Menu

 

A+ A A-

SALAHKAH KAMI BERKAWAN

CIKGU, saya sering dimarahi ayah dan ibu kerana saya berkawan dengan mereka yang dipandang serong dalam masyarakat. Kebanyakan kawan-kawan saya ialah mat rempit dan kutu rayau. Bagi saya, tak kisahlah dengan sesiapa pun saya berkawan, asalkan saya tahu bawa diri. Betul tak Cikgu? - Naufal, Ulu Langat

JAWAPAN:

Dalam situasi ini, betul pun ya, salah pun ya. Mengapa? Cikgu akan jelaskan sebentar lagi. Sebelum itu, terima kasih kerana membaca ruangan Cikgu ini dan tahniah kerana anda pembaca majalah ‘Gen-Q’. Bukan senang tau, nak jadikan ‘Gen-Q’ sebagai sahabat. Majalah hiburan dan majalah lucah senang nak dijadikan sahabat. Majalah yang lalai dan bawa kita terawang-awang memang menjadi pilihan generasi Y untuk dijadikan sahabat. Senang cerita, macam inilah Naufal.

Cuba tengok semula majalah-majalah yang Cikgu sebut di atas tadi. Naufal sebagai pembaca ‘Gen-Q’, mungkin Naufal akan pandang mereka sambil berkata, “Huh! Apalah mereka ni. Baca majalah yang bukan-bukan.” Betul tak? Tetapi orang yang membaca majalah seperti itu tidak berpandangan begitu. Malah, mereka langsung tak sedar dan perasan kesalahan mereka.

Naufal, cuba tanya pada kawan-kawan Naufal yang suka membaca majalah hiburan, lucah atau yang bukan-bukan, adakah mereka mahu jadi seperti kisah-kisah yang dibaca? Fitnah di sana sini, cerai, gaduh, perangai tidak senonoh dan lain-lain yang negatif. Cikgu berani jamin, semua pembaca itu akan berkata, “Kami baca saja, bukan nak jadi macam itu.” Adakah betul apa yang mereka katakan itu? Adakah sikap dan perwatakan kita langsung tidak terikut dengan bahan bacaan kita? Sebenarnya, sikap dan pemikiran kita amat bergantung pada bahan bacaan yang dibaca. Itulah fenomena yang berlaku pada Naufal. Dalam berkawan, kita mesti bijak memilih. Boleh bercampur gaul dengan semua orang, jangan jadi sombong pula.

Tetapi, walaupun kita baik, ahli surau sekalipun, jangan pandang hina dan langsung tidak bertegur sapa dengan orang yang tidak ke surau. Lebih teruk daripada itu, kita kutuk pula orang yang tidak ke surau. Tidak betul begitu. sebaik-baiknya kita perlu bergaul dengan mereka. Maksud cikgu, sekadar bergaul tetapi bukan berkawan. Ada beza ya. Dalam masa yang sama, cuba ajak mereka mengikut kita ke surau ataupun buat perkara baik yang lain berbanding merempit dan melepak membuang masa.

Jangan masuk dalam kumpulan mereka untuk kita tarik mereka mengikut kita, silap-silap kita yang terikut dengan sikap negatif mereka. Cuba kita perhatikan, kalau kita letak segelas air panas yang menggelegak ke dalam besen yang penuh dengan air sejuk, air panas itu akan bertukar menjadi sejuk.

salahkah-kami-berkawan-1

Rasulullah s.a.w. pernah menyebut perumpamaan dalam bersahabat, “Jika kita berkawan dengan penjual minyak wangi, baju kita akan turut berbau wangi. Sebaliknya, jika kita berkawan dengan tukang besi, baju kita akan terbakar ataupun paling tidak, kita akan terkena bau besi tersebut. Maka, jelaslah siapa dan bagaimana seseorang itu, bergantung pada siapa dan bagaimana kawannya. Di sini, Cikgu kongsikan sedikit tip untuk memilih dan mengklasifikasikan kawan supaya kita tidak dianggap sombong dan berkawan dengan penuh hikmah:

1- Kenalan:

Golongan yang kita sekadar kenal dan bertegur sapa sahaja. Paling tidak pun, hanya minum di kedai mamak sekali sekala. Ramaikan golongan ini di sekitar anda.

2- Kawan:

Golongan ini agak rapat dengan kita. Kita biasa menghabiskan masa bersama. Hadkan golongan ini kerana kita perlu bijak memilih yang sesuai dan tidak membawa kita ke arah yang lebih teruk.

3- Sahabat:

Golongan ini paling rapat dan tahu segalanya mengenai kita. Kadang-kadang kita bawa dia ke rumah dan menganggap seperti sebuah keluarga. ini yang paling sedikit dan pastikan telah ditapis sebaik mungkin dan melepasi kedua-dua golongan di atas. Kalau kita bijak memilih kawan sebegini, insya-Allah selamat. Buat ya, jangan tak buat!

Cikgu Yaser Mohd Akhir
Sumber artikel daripada majalah Gen-Q isu No. 8


Yaser Mohd Akhir

Motivator Telaga Biru Training & Consultancy

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

 

Kembali ke atas