Menu

 

A+ A A-

5 SEBAB KENAPA BERSOLAT

AMALAN beribadat sepanjang bulan Ramadan lalu khususnya berkaitan solat mesti dihayati dan dilakukan secara istiqamah (konsisten) termasuk di luar bulan Ramadan. Kita tidak mahu menjadi orang yang hanya bersolat dalam bulan Ramadan sahaja, akan tetapi di luar bulan Ramadan, air basuhan wuduk langsung tidak singgah pada anggota badan. Teramatlah rugi jika kita memilih jalan tersebut iaitu bersolat hanya sebulan dalam setahun!

Seperti yang kita maklumi, Rasulullah s.a.w. mengarahkan ibu bapa untuk mendidik anak-anak bersolat apabila umur anak-anak berusia 7 tahun dan apabila umur anak-anak memasuki 10 tahun, Rasulullah mengarahkan ibu bapa untuk memukul anak- anak mereka yang tidak bersolat dengan tujuan untuk mendidik. Sehinggakan Rasulullah mengajar ibu bapa untuk membaca doa agar anak-anak sentiasa tetap dengan solat seperti yang termaktub dalam surah Ibrahim ayat 40 yang bermaksud: “Wahai Tuhanku, jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang, dan zuriat keturunanku.

Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doaku.” Dalam surah Taha ayat 132 pula, Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud: “Dan perintahkanlah keluargamu serta umatmu mengerjakan sembahyang, dan hendaklah engkau tekun bersabar menunaikannya. Kami tidak meminta rezeki kepadamu, (bahkan) Kamilah yang memberi rezeki kepadamu, dan (ingatlah!) kesudahan yang baik adalah bagi orang yang bertakwa." Sesungguhnya ibadah solat yang dilaksanakan dengan penuh tekun, mematuhi undang-undang solat serta khusyuk berperanan besar dalam pembentukan jati diri seseorang individu Muslim.

Antara peranan tersebut adalah seperti berikut:

1.      Solat menjadi bukti pengabdian diri kepada Allah s.w.t

-     Solat adalah bukti pengabdian diri seorang hamba kepada Allah s.w.t. Ia juga tanda seseorang hamba itu beriman kepada Allah s.w.t. Firman Allah dalam surah al-Zumar ayat 11 yang bermaksud: “Katakanlah lagi (wahai Muhammad), Sesungguhnya aku diperintahkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan segala ibadat kepada-Nya.”

2.      Solat menjadi sumber ketenangan dalam diri

-     Ibadah solat mampu menjana perasaan tenang dalam diri. Apabila kita bersolat, seluruh jiwa kita serahkan kepada Allah s.w.t. Ini dinyatakan dalam surah al-Ra’d ayat 28 yang bermaksud: “(Iaitu) orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan zikrullah. Ketahuilah! dengan zikrullah itu, tenang tenteramlah hati manusia.”

3.      Solat menjadi benteng diri daripada perkara yang mungkar

-   Solat yang sempurna daripada aspek hokum-hakamnya berserta dengan kualiti khusyuk, mampu menjadi perisai kepada perkara-perkara keji dan mungkar. Allah berfirman dalam surah al-Ankabut ayat 45 yang bermaksud: “Sesungguhnya sembahyang itu mencegah daripada perbuatan yang keji dan mungkar, dan sesungguhnya mengingati Allah adalah lebih besar (faedahnya dan kesannya), dan (ingatlah) Allah mengetahui akan apa-apa yang kamu kerjakan."

4.     Solat adalah ciri orang yang Berjaya

-    Adalah perkara utama yang akan dinilai oleh Allah s.w.t. Pada penilaian Allah, orang yang melaksanakan ibadah solat dengan khusyuk ialah orang yang berjaya di sisi-Nya. Firman Allah s.w.t. dalam surah al-Mu’minun ayat 1 dan 2 yang bermaksud: “Sesungguhnya berjayalah orang beriman. (Iaitu) mereka yang khusyuk dalam sembahyangnya."

5.      Solat adalah tanda syukur

-      Ibadah solat pasti menjadi cermin kepada orang yang mensyukuri nikmat Allah. Sebagai tanda mereka bersyukur kepada Allah, orang yang beriman pasti akan menunaikan solat dengan penuh khusyuk. Firman Allah s.w.t. dalam surah al-Kawthar, ayat 1-3 yang bermaksud: “Sesungguhnya kami telah mengurniakan kepadamu (wahai Muhammad Kebaikan-kebaikan yang banyak (di dunia dan akhirat). Oleh itu, kerjakanlah sembahyang kerana Tuhanmu semata-mata, dan sembelihlah korban (sebagai bersyukur). Sesungguhnya orang yang bencikan Engkau, dialah yang terputus (daripada mendapat sebarang perkara yang diingininya)." Oleh yang demikian, marilah kita sebagai tunas-tunas Islam, terus menjadi orang yang memakmurkan masjid dan surau dengan ibadah solat dan lain-lain program ibadah. Alangkah ruginya umat Islam jika hanya menjadi penghuni rumah Allah pada sebulan bulan Ramadan semata- mata. Jangan biarkan masjid dan surau kita kosong serta sunyi. Kalau bukan kita selaku umat Islam yang mengimarahkan masjid dan surau, nak harapkan siapa lagi? Tepuk dada, tanyalah iman!

 

 

Ustaz Mohamad Zarifi Haji Mohamad Daud

Sumber artikel daripada Majalah Gen Q Isu 3

 


 

Ustaz Mohamad Zarifi Hj. Mohamad Daud

Lahir di Kelantan pada 31 Ogos 1982. Beliau berkelulusan Ijazah Sarjana Muda (Fiqh dan Usul Fiqh) dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia pada tahun 2006. Mendapat Sijil Pengurusan Fatwa dan Dakwah, al-Azhar al-Syarif, Kaherah Mesir pada tahun 2010 dari kursus tajaan JPA dan JAKIM. Beliau menyambung pengajian di peringkat Sarjana (Fiqh dan Usul Fiqh) secara disertasi penuh dengan tajuk kajian ‘Judi Dalam Peraduan”. Menyertai JAKIM bermula pada 2 Oktober 2006. Beliau juga banyak menulis dan membentangkan kertas kerja dalam seminar, simposium, dan bengkel di peringkat kebangsaan.

Terkini daripada Ustaz Mohamad Zarifi Hj. Mohamad Daud

Kembali ke atas