Menu

 

A+ A A-

AQIQAH: CENDERAHATI UNTUK CAHAYA MATA

APABILA tiba musim haji, ibadah aqiqah menjadi sama naik dengan korban. Kalau musim haji itu jatuh pula pada musim cuti sekolah, mana bertambah satu lagi ibadah iaitu walimah pernikahan. Maka boleh jadi pada seekor lembu, ada tiga niat yang bertaut.

Justeru adalah penting untuk dikupas kemusykilan berkaitan aqiqah. Berikut ialah beberapa persoalan yang mampu diangkat, mudah-mudahan kefahaman masyarakat meningkat.

Sengaja Melewatkan Aqiqah Selepas Hari ke-7

Apa hukum sengaja melewatkan aqiqah? Ada orang yang mampu daripada segi kewangan untuk melaksanakan majlis aqiqah pada hari ketujuh. Namun dia tidak berbuat demikian kerana ingin melakukannya di kampung semasa cuti sekolah hujung tahun nanti.

RINGKASNYA: Boleh, jika ada kekangan. Asalkan ia dilakukan sebelum anak tersebut sampai pada usia baligh. Selepas usia baligh, maka gugurlah tuntutan membuat aqiqah dari ayah, dan berpindah kepada si anak itu sendiri. Jika ia ingin melakukan aqiqah, maka ibadah itu dibenarkan. Ketetapan ini menurut mazhab Syafi‘i.

HURAIAN: Para ulama merentasi mazhab sepakat bahawa waktu melaksanakan aqiqah yang paling afdal adalah pada hari ketujuh kelahiran si anak. Walau bagaimanapun mereka tidak sependapat tentang kes melewatkan aqiqah. Ada ulama yang berpendapat tidak boleh langsung. Ada yang berpendapat sebaliknya.

Berikut ialah jadual rumusan:

aqiqah-cenderahati-utk-cahaya-mata-2

NASIHAT: Namun kalau boleh diusahakan juga untuk melakukan majlis aqiqah tepat pada hari ketujuh berserta sunnah-sunnah menyambut kelahiran yang lain seperti bercukur, alangkah baiknya lagi. Mudah-mudahan besar pahala atas usaha kita membudayakan sunnah Nabi dan menghidupkan syiar Islam yang kian diambil enteng tersebut.

Aqiqah Setelah Dewasa

Ibu bapa kami tidak mampu membuat aqiqah untuk kami adik beradik semasa kecil. Kini kami dewasa, berkerjaya dan berkemampuan. Bagaimana dengan tanggungjawab aqiqah kami sekarang?

RINGKASNYA: Bagi ibu bapa tuan sendiri, tidak sunat lagi untuk melakukan aqiqah setelah anak dewasa. Namun tiada salah jika tuan ingin lakukan aqiqah untuk diri sendiri.

HURAIAN: Prinsipnya, tuntutan untuk melakukan aqiqah adalah ke atas ibu bapa dalam tempoh tertentunya.

Menurut mazhab Syafi‘i tempoh tersebut berakhir dengan si anak itu mencapai usia baligh. Sekiranya ibu ayah masih juga tidak mampu, maka tidak lagi sunat ke atas mereka untuk melakukan aqiqah anak mereka.

Al-Khatib al-Syarbini berkata: “Tidak luput tanggungjawab wali yang mampu untuk mengaqiqahkan hinggalah si anak baligh. Sekiranya telah berlalu masa baligh (namun si ayah masih belum membuat aqiqah kerana tiada kemampuan), disunatkan si anak melakukan aqiqah untuk diri sendiri.”

aqiqah-cenderahati-utk-cahaya-mata-1

Selagi Tidak Diaqiqahkan, Tidak Boleh Mengaqiqahkan

Benarkah jika seseorang itu belum diaqiqahkan maka dia tidak boleh lagi mengaqiqahkan anaknya? Ada kemungkinan ibu bapa saya belum mengaqiqahkan saya tetapi saya tidak pasti. Sejak kecil lagi saya diserahkan kepada keluarga angkat.

Tidak benar sama sekali. Setakat yang diketahui, tiada pun satu dalil mahupun perbincangan ulama yang menetapkan syarat sedemikian.

Anak Meninggal Dunia Sebelum Aqiqah

Cucu saya meninggal dunia pada usia lapan bulan sebelum bapanya sempat membuat aqiqah. Adakah tetap disunatkan melakukan aqiqah untuknya?

RINGKASNYA: Digalakkan seandainya mampu.

