Menu

 

A+ A A-

MAKKAH DICEROBOH, KAABAH DIROBOH

TANDA KIAMAT

Saya pernah membaca sebuah poster tanda-tanda kiamat. Saya tertarik dengan tanda yang disebutkan iaitu: “Tanah haram Makkah akan menjadi tanah halal dan Kaabah akan dimusnahkan.” Mohon ustaz ulas hal ini.

Jawapan :

Kejadian tersebut benar-benar akan berlaku apabila tiba masa menjelangnya kiamat nanti. Rasulullah s.a.w. pernah bersabda yang bermaksud: “Seseorang akan di bai’ah (diangkat sumpah menjadi pemimpin) antara Rukun Yamani dan Maqam Ibrahim , tidak ada yang menghalalkan Baitulharam (Kaabah) ini kecuali ahlinya (orang Islam sendiri). Apabila mereka menghalalkannya, maka usah ditanya tentang kehancuran orang Arab.

Kemudian akan datang orang Habsyah. Mereka akan menghancurkan Kaabah sehancur-hancurnya. Maka Kaabah tidak akan dimakmurkan lagi selepas peristiwa itu buat selama-lamanya. Merekalah yang mengeluarkan simpanannya.” (Riwayat Ahmad) Dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari, Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Seakan-akan aku melihat mereka itu (orang yang merobohkannya) berkulit hitam, kedua-dua kakinya bengkok (kedua paha yang saling berjauhan) dan mereka meruntuhkan batunya (Kaabah) satu persatu.”

ISLAM HANYA TINGGAL NAMA

Bagaimana orang Islam pada ketika itu?

Jawapan:

Imam Ibn Hajar menyatakan bahawa apabila peristiwa itu berlaku tidak ada lagi seorang pun penduduk bumi ini yang menyebut nama Allah. Dalam hadis lain Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Tidak akan berlaku kiamat hinggalah tiada seorang pun di bumi ini yang menyebut: ‘Allah, Allah’.”

PENGKHIANAT AGAMA SENDIRI

Siapakah mereka yang tergamak melakukan perkara yang terkutuk ini?

Jawapan:

Pertama sekali perlu diingatkan bahawa orang yang mengakibatkan pencerobohan Baitullah itu bukannya orang kafir. Sebaliknya ia dilakukan oleh orang Islam sendiri. Inilah yang difahami daripada sabda Baginda “tidak ada yang menghalalkan Baitulharam (Kaabah) ini kecuali ahlinya”. Akibatnya, mereka membuka jalan kepada golongan yang Nabi gelar “zu al-suwaiqatain” yang berasal daripada Habsyah (Ethiopia) untuk menghancurkan Kaabah. Sabda Rasulullah yang bermaksud: “Kaabah akan dihancurkan oleh zu alsuwaiqatain daripada Habsyah.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim) Al-suwaiqatain merupakan kalimah “ tasghir” yang berasal daripada “al-saqain” yang bermaksud betis dan kaki yang kecil. Ini merupakan sifat fizikal bagi kebanyakan orang Sudan. (Fath al-Bari, Ibn Hajar)

ALLAH TIDAK LAGI MEMELIHARA

Bukankah ada ayat al-Quran yang menyatakan bahawa Allah akan memelihara tanah suci? Bahkan sebelum kedatangan Nabi lagi, Allah peliharanya daripada pencerobohan tentera bergajah. Saya melihat seolah-olah ada pertentangan antara hadis tersebut dengan ayat al- Quran.

Jawapan;

Tiada percanggahan sebenarnya. Sememangnya Allah telah memberi jaminan bahawa tanah haram sebagai tanah yang suci dan aman. Firman Allah yang bermaksud: “Dan tidakkah mereka melihat dan memerhatikan bahawa Kami telah menjadikan (Makkah) tanah suci yang dihormati lagi aman.” (Surah al- Ankabut 29: 67) Namun beberapa aspek perlu difahami:

1. Peristiwa ini hanya akan berlaku pada akhir zaman menjelang kiamat. Pada saat itu tiada seorang pun dalam kalangan manusia yang menyebut nama Allah.

2. Selepas peristiwa ini, Masjidilharam dan Kaabah tidak lagi dimakmurkan oleh orang Islam. Mereka hanya Islam pada nama sahaja.

3. Jaminan daripada Allah itu bersyarat. Selagi ia bergelar “tanah haram”, selama itulah ia

akan mendapat jaminan keamanan. Namun jaminan itu akan terbatal apabila tanah tersebut menjadi “tanah halal”.

4. Dalam firman Allah tersebut, Allah sama sekali tidak menunjukkan isyarat bahawa tanah haram ini akan berada dalam keadaan aman untuk selama-lamanya.

SEJARAH PENCEROBOHAN KAABAH

Jadi, tidak dapat dielakkan bahawa akan berlaku kehancuran Kaabah akhirnya. Begitu ustaz?

Jawapan:

Sebenarnya sehingga kini Makkah atau lebih khusus Masjidilharam sudah beberapa kali dicerobohi. Tragedi yang paling dahsyat ialah serangan yang dilakukan oleh Syiah Qaramitah pada abad ke-4 Hijrah. Kelompok Syiah berfahaman batiniah yang sesat ini berasal dari Kufah. Pada tahun 317 Hijrah, mereka telah menyerang kaum Muslimin yang sedang mengerjakan ibadah haji. Mereka merampas harta benda, membunuh, menghancurkan kubah air zam-zam, mencabut pintu Kaabah dan kain kiswah yang menutupi Kaabah. Kemuncak kebiadaban mereka ialah apabila mereka melarikan Hajarulaswad ke negeri mereka. Batu tersebut berada dalam tangan mereka selama 22 tahun. Walau bagaimana pun, peristiwa ini tidak sesekali bertentangan dengan firman Allah sebentar tadi. Wallahu a‘lam.

 

 

Mohd Solleh Abd. Razak

Sumber artikel daripada Majalah Al-Ustaz Isu 06

 


 

Ustaz Soleh bin Abd. Razak

Lulusan Diploma Tahfiz al-Quran dan Qiraat, Darul Quran, JAKIM. Menyambung Ijazah Sarjana Muda di Jabatan Pengajian al-Quran dan al-Sunnah, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Kini bertugas sebagai imam masjid dan guru di Sekolah Menengah Tahfiz IQKL. Antara buku yang dihasilkan beliau "Wasiat Sebelum Dirimu Bergelar Ulama" dan "Sehingga al-Quran Terpahat di hati", terbitan Telaga Biru Sdn. Bhd. Lawati: http://www.solleh-alfatimi.blogspot.com

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

wasiat 280 x 393 TBBK1275  TBBK1259

TBBK1283

Kembali ke atas