TAK SABAR NAK SABAR?
- Ditulis oleh Zarita Hj Kasim
- Kategori Ibadah
- Read 5554 times
“Sabar…” ungkapan yang sering kita luahkan kepada diri sendiri mahupun orang lain yang sedang mengalami tekanan atau kesusahan. Namun adakah untuk menyabarkan diri sendiri adalah lebih mudah daripada menyabarkan orang lain atau sebaliknya?
Peribahasa Cina mengatakan: “Jika anda bersabar ketika marah di satu saat, anda dapat mengelak daripada berduka seratus hari.”
Kesabaran kita teruji setiap masa sepanjang kehidupan. Dari awal pagi contohnya, kita diuji dengan bangun dari tidur yang lena untuk menunaikan solat subuh. Bersiap dan bergegas ke sekolah atau ke tempat kerja. Terpaksa menghadapi kesesakan lalu lintas atau bersesak-sesak di dalam bas, LRT, komuter dan sebagainya.
Di sini sahaja kesabaran kita mudah tercalar dengan melanggar undang-undang lalu lintas atau berebut-rebut menaiki kenderaan awam untuk mendapatkan tempat duduk. Pelbagai bahasa tubuh yang dipaparkan di sekeliling kita yang menunjukkan kegelisahan ketika kesesakan lalu lintas atau sedang menunggu pengangkutan awam.
Andai tiada KESABARAN
Pernah terjadi beberapa kali ketika saya sedang menunggu sebuah kereta untuk keluar dari kotak tempat letak kereta, namun tempat berkenaan akhirnya disambar oleh sebuah kereta lain yang baru datang dari arah bertentangan! Sungguh tidak bertimbang rasa! saya hanya mampu menggelengkan kepala dan dapat saya rasakan yang darah saya sudah mula meluap-luap.
Namun, teringat dalam satu riwayat al-Bukhari:
Abu Hurairah meriwayatkan bahawa seorang lelaki berkata kepada Rasulullah s.a.w.: “Berilah aku nasihat.” Rasulullah s.a.w. menjawab: “Jangan marah.” Lelaki itu mengulangi permintaannya beberapa kali, dan Rasulullah s.a.w. berkata, “Jangan marah.”
Banyak lagi insiden-insiden kecil yang boleh kita jadikan pengajaran untuk bersabar seperti ketika menunggu lif, menunggu giliran menggunakan tandas awam, menunggu giliran mengambil makanan dan segala aktiviti yang menuntut kita ‘menunggu’. Kata orang, “Waiting is suffering.”
Fahamilah firman Allah s.w.t. dalam surah Ali imran ayat 134 yang bermaksud: “Dan orang-orang yang menahan kemarahannya dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang lain dan (ingatlah), Allah mengasihi orang-orang yang berbuat perkara-perkara yang baik.”
Andai tiada KEMAAFAN
Menahan kemarahan dan memaafkan kesalahan orang lain adalah antara perkara yang baik dan Allah akan mengasihi orang-orang yang melakukannya. ini adalah dua perkara yang paling sukar untuk dilakukan, namun untuk mendapatkan ganjaran yakni kasih sayang Allah, maka lakukanlah. Bukankah itu yang kita kejar dalam kehidupan selama ini?
Teringat saya akan kisah seorang petani yang juga memelihara beberapa ekor angsa. Tanpa disangka-sangka salah seekor daripada angsanya mampu menghasilkan telur emas. setiap minggu angsa istimewa itu akan mengeluarkan sebiji telur emas. Petani tersebut berasa amat bangga dengan angsanya dan mendapat hasil yang sangat lumayan hasil jualan telur emas angsanya itu.
Suatu hari, si petani merasa sangat lambat untuk menunggu telur emas angsanya kerana permintaan yang tinggi. Dia terpaksa menunggu mendapatkan telur berikutnya. Lantas dengan berfikiran singkat dan ketidaksabaran itu tadi, beliau pun terus mendapatkan angsa tersebut dan menyembelih angsa itu dengan tujuan untuk mengeluarkan telur emas daripada perut angsa itu. Fikirnya,pasti ada banyak lagi telur emas yang tersimpan di dalam perut angsa tersebut dan boleh dikeluarkan dengan lebih cepat tanpa menunggu selama tujuh hari. Akhirnya terkulailah angsa yang dibanggakan sebelum ini dan lebih malang lagi tiada satu pun telur emas di dalam perut angsa tersebut seperti yang diimpikan.
Jadi, bertenang dan bersabarlah. Kekang dan kawallah kemarahan kita. Jika kita Berjaya mengawalnya, insya-Allah, ada ganjaran yang Allah hadiahkan kepada kita.
Zarita Hj Kasim
Sumber artikel daripada Majalah Gen Q Isu 05
Zarita Hj Kasim
Merupakan kolumnis di Telaga Biru untuk majalah Gen-Q serta Fellow PPLI di Institute of Islamic Understanding Malaysia (IKIM). Pernah memegang jawatan sebagai pensyarah separuh masa (Media Elektronik) di IIUM serta produser dan DJ di IKIM fm.