Menu

 

A+ A A-

ULANGKAJI HUKUM MANDI JUNUB

Dahulu saya jauh dengan agama tetapi kini sudah kembali. Banyak perkara yang perlu saya pelajari semula. Namun saya rasa yang paling utama buat masa ini adalah tentang mandi wajib. Mohon bimbingan ustaz.

JAWAPAN :

Pertama sekali, kita hendaklah memahami beberapa asas iaitu:

1.Menurut syarak, mandi junub ialah perbuatan melalukan air yang suci ke atas seluruh anggota badan dengan cara yang tertentu.

2.Mandi itu wajib disertai dengan niat untuk mengangkat hadas besar. Ini sebagaimana ketetapan dalam mazhab Syafie. Setelah mandi wajib seseorang itu dikira suci pada tubuh badan dan boleh mengerjakan segala ibadah seperti biasa.

3.Allah sendiri mewajibkan mandi junub. Firman Allah mafhumnya: “Dan apabila kamu berjunub, maka bersucilah.”(Surah al-Ma’idah:6)

1UHMJ

Orang yang Wajib Mandi

SOALAN : Apa yang menyebabkan kita wajib mandi junub?

JAWAPAN :

Terdapat beberapa keadaan yang mewajibkan seseorang untuk mandi junub, antaranya:

1.Keluar air mani.

Keadaan ini boleh jadi disebabkan jimak, bermimpi, memikir atau melihat perkara yang menaikkan syahwat atau merangsang diri sehingga keluar air mani sekalipun dengan mayat atau haiwan. Pendek kata, tidak kira apa sahaja sebab yang boleh mengeluarkan air mani , maka wajib mandi.

Dalilnya, seorang sahabat bertanya Rasulullah tentang air mazi. Lalu Baginda menjawab dengan maksudnya: “Wuduk (perlu diambil) apabila keluarnya air mazi, dan mandi itu (wajib) pada air mani.”(Riwayat al-Tirmizi)

2. Berjimak, walaupun tidak mengeluarkan mani.

Kadarnya dikira apabila kepala zakar telah masuk ke dalam kemaluan hadapan atau dubur seseorang samaada lelaki atau perempuan, secara sukarela atau dipaksa, ketika

Tidur atau sedar dan zakar berbalut atau tidak, seperti dengan memakai kondom.

Dalilnya, sabda Baginda yangbermaksud: “Apabila dua kemaluan bertemu (kiasan kepada jimak), maka mandi itu wajib walaupun orang tersebut tidak keluar mani.”(Riwayat Muslim)

3.Haid dan nifas.

Haid ialah darah kotor yang keluar daripada kemaluan perempuan sekurang-kurangnya sehari semalam dan tempoh lama adalah selama 15 hari. Namun tempoh normalnya sekitar enam hingga tujuh hari. Darah nifas pula ialah darah yang keluar selepas bersalin. Dalilnya, sabda Nabi kepada Fatimah binti Abu Hubaisy yang bermaksud: “Apabila haid telah datang, maka tinggalkanlah solat. Apabila ia telah berlalu, maka mandilah dan kerjakanlah solat.” (Riwayat al Bukhari dan Muslim)

4.Kelahiran.

Ulama Syafi‘i mengibaratkannya sebagai air mani yang telah terbentuk lalu menjadi manusia.

5.Mati selain mati syahid.

Seseorang yang mati syahid tidak wajib dimandikan.

Rukun Mandi

SOALAN : Bagaimana saya hendak mengetahui saya telah sempurna mandi wajib?

JAWAPAN :

Apabila cukup rukunnya, sempurnalah perbuatannya. Ada tiga rukun mandi wajib:

1.Niat.

2.Membersihkan anggota badan daripada najis sebelum melaksanakan mandi wajib.

3.Meratakan air ke seluruh badan termasuk ke seluruh kulit dan celahan bulu. Perlu diingatkan untuk tidak menggunakan air secara berlebihan. Seboleh-bolehnya jika telah diyakini bahawa air telah sampai ke seluruh anggota badan walaupun kuantitinya sedikit daripada air mutlak, maka ia sudah mencukupi. Jika tidak, teruskanlah mandi sehingga sempurna.

Langkah Demi Langkah

SOALAN : Bolehkah ustaz berikan panduan cara mandi wajib yang sempurna?

JAWAPAN :

Prinsipnya adalah berdasarkan tiga rukun di atas. Namun Sayidatina Aisyah ada menceritakan cara terperinci mandi wajib Rasulullah. Rumusannya sebagaimana berikut mengikut turutan:

1.Membasuh kedua-dua tapak tangan.

2. Membasuh kemaluan.

3. Berwuduk.

4.Meratakan air ke celah-celah rambut.

5.Menjadikan tiga cedokan air dengan tapak tangan lalu disampaikan ke atas kepala.

6.Meratakan air ke seluruh badan.

7.Membasuh kedua-dua kaki.

Wuduk Tidak Wajib

SOALAN : Bagaimana dengan wuduk? Bukankah kita wajib mengambil wuduk ketika mandi junub?

JAWAPAN :

Perkara yang wajibnya adalah meratakan air ke seluruh badan. Perkara selebihnya adalah sunat. Elok kita lakukan mudah-mudahan bertambah ganjaran.

Antara perkara sunat yang boleh dilakukan:

1.Menghadap kiblat.

2. Berwuduk, memasukkan air kedalam hidung, dan berkumur-kumur.

3. Menyelat rambut-rambut dengan air kemudian membasuhnya sebanyak tiga kali.

4. Memulakan basuhan anggota dibahagian atas dan kanan badan.

5. Menggosok-gosok kawasan anggota badan.

6. Menyampaikan air ke setiap anggota badan sebanyak tiga kali.

7. Membaca doa berikut setelah selesai mandi junub:

2UHMJ

 

 

Ustaz Muhammad Yusuf A Kadir 

Sumber artikel daripada Majalah Al-Ustaz Isu 08


 

Ustaz Muhammad Yusuf b. Abd Kadir

Beliau editor Unit Terjemahan Telaga Biru Sdn. Bhd. Lulusan Universiti al-Azhar (B.A. Hons Usuluddin: Hadis dan Ulum Hadis) dan merupakan salah seorang kolumnis Majalah GenQ. Antara guru beliau adalah Syeikh ‘Ali Soleh iaitu seorang guru di Masjid al-Azhar.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

Kembali ke atas