TIP TANGANI NAFSU GELAP
- Ditulis oleh Ustaz Zaharuddin Abd Rahman
- Kategori Motivasi
- Read 20803 times
Saya mengalami ketagihan nafsu seks yang sangat melampau. Setiap kali terlanjur, saya sangat menyesal dan bertaubat. Namun tidak lama selepas itu saya mengulanginya kembali. Ustaz bantu saya. Bagaimana cara untuk menghentikannya buat selama-lamanya?
Nafsu amarah memang sentiasa mengajak kepada dosa. Kegagalan mengawal nafsu syahwat itu lumrah bagi majoriti manusia. Hanya segelintir sahaja yang mampu mengekang nafsunya hasil mujahadah luar dan dalam. Namun demikian, ada kalanya mereka yang mampu mengawal pun mungkin tertewas.
Allah s.w.t. sendiri menyebut perihal ini, mafhumnya: “Sesungguhnya nafsu itu selalu menyuruh kepada kejahatan, kecuali nafsu yang diberi rahmat oleh Tuhan-ku. Sesungguhnya Tuhan Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” (Surah Yusuf: 53)
Begitu juga firman-Nya yang bermaksud: “Dihalalkan bagi kamu pada malam hari bulan puasa untuk bercampur dengan isteriisteri kamu. Mereka itu ‘pakaian’ bagi kamu dan kamu pun ‘pakaian’ bagi mereka. Allah mengetahui bahawasanya kamu tidak dapat menahan nafsu kamu. Kerana itu Allah mengampuni kamu dan memberi maaf kepadamu.” (Surah al-Baqarah: 187)
Allah amat arif bahawa sangat sukar untuk manusia mengawal nafsu syahwat. Maka Allah s.w.t membenarkan suami isteri untuk bersama pada malam hari. Pun begitu, ada juga yang terlanjur. Maka Islam menetapkan pula kifarat sebagai denda dan taubat.
Ini menunjukkan bahawa manusia pasti melakukan kesalahan dan taubat itu jalan keluar apabila telah terlanjur. Taubat yang ikhlas dan bersungguh pasti diterima Allah.
Ringkasnya, mengekang dan melawan kehendak nafsu syahwat sememangnya bukan tugas yang mudah. Kita tidak perlu mengeluh dengan ketagihan nafsu dan kesukaran untuk mengawalnya apa lagi berputus asa. Apa yang perlu kita lakukan adalah:
- Mengukuhkan azam untuk berubah. Ia sukar untuk diajar melalui tulisan, tetapi kesedaran dan keinginan inilah yang perlu untuk bertindak.
- Mengenal pasti sumber dan punca yang boleh membiakkan nafsu lalu dengan segera dipotong dan dihapuskan.
- Mengenalpasti cara, suasana, tempat dan individu yang dapat menyibukkan kita daripada mengingati syahwat.
20 Tip
Sudah menjadi sunnatullah bahawa apa sahaja proses penyembuhan sama ada berbentuk fikizal atau spiritual mempunyai pantang larang yang mesti diikuti. Berikut ialah cadangan beberapa kaedah untuk mengawal nafsu syahwat:
1. Fikirkan tentang matlamat hidup dan sibukkan diri untuk mencapainya.
2. Pasakkan keyakinan Allah Maha Melihat apa yang sedang kita lakukan.
3. Sedarkan diri bahawa malaikat turut sentiasa bersama kita mencatat apa yang ditulis, diucap dan dilakukan.
4. Rapatkan hubungan dengan ahli keluarga yang baik dan soleh.
5. Putuskan hubungan “songsang” dan “gelap” sama ada yang dibuat secara suka-suka atau serius, yang diperoleh melalui Internet atau fizikal, melalui laman chat, e-mel, web dan sebagainya.
Putuskan semua medium yang boleh mendorong kepada peningkatan syahwat. Jika berseorangan di hadapan komputer itu boleh menyebabkan pemikiran syahwat naik, maka elakkan diri daripada berseorangan. Jika berbual mesra dan makan tengah hari bersama dengan rakan sekerja berlainan jantina itu puncanya, maka elakkan diri. Begitulah seterusnya.
6. Putuskan hubungan adik, kakak dan abang angkat berlainan jantina kerana ia tidak lain kecuali haram dan pendorong maksiat.
7. Ubah rutin kehidupan yang mendorong kepada peningkatan syahwat. Setiap orang tahu dan sedar jenis tindakan yang boleh mendorong syahwat masing-masing kerana ia mungkin tidak sama dengan orang lain.
8. Hadiri majlis ilmu dan sibukkan diri membuat sasaran baru seperti membuat blog, menulis buku dan majalah, menghasilkan karya seni lukisan dan sebagainya. Buat satu sasaran lain dalam hidup yang boleh menyibukkan diri anda untuk mencapainya. Tanpa sasaran dalam kehidupan, keinginan syahwat akan membiak dan berkembang akibat waktu kosong.
9. Sertai kumpulan bersifat keagamaan yang boleh membawa kepada ingatan kepada Allah. Namun awas dan elakkan daripada kumpulan songsang dan ajaran sesat.