HURAIAN: Sebenarnya ulama berbeza pandangan dalam kes sebegini. Menurut Imam al-Nawawi, pendapat yang paling sahih adalah digalakkan aqiqah kepada bayi yang meninggal dunia selepas hari ketujuh kelahirannya. Beliau berkata: “Jika bayi itu meninggal dunia selepas hari ketujuh kelahirannya dan ada kemampuan untuk melakukan penyembelihan, maka terdapat dua pandangan seperti yang disebut oleh Imam al-Rafi‘i.

Pendapat yang paling sahih adalah digalakkan aqiqah baginya. Pendapat kedua adalah gugur sunat amalan tersebut dengan kematian.”

Lagipun ia lebih menepati kehendak umum hadis Rasulullah yang bermaksud: “Bersama dengan anak yang dilahirkan itu aqiqahnya.” (Riwayat al-Tirmizi)

NASIHAT: Aqiqah hendaklah dihayati sebagai tanda kesyukuran atas kurniaan zuriat. Jadi, jika tuan berkemampuan, lakukanlah aqiqah tersebut. Mudah-mudahan

Allah menggantikan dengan zuriat yang lebih baik dengan segera. Allah berfirman yang bermaksud: “Sekiranya kamu bersyukur, pasti Aku akan tambahkan.” (Surah Ibrahim: 7)

Aqiqah Janin Gugur

Saya keguguran kandungan yang berusia lima bulan. Adakah perlu diaqiqahkan juga untuknya?

RINGKASNYA: Semoga Allah menggantikan untuk puan zuriat yang lebih baik hendaknya. Jika puan berkemampuan, harus untuk puan melakukannya.

HURAIAN: Tidak dinafikan ada ulama yang berpendapat bahawa janin yang gugur tidak disunatkan aqiqah. Manakala ulama yang menggalakkannya membuat perincian: Sekiranya janin yang gugur itu sudah ditiupkan roh iaitu selepas berusia empat bulan ke atas, maka hukumnya dibolehkan untuk diaqiqahkan. Hal ini kerana janin atau bayi tersebut telah pun hidup dalam kandungan ibunya.

Ibn Hajar al-Haitami ada jawapan yang menarik dalam fatwanya: “Aqiqah tetap disunatkan bagi janin gugur yang telah ditiupkan roh (berusia empat bulan dan ke atas). “Adapun janin yang belum ditiupkan roh, ia hanya benda yang tidak bernyawa yang tidak akan dibangkitkan dan tidak bermanfaat pada hari kiamat. Maka tidak disunatkan aqiqah untuknya.

“Ini berbeza dengan janin yang telah ditiupkan roh, sesungguhnya ia hidup. Justeru ia akan dibangkitkan dan dimanfaatkan syafaatnya.

“Sekumpulan ulama salaf berkata: ‘Sesiapa yang tidak mengaqiqahkan anaknya, maka anaknya tidak dapat memberi syafaat untuknya pada hari kiamat.’

Maka kita dapat fahami bahawa aqiqah itu buat si anak yang berkemungkinan memberi syafaat, yakni mana-mana anak yang telah ditiupkan roh.”

Aqiqah dengan Duit Anak

Bolehkah kita melakukan aqiqah dengan menggunakan duit anak itu sendiri seperti duit hari rayanya yang terkumpul?

RINGKASNYA: Tidak boleh. Aqiqah ialah tuntutan terhadap si ayah.

HURAIAN: Imam al-Syarbini dalam Mughni berkata: “Adapun daripada harta si anak, maka tidak boleh wali menggunakannya untuk aqiqah. Sesungguhnya aqiqah itu sumbangan dan dilarang ambil daripada harta si anak. Jika dibuat juga, mesti digantikan.”

Aqiqah Anak Yatim

Bagaimana dengan aqiqah anak yatim? Adakah si penjaga yang bukan ibu bapanya perlu melakukan aqiqah untuknya? Saya membela anak sepupu saya yang kematian ayah.

RINGKASNYA: Tidak disunatkan. Tuntutan aqiqah hanya ditujukan kepada pihak yang wajib memberikan nafkah sahaja, yakni seorang ayah. Jika si ayah tidak berkemampuan, maka tuntutan ini berpindah kepada datuknya. Selain daripada kedua-duanya, orang lain tidak dituntut kecuali anak itu sendiri jika ia ingin membuat aqiqahnya setelah dewasa.

Sisa Daging dan Tulang Mesti Ditanam?

