang dalam Islam. Begitu juga dengan hiburan, pilihlah cara berhibur yang menepati syariat. Insya-Allah, hati akan terhibur di samping pahala pun dapat.

Belanja perkahwinan janganlah keterlaluan. Tidak mengapa untuk meraikan saudara dan teman-teman tetapi jangan sampai “meraikan” syaitan. Syaitan akan membisikkan kedalam hati untuk kita membazir. Sekalipun orang yang benar-benar kaya, pembaziran perlu dijauhkan.

Pada yang kaya, sedarlah bahawa harta kekayaan itu amanah Allah. Jangan kita berani berkata: “Duit aku, aku punya sukalah.” Pada yang miskin ingatlah, berlagak kaya akan menyebabkan kita papa. Sikap ingin menunjuk nunjuk,bermegah-megah mendorong sebahagian anggota masyarakat untuk bergolok-gadai dan berhutang semata-mata untuk mengadakan kenduri kahwin secara mega. Mana ada keberkatannya jika perkahwinan sudah dicemari oleh unsur-unsur haram dan makruh sejak awal-awal lagi? Jadi, tidak hairanlah jika berlaku sesuatu yang tidak diingini...penceraian. Hutang majlis walimah belum pun selesai, suami isteri sudah bercerai!

hutang 1024x768

Kembali ke Pangkal Jalan

Syariat bukan menyekat tetapi membebaskan. Membebaskan manusia daripada keluh kesah,dukacita dan ketakutan yang menjadi resam dalam hidup. Hanya hati orang beriman itu akan aman dan mampu memberi keamanan. Allah lebih tahu apa yang baik untuk manusia berbanding manusia itu sendiri. Marilah kita sama-sama menginsafi bahawa bebas syariat ertinya dibelenggu oleh hawa nafsu. Dan hawa nafsu akan sentiasa mengajak kepada kejahatan jika tidak dididik dan dibimbing oleh iman.

Adat itu selagi tidak menyalahi syariat, boleh diteruskan. Namun sekiranya sudah bertentangan, tinggalkanlah. Walaupun sudah beratus tahun berlangsungnya adat, haram tetap haram. Begitu juga dengan budaya baru (Barat), haram tetap haram walaupun dikatakan itu ialah inovasi dan kreativiti terkini. Bukan soal baru atau lama. Soalnya, Allah reda atau tidak. Ya, untuk keberkatan sebuah perkahwinan agar terus bercinta sampai ke syurga, niatkanlah perkahwinan kerana Allah, atas dasar iman. Dan tempuhilah kembara rumah tangga itu berpandukan syariat. InsyaAllah, akan berbuahlah akhlak –ma waddah wa rahmah!

 

 

Pahrol Mohamad Juoi

Sumber artikel daripada Majalah Al-Ustaz Isu 08

 


 

Pahrol Mohd Juoi

Seorang penulis buku, kolumnis majalah, pencipta lirik dan skrip, serta pengacara tv dan jurulatih berkelulusan UiTM, Shah Alam. Beliau berpengalaman mengendalikan program latihan dan motivasi untuk lebih 50 badan kerajaan dan swasta. Kini beliau sebagai Pengurus Besar dan Pengarah Penyelidikan di Fitrah Perkasa Sdn. Bhd. Bukunya Tentang Cinta mendapat sambutan yang baik di  kalangan remaja terutamanya pelajar pusat pengajian tinggi.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

  tbbk1289

GB0213  TBBK1267

 

 

Kembali ke atas