10. Sertai kumpulan NGO atau kumpulan berasaskan dakwah. Dengannya anda akan mendapat rakan dan sahabat yang baik. Selain itu masa kosong dan pemikiran syahwat akan dapat dibendung hasil kesibukan menganjur program dalam kumpulan terbabit.
Sekarang, mulakan usaha mencari kumpulan-kumpulan sebegini antaranya MURSHID, TABLIGH, ABIM, GAMIS, Persatuan Peguam Syarie, IKRAM, Yayasan AMAL, NISA , KARISMA dan sebagainya. Diharapkan dengannya waktu akan lebih terisi dengan program yang baik.
11. Kalau anda sedang bekerja atau belajar, sasarkan diri untuk cemerlang dalam pelajaran atau kerja anda. Dengan itu anda akan lebih sibuk dan pemikiran akan lebih terarah kepada tujuan yang digariskan sekaligus ingatan kepada syahwat akan mula menurun atau ruangannya disempitkan.
12. Ziarahi kubur secara kerap agar syahwat menjadi tawar akibat memikirkan kematian.
13. Fikirkan bahawa anda akan mati ketika sedang melakukan maksiat itu. Adakah anda suka untuk menerima kematian dalam situasi itu? Fikirkan selalu.
14. Kalau anda sedang bersyahwat dengan seorang wanita sekalipun secara maya seperti Internet dan TV, segeralah gambarkan kehodohannya agar syahwat menjadi menurun. Contohnya bayangkan wanita itu mulut dan nafasnya berbau busuk, giginya kotor, muntahnya busuk, ada penyakit keputihan dan lendir, najis tidak dibasuh bersih, ada AIDS dan banyak lagi.
15. Kalau komputer dan Internet kerap menjadi asbab peningkatan syahwat, maka mainkan alunan bacaan al-Quran setiap kali menghadap komputer. Insya-Allah, rasa malu akan timbul. Kalau tidak banyak pun, sedikit. Kalau syahwat masih menggila di hadapan komputer itu, segera berhenti dan keluarlah dari bilik dan lihatlah awan, langit, pokok dan laut dan ingatkan kebesaran Allah.
16. Jangan sesekali membiarkan diri terus menerus dipukau nafsu dan syaitan. Satu jurus langkah kepada maksiat ialah kunci syaitan untuk menjerumuskan manusia dalam maksiat yang lebih besar.
Apa sahaja perbuatan yang mampu mendorong kepada kehampiran kepada maksiat yang lebih besar mesti disekat segera. Allah sendiri mengingatkan, mafhumnya:
“Dan janganlah kamu menuruti langkah-langkah syaitan. Sesungguhnya dia musuh kamu yang amat jelas.” (Surah alBaqarah: 168)
17. Menjaga pemakanan dengan memastikan makanan itu halal dan bersih. Makanan haram mendorong kepada syahwat yang lebih liar.
18. Memastikan harta yang diperoleh itu daripada sumber halal. Sumber haram menambah perisa syahwat lalu ia menjadi lebih kuat dan dahsyat ibarat mutasi virus yang lebih merbahaya kepada kesihatan.
19.Amalkan berpuasa sunat, berzikir secara berdisiplin setiap kali selepas solat dan berdoa sebanyak mungkin semasa sujud dalam solat agar diberikan kekuatan untuk mengawal nafsu syahwat.
20.Segara beristighfar dan bertaubat walau belum jatuh dalam maksiat yang berat.
Firman Allah, mafhumnya: “Dan bersegeralah kamu kepada keampunan daripada Tuhanmu dan syurga yang terbentang seluas langit dan bumi yang disediakan bagi orang bertakwa.” (Surah Ali Imran: 133)
Demikian beberapa cara, usaha dan kaedah yang mampu saya senaraikan demi membantu sesiapa sahaja untuk mengawal dan mengekang nafsu. Sekali nafsu sudah merasuk hati dan akal, seseorang individu akan lupa hakikat sebenar dan ditipu oleh kenikmatan sementara dan keburukan kekal yang menanti.
Sama-sama kita ingat mengingati. Akhir sekali, sama-sama mengingati firman Allah, maksudnya: “Telah berjayalah orang yang membersihkan hatinya dan telah rugilah mereka yang mengotorkannya.” (Surah al-Syams: 9-10)
Wallahu a‘lam.
Dr. Hj. Zaharuddin Hj. Abd Rahman
Sumber artikel daripada Majalah Al-Ustaz Isu 09
Ustaz Zaharuddin Abd Rahman
Lulusan B.A.(Hons), Usuluddin, Universiti Malaya dan M.A. Shari’ah (Jayyid Jiddan), Univ. Al-Yarmouk, Jordan. Kini sebagai pensyarah di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia; di samping Ahli Majlis Penasihat Shariah, C&S Consulting & Investment Ltd, British Virgin Islands (bersama Prof. Dr Monzer Kahf), Pengerusi Majlis Penasihat Shariah, OSK Investment (Islamic) Bank Berhad, Konsultan Shariah di Standard Chartered (Sadiq) Bank (Malaysia) Berhad, Kolumnis majalah I, majalah Iktisad dan Harian Metro Ahad. Pernah berpengalaman sebagai Penasihat Syariah di RHB Islamic Bank Bhd. dan Setiausaha Majlis Syariah, Asian Fianance Bank Bhd. Layari web beliau di www.zaharuddin.net
Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.