Menu

 

A+ A A-

KUNCI KETAHANAN JIWA

Sebagai seorang pelajar anda sentiasa berhadapan dengan pelbagai kesusahan dan rintangan dalam menuntut ilmu. Anda harus tabah menghadapi rintangan ini jika mahu berjaya. Hati anda harus sekental besi waja. Perumpamaan Melayu ada mengatakan:

 

  • Alang-alang menyeluk pekasam, biar sampai ke pangkal lengan.
  • Alang-alang mandi biar basah.
  • Kalau tidak dipecahkan ruyung,

manakan dapat sagunya.

Sementara pantun Melayu pula mengatakan:

Berakit-rakit ke hulu,

Berenang-renang ke tepian;

Bersakit-sakit dahulu,

Bersenang-senang kemudian.

Ini menunjukkan bahawa kesusahan dan kepayahan adalah asam garam kehidupan seorang pelajar. Anda tidak dapat lari daripadanya. Untuk mempunyai ketahanan jiwa yang kuat dalam berhadapan dengan kesusahan dan kepayahan ini paling tidak anda perlu memiliki tiga sifat asas:

POTENSI - KUNCI KETAHANAN JIWA Hj Muhammad Zakaria - SOLUSI 6

SABAR

Pelajar hendaklah bersabar dalam menghadapi kesusahan belajar seperti banyaknya kerja rumah, kesibukan program sekolah, lamanya masa belajar, banyaknya ilmu yang perlu dihafal, tekanan peperiksaan yang bakal mendatang dan terpaksa pula memerah otak untuk berfikir dan bertindak.

Antara situasi di mana seorang pelajar harus bersabar ialah:

  • Dalam menghadapi kerenah kawan-kawan.
  • Kekurangan belanja atau kewangan kerana kesempitan keluarga.
  • Berjauhan daripada keluarga.
  • Keletihan fi zikal saban hari.
  • Kongkongan disiplin dan undangundang sekolah.
  • Kesusahan yang berpunca daripada alam sekitar seperti kedaifan keadaan di asrama, kesusahan perjalanan pergi dan balik dari sekolah seperti hujan lebat, panas terik, banjir dan sebagainya.

Bagaimana Menghayati Sifat Sabar?

Sifat sabar tidak datang secara semula jadi ke dalam diri seseorang. Ia harus dilatih dan dibiasakan. Antara kaedahnya ialah:

  • Baca sejarah pemimpin terkemuka di dunia.
  • Tolong adik-adik menyempurnakan kerja sekolah.
  • Libatkan diri dengan kerja kemasyarakatan.
  • Berlatih pengucapan awam (public speaking atau khitabah).
  • Bela haiwan peliharaan di rumah dengan cermat dan kasih sayang.
  • Libatkan diri dengan aktiviti gotongroyong dalam masyarakat.
  • Biasakan diri untuk lebih banyak mendengar daripada banyak bercakap.

POTENSI - KUNCI KETAHANAN JIWA Hj Muhammad Zakaria - SOLUSI 6 2

PEMURAH

Sifat kedua yang harus ditanam dalam diri seorang pelajar adalah pemurah. Pemurah bukanlah bermakna setiap pelajar mesti menderma atau bersedekah kepada orang miskin. Bagaimana kalau mereka sendiri tidak mempunyai wang?

Maksud pemurah ialah pelajar hendaklah mendidik diri supaya tidak terlalu berkira, tidak mementingkan diri sendiri, tidak kedekut dan memahami makna pemurah yang lebih luas.

Pelajar hendaklah melatih diri supaya bersifat pemurah seperti memberi bantuan kewangan dan bantuan tenaga kepada kawan-kawan yang susah serta pemurah pula dalam berkongsi ilmu dan menunjuk ajar orang lain ketika melaksanakan gerak kerja kumpulan.

Antara situasi yang memerlukan pelajar bersifat pemurah ialah:

  • Meluangkan masa untuk membantu ibu bapa dengan kerja-kerja di rumah.
  • Membahagikan masa untuk adik-beradik, jiran tetangga dan sahabat handai.
  • Menjamu makanan dan minuman kepada kawan-kawan jika ada kelebihan.
  • Meringankan tulang.
  • Membantu menggunakan tenaga dan buah fikiran.
  • Meminjamkan buku atau peralatan sekolah kepada kawan-kawan yang memerlukan.
  • Memberi kemudahan harta benda kepada orang yang memerlukan.
  • Pemurah dengan senyuman. Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Senyum itu sedekah.”

Anak-anak hendaklah dididik dengan sifat pemurah sejak kecil. Dalam hal ini ibu bapa hendaklah menunjukkan contoh yang terbaik secara praktik. Anak-anak mudah meniru tabiat ibu bapa daripada menghayati leteran mereka.

Bagaimana Mendidik Sifat Pemurah?