Pada majlis aqiqah yang lepas, seorang saudara mengingatkan saya supaya jangan membuang sisa daging dan tulang ke dalam tong sampah. Sebaliknya dia menyuruh saya menanam kesemuanya. Benarkah begitu?

Tidak benar sama sekali. Tidak ada dalil khusus mahupun ijtihad ulama yang menetapkan demikian. Amalan tersebut hanya atas andaian yang tidak benar. Bahkan ia menyusahkan.

aqiqah-cenderahati-utk-cahaya-mata-3

Daging Aqiqah untuk Non Muslim

Saya saudara baru. Bolehkah saya menjemput keluarga saya yang masih belum memeluk Islam ke majlis aqiqah anak saya nanti?

RINGKASNYA: Boleh insya-Allah, khususnya bagi situasi saudara.

HURAIAN: Sebenarnya ada ulama yang membolehkannya dan ada juga ulama yang melarangnya. Antara yang membolehkannya ialah ulama mazhab Hanbali. Dengan menghormati semua ijtihad ulama, pendapat yang membolehkan lebih lunak untuk dipraktikkan.

Dilihat dari sudut yang lain pula, jemputan saudara tersebut boleh dinilai selari dengan maksud umum ayat Allah yang bermaksud: “Allah tidak melarang kamu untuk berbuat baik dan berlaku adil terhadap orang yang tidak memerangimu atas dasar agama.” (Surah al-Mumtahanah: 8)

Mudah-mudahan ia membuka pintu hidayah buat keluarga saudara yang belum memeluk Islam setelah merasai sendiri kehangatan layanan mesra saudara.

Aqiqah Afdal Dimasak Manis?

Benarkah daging aqiqah afdal dimasak manis-manis?

Tidak semestinya. Tidak ada nas pun yang menyatakan fadilatnya. Namun ia saranan daripada para ulama yang elok juga untuk diikuti antaranya imam al-Nawawi dalam Majmu‘ dan al-Haitami dalam Tuhfat al-Minhaj.

Jadi tidak ada persoalan afdal dari segi pahala antara menu masakan manis dengan menu selainnya. Maka ikutlah kesesuaian sama ada hendak dimasak gulai, kurma, madu, rendang dan sebagainya.

Seekor di Kampung Sini, Seekor di Kampung Sana

Saya baru mendapat anak lelaki. Bolehkah saya lakukan dua majlis aqiqah berasingan? Satu di kampung sebelah orang tua saya, satu lagi di kampung mertua kerana ingin menjaga hati kedua-dua belah pihak.

RINGKASNYA: Sekiranya benar-benar ada kepentingan untuk menjaga hati kedua-dua belah pihak sebagaimana yang dikatakan, maka tidak mengapa untuk dilakukan dua majlis aqiqah berasingan. Jika tidak, sebaik-baiknya tidak dibuat secara berasingan.

HURAIAN: Aqiqah itu sunnah Rasulullah. Kesempurnaan mengikut sunnah itu bergantung kepada sejauh mana ia diikuti secara tepat sebagaimana yang digariskan oleh Baginda. Berdasarkan sunnah, aqiqah hanya dilakukan sekali sahaja untuk setiap bayi yang dilahirkan. Seboleh-bolehnya ikutlah sunnah. Lagipun, melakukan dua majlis aqiqah itu ada unsur takalluf (memaksa diri) yang tidak disukai agama.

Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Apa sahaja yang aku suruh lakukan, maka laksanakanlah ia semampu kamu.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Namun tidak dinafikan, dalam masyarakat Melayu khususnya masih ada perangai sensitif tidak bertempat. Hanya kerana terlebih sehari bercuti di kampung sini, orang di kampung sana boleh isytihar perang. Jika begitulah keadaan yang saudara hadapi, maka tidak mengapa melakukan dua majlis aqiqah berasingan.

Dilarang Ambil Daging Aqiqah

Saya pernah menyertai program aqiqah di surau berdekatan dengan membayar satu bahagian lembu. Secara dasarnya semua peserta bersetuju supaya kesemua daging tersebut dimasak untuk jamuan bersama. Saya pun memang tidak berniat untuk mengambil sedikit pun daging tersebut pada asalnya. Namun apabila mengetahui ibu saya dari kampung akan datang ke rumah dua tiga hari selepas program itu, saya terfikir untuk menyimpan sedikit daging mentah tersebut supaya ibu dapat mengecap daging aqiqah cucunya. Lalu saya meminta kepada ahli jawatankuasa yang berkenaan tetapi dia enggan memberikannya. Alasannya, daging itu sudah menjadi hak bersama. Sejujurnya ketika itu saya rasa sungguh terkilan dan geram. Saya hanya minta setengah kilo sahaja pun untuk sekali makan, bukannya semua. Apa pandangan ustaz dalam kes ini? Adakah tindakan saya tidak betul?

