Menu

 

A+ A A-

MANFAATKAN WAKTU DUHA

“AKU berjaga sampai lewat malam untuk mengulang kaji dan menghafal pelajaran. Namun, tiada perubahan yang maksimum untuk usaha aku ini. Adakah ada waktu yang lebih berkat untuk aku lakukan semua ini?”

Usaha dan ikhtiar menjadi teman sejati bagi seorang penuntut ilmu yang inginkan kejayaan. Pelbagai cara dilaksanakan untuk merealisasikan matlamat tersebut. Namun, kadangkala berlaku situasi di luar jangkaan. Timbul persoalan di atas buat diri yang merasakan sudah berusaha sehabis mungkin. Orang yang tidak berputus asa akan berusaha mencari jalan lain yang benar untuk mencapai sesuatu yang lebih baik.

Keberkatan Pagi

Jangan biasakan bangun pagi hanya pada waktu persekolahan, namun lazimkan diri untuk sentiasa bangun pada awal pagi biarpun berada pada musim cuti. Amat sedih jika seseorang melakukan sesuatu kerana menuruti perintah manusia semata-mata dan mensia-siakan manfaat yang diperoleh daripadanya. Begitu juga halnya dengan menuruti arahan jadual pelajaran yang menuntut untuk setiap pelajar berada pada awal pagi.

Waktu yang paling besar keberkatannya adalah pada waktu pagi. Nah, pada waktu inilah semua aktiviti yang berkaitan dengan pelajaran boleh dilakukan! Jika hari biasa terikat dengan jadual persekolahan dan kuliah, manfaatkan masa cuti dengan mengulang kaji, menghafal, menulis dan berdiskusi dengan rakan-rakan.

Rasulullah s.a.w. berdoa untuk umatnya yang bermaksud: “Ya Allah, berkati umatku pada waktu paginya.” (Riwayat al-Tirmizi) Jadi, apa yang perlu dipersoalkan lagi? Buktikan kasih sayang kita kepada Rasulullah s.a.w. sebagai umat Baginda dengan meraih keberkatan yang ada pada waktu pagi.

Demi Waktu Duha

Allah bersumpah di permulaan surah al-Duha dengan waktu duha. Sumpah Allah pada surah ini bukan suatu mainan, bahkan ada sesuatu yang besar ingin ditunjukkan oleh Allah kepada hamba-Nya yang berfikir. Surah al-Duha yang mengandungi 11 ayat ini bukti bahawa Allahs.w.t. tidak putus-putus membimbing dan memelihara Nabi Muhammad s.a.w. Lalu, Allah memerintahkan Baginda untuk sentiasa mensyukuri setiap kurniaan-Nya.

Apabila diri buntu mencari kaedah lain untuk menyelesaikan permasalahan yang timbul, Islam menunjukkan jalan keluarnya dengan mengerjakan solat duha. Roh solat duha yang dilaksanakan pada waktu duha dapat menjernihkan fikiran daripada segala kekusutan dan stres. Solat dua rakaat yang ditunaikan pada waktu duha ini bukan untuk mengganggu dan membantutkan urusan seseorang, bahkan ia merupakan satu rahsia besar untuk mendapat rezeki daripada Allah.

Rezeki tersebut bukan hanya pada makanan, minuman atau wang ringgit sahaja, bahkan Allah Yang Maha Pemurah bersedia memberi rezeki berupa dipermudahkan untuk memahami pelajaran, memperoleh idea yang bernas untuk menulis dan menyiapkan tugasan, ketajaman fikiran untuk menghafal pada waktu pagi, mencapai kejayaan dan banyak lagi rezeki yang tidak mampu dihitung.

Jangan Khianati Waktu Duha

Akibat tidak menuruti ‘sunnatullah’ dengan tidak tidur pada waktu malam dan berjaga sampai ke subuh, seseorang itu telah mengkhianati waktu paginya sendiri. Benar, dia mampu untuk menunaikan solat Subuh pada awal waktu kerana berjaga dari malam sehingga pagi, tetapi amanah untuk memanfaatkan waktu pagi dan duha itu tidak dilaksanakan dengan baik.

Kesan khianat atas perbuatannya sendiri, dia akan tertidur di dalam kelas dan tidak dapat menumpukan perhatian yang sepenuhnya terhadap perkara yang berlaku pada waktu siang. Bukankah masa yang Allah berikan kepada kita semua sebagai satu amanah? Apabila berlaku zalim terhadap amanah tersebut, kita dikira telah mengkhianatinya. Seorang yang bijak memanfaatkan waktu belajarnya sentiasa mencari waktu yang paling diberkati oleh Allah untuk dia mengulang kaji dan membaca. Peluang tersebut diisi sebaik mungkin kerana dia tahu, pada waktu itulah dia diberikan rezeki yang berharga.

Biarpun kejayaan tersebut tidak mencapai gred atau pangkat yang tertinggi di mata manusia, ketahuilah bahawa Allah s.w.t. menilai usaha dan jalan seseorang untuk mencari ilmu. Ikhlas kerana Allah merupakan nilaian yang tidak dapat dipandang oleh mata kasar guru, pensyarah dan kawan-kawan. Ia terlalu subjektif untuk diberi penilaian oleh manusia. Ikhlas membawa seseorang untuk terus-menerus menimba pelbagai ilmu, sentiasa berada di jalan yang diberkati Allah dan berusaha untuk menjauhi diri daripada perkara-perkara yang ditegah oleh Allah.

Khadijah Khalilah Abdul Rashid

Sumber artikel daripada QEN-Q 10

 


 

Khadijah Khalilah Abdul Rashid

Khadijah Khalilah Abdul Rashid dilahirkan pada 20 Mei 1987 di Serdang, Selangor. Kini menetap di Sepang, Selangor. Mendapat pendidikan di Sekolah Islam al-Amin Bangi, Sekolah Agama Menengah Hulu Langat, Sekolah Agama Menengah Bestari Subang Jaya, Universiti Mohammed V, Rabat Maghribi, Institut Terjemahan Negara Malaysia Berhad dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

Kembali ke atas