  • Bersedekah secara istiqamah walaupun 10 sen.
  • Selalu sedekahkan al-Fatihah kepada orang yang telah meninggal dunia terlebih dahulu.
  • Turut serta dalam solat Jenazah apabila ada peluang.
  • Suka belanja kawan makan.
  • Hadiahkan kawan peralatan tulis jika ada berlebihan.
  • Bergiatlah dalam aktiviti “Bimbingan Rakan Sebaya.”
  • Selalu mengikuti aktiviti misi kemanusiaan seperti menziarahi perkampungan orang miskin, kawasan bencana alam dan sebagainya.
  • Beri sumbangan kepada peminta sedekah walau dalam apa jua keadaan pun. Jangan persoalkan apa yang peminta sedekah itu akan buat dengan wang yang disedekahkan.

TIDAK PUTUS ASA

Sifat yang ketiga adalah tidak berputus asa. Berputus asa merupakan penyakit terbesar seorang pelajar. Seharusnya sebagai seorang pelajar kita jangan putus asa dalam apa keadaan sekalipun. Pakar motivasi sering berkata:

“Seseorang itu belum gagal selagi dia masih mencuba.”

“Anda hanya akan gagal apabila anda berhenti mencuba.”

Sifat berputus asa sering dikaitkan dengan tindakan orang yang tidak beriman kerana tidak menilai kuasa Tuhan yang menjadikan alam ini serta makhluk yang menghuninya. Ini kerana orang yang berputus asa sering melakukan tindakan yang di luar batas pemikiran akal manusia biasa seperti membunuh diri, mengamuk atau membunuh orang lain.

Kesedaran harus ditanamkan dalam diri semua pelajar agar tidak mudah berputus asa. Antaranya ialah:

  • Tidak putus asa atas kesusahan yang menimpa diri kita dan keluarga.
  • Ingatlah bahawa ada orang yang lebih susah daripada kita.
  • Kepayahan dan kesusahan tidak akan berpanjangan atau berterusan. Ia akan berakhir.
  • Kematian atau kesakitan adalah lumrah alam (sunnatullah). Jangan dikesali.
  • Kita hendaklah bekerja dengan lebih gigih untuk melupakan putus asa.
  • Faham bahawa kegagalan sering bertandang.
  • Jangan putus harapan kepada Tuhan. Tuhan tidak pernah menganiaya makhluk-Nya.
  • Carilah tenaga dalaman yang kuat.
  • Lihatlah bahawa ramai orang yang berjaya pada hari ini ialah orang yang pernah gagal pada suatu masa dahulu.

Bagaimana mengelakkan diri daripada berputus asa?

Berputus asa itu letaknya di hati. Ia satu perasaan atau tekanan yang boleh dikawal. Cuba anda tonton sebuah filem box office Barat. Rasai bagaimana heronya hampir sahaja tewas atau terbunuh, namun dia tetap tidak menyerah walaupun terpaksa bergantung nyawa pada seutas tali! Dan akhirnya dia berjaya mencapai misinya. Jadikan kekentalan jiwa si hero (walaupun ia sekadar sebuah filem cereka) untuk menangani sikap berputus asa dalam hidup anda. Antara kaedah bagi mengelakkan diri daripada berputus asa ialah:

  • Kekalkan solat pada awal waktu.
  • Berguru dengan guru yang alim.
  • Ramailah berkawan dengan orang yang baik-baik. Tambah kawan baru setiap hari.
  • SMS dan berhubung dengan kawan-kawan apabila berasa tertekan.
  • Mengadu kepada kaunselor.
  • Minta pandangan orang lain apabila anda buntu.
  • Tegur jiran di sebelah rumah anda setiap hari.
  • Elak berseorangan.
  • Apabila ditimpa musibah, jangan menangis, sebaliknya menjeritlah dengan kuat sambil menggenggam kedua-dua belah tangan dengan kuat dan mantap.

Seorang pelajar ibarat seorang musafi r yang berada dalam suatu perjalanan yang jauh. Kejayaan kita adalah untuk menamatkan perjalanan dan meraih kecemerlangan. Kesusahan tidak akan berpanjangan. Apabila anda menamatkan pengajian dengan berbekalkan segulung ijazah, pahit getir alam pelajar akan berakhir. Namun selagi anda bernama pelajar, tugas anda tetap untuk belajar.

Hj Muhammad Zakaria

Sumber artikel daripada majalah Solusi 6


 

Haji Muhammad Zakaria

Lulusan University of Tasmania dan University of Newcastle, Australia, berpengalaman sebagai pendidik, pensyarah, CEO kolej swasta, master trainer, kolumnis, penulis, editor dan usahawan. Beliau kini menjawat sebagai Pengerusi Yayasan Antarabangsa Sri al-Ain-Aceh, Presiden Persatuan Belia Sri al-Ain (BERSAMA), Timbalan Presiden Persatuan Usahawan dan Pengurusan Islam Malaysia (URUS) dan Mudir Tahfiz Sri al-Ain. Sering muncul di kaca tv sebagai perunding motivasi, antaranya TV3, RTM1 dan juga Radio Ikim.fm. Beliau juga sering ke luar negara mengetuai misi kemanusiaan, antaranya ke Aceh, Jakarta, Kemboja dan juga masyarakat orang asli.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

  

 

Kembali ke atas