RINGKASNYA: Tindakan saudara tidak salah. Dari segi hukum, saudara berhak untuk mendapatkan sebahagian daging aqiqah saudara. Pada dasarnya sebagai orang yang mewakilkan, saudara berhak penuh dalam menentukan urusan tersebut termasuklah kadar bahagian yang ingin disimpan, bahagian yang diagihkan dan kepada siapa agihan diberikan. Pihak jawatankuasa hanya sebagai orang yang diwakilkan yang bertindak dalam ruang yang disepakati sahaja.

Berbalik dalam kes saudara, jika mahu, saudara boleh batalkan persetujuan awal lalu mengambil semua bahagian daging tersebut. Namun saudara mesti membayar kos berkaitan yang dituntut seperti upah melapah dan sebagainya. Walau bagaimanapun, selesaikanlah masalah secara harmoni. Harap saudara maafkan kesalahan sesama Muslim. Saya pasti, mereka tidak sengaja dan terlepas pandang dalam soal ini.

Kambing Dibeli Mati Sebelum Disembelih

Saya membeli seekor kambing beberapa bulan sebelum majlis aqiqah anak saya. Namun kambing itu mati sebelum sempat disembelih. Adakah saya dikira telah melakukan aqiqah dengan membeli kambing tersebut?

Kami turut bersimpati. Niat dan kesungguhan saudara tidak sia-sia. Ada harganya di sisi Allah. Cuma tuntutan aqiqah belum lagi terlepas. Maka saudara masih lagi disunatkan untuk melakukannya. Keadaan saudara ini boleh disamakan yang berwuduk untuk solat fardu. Sebelum sempat solat, dia terkentut. Bukankah kewajipan solat belum terlepas lagi hanya dengan wuduk yang diambil?

Sembelihan Aqiqah untuk Majlis Perkahwinan

Adik saya akan melangsungkan perkahwinan pada hari raya kedua Aidiladha. Jadi kami abang-abang dan kakak-kakaknya berpakat untuk menaja majlis tersebut dengan menyembelih seekor lembu. Ada antara kami yang niatkan bahagiannya sebagai korban dan yang lain pula sebagai aqiqah. Saya sendiri bercadang untuk mengambil dua bahagian sebagai aqiqah untuk dua orang anak perempuan saya. Bolehkah kami lakukan demikian?

RINGKASNYA: Boleh, dengan syarat saudara memperuntukkan sebahagian daging sembelihan tersebut untuk disedekahkan kepada fakir miskin.

HURAIAN: Prinsip dalam pengagihan daging korban dan aqiqah, ia hendaklah diperuntukkan kepada tiga bahagian:

1. Sebahagiannya wajib disedekahkan kepada fakir miskin. Bagi ibadah korban, dagingnya mesti dalam keadaan mentah manakala bagi aqiqah tidak mengapa sama ada dalam keadaan siap dimasak atau mentah.

2. Sebahagian boleh dihadiahkan kepada saudara mara dan kenalan.

3. Sebahagian boleh dimakan sendiri oleh si pelaku ibadah tersebut.

Cuma kadar pembahagiannya tidak ditetapkan. Ada ulama yang menyarankan ia dibahagi sama rata, 1/3 untuk setiap bahagian. Namun yang pasti, mesti ada satu bahagian (walaupun sedikit) yang diberikan kepada fakir miskin dalam keadaan mentah jika ibadah itu ibadah korban. Kami melihat, ikutlah kesesuaian dengan situasi saudara.

Rujukan

Majmu‘ Imam al-Nawawi

Al-Fatawa al-Kubra, Ibn Hajar al-Haitami

Mughni al-Muhtaj

Al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh.

Al-Fiqh al-Manhaji.

Ustaz Muhammad Luqman Makhtar

Sumber artikel daripada majalah Al-Ustaz isu No.7


Muhammad Luqman Makhtar

Sarjana Muda Ilmu Wahyu (Fiqh dan Usul al-Fiqh), UIAM. Pernah berkhidmat di Kolej Komuniti Masjid Tanah dan Selayang. Kini editor syariah di Telaga Biru Sdn. Bhd.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

special-4157 special-4099special-3928

 

Kembali ke atas